Apa Hukum Sahur Ketika Azan Subuh? Waktu Imsak Habis!

Sahur Ketika Azan Subuh

Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ، فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ

“Apabila salah seorang di antara kamu mendengar panggilan (azan subuh) sedangkan bekas (minuman) masih ada di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga ia menyelesaikan hajat darinya (menghabiskan minum).” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 10629. Abu Daud, Kitab ash-Shaum, no. 2350. Al-Hakim, al-Mustadrak, no. 729. Al-Baihaqi, as-Sunan al-Kubra, no. 8019. Dinilai sahih oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, dan al-Albani. Hasan oleh al-Wadi’i dan al-Arnauth. Lihat: al-Albani, as-Silsilah ash-Shahihah, 3/381. Muqbil B. Hadi al-Wadi’i, al-Jaami’ ash-Shahih mimma Laisa fii Shahihain, 2/373-374. An-Nawawi turut memperakui kesahihannya dalam al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 6/312)

Syaikh Muqbil B. Hadi al-Wadi’i rahimahullah meletakkan hadis ini dalam bab:
“Mendengar Azan Sementara Bekas (Minuman) Berada Di Tangan Maka Dibolehkan Untuk Minum Darinya.” (Rujuk: al-Jaami’ ash-Shahih mimma Laisa fii Shahihain, m/s. 373)

Salah seorang perawi hadis ini, ‘Ammar B. Abi ‘Ammar (perawi Abu Hurairah) menyatakan:
وَكَانَ الْمُؤَذِّنُ يُؤَذِّنُ إِذَا بَزَغَ الْفَجْرُ

“Bahawasanya mereka mengumandangkan azan setelah terbit fajar.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 10630. Dinilai sahih oleh al-Albani dan al-Arnauth)

Di antara riwayat lain yang menguatkan hadis ini adalah hadis daripada Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu.

Beliau berkata:
أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ وَالإِنَاءُ في يَدِ عُمَرَ فَقَالَ: أَشْرَبُهَا يَا رَسُولَ الله؟ فَقَالَ: نَعَمْ، فَشَرِبَهَا
“Pernah ketika solat hendak didirikan (iqamah) sedangkan bekas (minuman) masih di tangan Umar (al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu). Dia bertanya kepada Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam, “Adakah aku boleh meminumnya?” Rasulullah menjawab, “Boleh.” Maka ‘Umar pun meminumnya.” (Tafsir ath-Thabari, 3/527, no. 3017. Dinilai sahih isnadnya oleh Ahmad Muhammad Syakir, dan hasan oleh al-Albani)

Juga hadis daripada Abu az-Zubair, beliau berkata:
قَالَ: سَأَلْتُ جَابِرًا عَنِ الرَّجُلِ يُرِيدُ الصِّيَامَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ لِيَشْرَبَ مِنْهُ، فَيَسْمَعُ النِّدَاءَ، قَالَ جَابِرٌ: كُنَّا نُحَدَّثُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” لِيَشْرَبْ
Aku pernah bertanya kepada Jabir tentang seseorang yang hendak berpuasa sedangkan ia masih memegang bekas untuk minum, kemudian ia mendengar panggilan (azan Subuh).

Jabir menjawab:

“Kami pernah mengatakan perkara seperti itu kepada Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau bersabda, Hendaklah ia minum.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 14755.

Al-Albani berkata, “Wa Isnaduhu laa ba’sa bihi fii asy-Syawaahid (Isnadnya tidak mengapa dapat diguna untuk penguat).” (as-Silsilah ash-Shahihah, 3/381) al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan isnadnya hasan.” (Majma’ az-Zawa’id, no. 4858) Syu’aib Al-Arna’uth menyatakan, “Hasan lighairihi, dan sanad hadis ini dha’if kerana buruknya hafalan Ibnu Lahi’ah.”)

Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan:
وفيه دليل على أن من طلع عليه الفجر وإناء الطعام أو الشراب على يده أنه يجوز له أن لا يضعه حتى يأخذ حاجته منه فهذه الصورة مستثناة من الآية: وكلوا واشربوا حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفجر. فلا تعارض بينها وما في معناها من الأحاديث وبين هذا الحديث ولا إجماع يعارضه بل ذهب جماعة من الصحابة وغيرهم إلى أكثر مما أفاده الحديث وهو جواز السحور إلى أن يتضح الفجر وينتشر البياض في الطرق راجع ” الفتح ( 4 / 109 – 110 ) لأن من فوائد هذا الحديث إبطال بدعة الإمساك قبل الفجر بنحو ربع ساعة. لأنهم إنما يفعلون ذلك خشية أن يدركهم أذان الفجر وهم يتسحرون ولو علموا هذه الرخصة لما وقعوا في تلك البدعة
“Dalam hadis ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang mengetahui fajar telah terbit tetapi bekas makanan atau minuman masih berada di tangannya, dia boleh segera menyelesaikan keperluannya tersebut (makan dan minum).

Ini adalah bentuk pengecualian dari ayat “… makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu terbitnya fajar (masuknya waktu Subuh).” (Surah al-Baqarah, 2: 187)

Ayat ini dan hadis-hadis yang semakna dengannya tidak bertentangan dengan hadis tersebut. Tiada pula ijma’ ulama yang bertentangan dengannya. Bahkan sejumlah sahabat dan selain mereka berpendapat selari dengan makna hadis ini iaitu boleh makan sahur sehingga jelas terbitnya fajar dan menyebarnya cahaya di jalan-jalan (setelah jelas masuknya waktu Subuh).

Lihatlah di kitab Fathul Bari (4/109-110). Dalam masa yang sama, hadis ini menolak bid’ah tentang penetapan waktu imsak sekitar 15 minit sebelum terbitnya fajar (sebelum masuknya waktu Subuh). Kebanyakan mereka yang mengamalkannya adalah disebabkan bimbang berkumandangnya azan Subuh dalam keadaan mereka sedang bersahur. Kalaulah mereka mengetahui rukhsah (keringanan) ini, sudah tentu mereka tidak akan terjerumus ke dalam bid’ah sedemikian rupa.” (Tamamul Minnah fii Ta’liq ‘ala Fiqhus Sunnah, m/s. 417-418)

Dari YouTube

Akhir kata

Sahur ketika azan Subuh
Foto Kredit: deliciouslyella.com

Janganlah kita tinggalkan begitu sahaja sunnah bersahur ini walaupun hanya dengan kurma kering mahupun seteguk air. Selain beberapa hikmah dan bentuk barakah (tambahan kebaikan) yang dapat kita lihat secara umum, di sana masih ada lagi bentuk-bentuk barakah yang hanya diketahui di sisi Allah Ta’ala.

Menyahut sunnah makan sahur ini juga termasuk ke dalam ciri-ciri mengerjakan puasa di atas keimanan dan mengharapkan pahala Allah Subhanahu wa Ta’ala. Yang dengannya akan menjadi sebab diampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan semoga kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.

Leave a Comment