6 Tips Bawa Anak Berjalan, 'Outing' Tanpa Tekanan & Anak Tidak Meragam!

Bawa Anak Berjalan, Senang Atau Susah?

Bukan mudah sebenarnya mahu keluar berjalan-jalan atau makan di luar dengan anak-anak. Lagi pula jika anak ramai dan mempunyai pelbagai kerenah. Kita mungkin berfikir banyak kali dan kadang kala membatalkan niat mahu keluar berjalan-jalan apabila memikirkan kesukaran mengawal anak-anak. Bukan itu sahaja, kadang kala jika mahu bertandang ke rumah orang pun kita akan berfikir panjang.

Namun jika kita bijak merancang dan bersedia, ‘outing’ dengan anak kecil akan menjadi suatu aktiviti yang sangat menyeronokkan. Anak-anak sudah tentu ingin melihat dunia luar dan mengenal orang di sekelilingnya. Bila kita selalu bawa anak berjalan, ini akan membantu merangsang minda serta skil-skilnya yang lain seperti fizikal, emosi dan sosialnya.

Berikut adalah tip membawa anak ‘outing’ tanpa tekanan & anak pula tidak meragam:

1. Rancang ‘outing’

Membuat perancangan amatlah penting. Jika kita mahu pergi membawa anak-anak keluar makan, carilah tempat yang mesra kanak-kanak. Antara ciri-ciri tempat yang mesra kanak-kanak adalah tempat itu mempunyai tandas, tempat menyusu, tempat makan, surau dan tempat bermain.

Rancanglah waktu perjalanan ketika anak tidak terlalu lapar dan ketika mood mereka sangat baik. Contohnya, perjalanan di waktu panas terik mungkin akan menyebabkan anak sedikit ‘moody’ kerana penat dan berpeluh.

Aktiviti yang dilakukan ketika anak sedang mengantuk juga akan menyebabkan anak mengamuk. Perancangan yang baik memastikan ‘outing’ anda adalah aktiviti yang memberi kesan yang baik kepada anak. Jika tidak dirancang dengan baik, dikhuatiri kita akan sukar mengendalikan anak-anak jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Ini sekadar jalan-jalan di tempat berdekatan, bukan bawa anak pergi umrah. Jadi, tidaklah sesukar mana bukan?.

2. Libatkan anak

Penglibatan anak dalam setiap aktiviti kita banyak membantu dalam memberikan kesan yang positif terhadap perilaku seharian mereka. Jika kita merancang untuk berjalan-jalan, beritahu anak ke manakah mereka akan dibawa. Jika sudah tetap lokasi untuk bawa anak berjalan, lebih bagus jika anda mempunyai gambar tempat tersebut dan tunjukkan kepada anak. “Wajdi, esok kita mahu pergi zoo. Inilah zoo. Di zoo, ada banyak binatang.” Ceritakan tentang kawasan atau tempat yang akan dituju.

Contohnya: “Zoo ini kawasannya besar. Kita kena jalan kaki. Kemudian kita akan naik trem. Kalau Wajdi penat, kita boleh berhenti minum sekejap.”

Proses pemahaman ini akan memberikan gambaran awal kepada anak agar mereka lebih bersedia. Jika sejak daripada awal kita bercerita atau memberitahu keadaaan tempat yang akan dituju, mereka akan lebih memahami dan mereka akan lebih cenderung untuk berkelakuan baik kerana sudah difahamkan dari awal.

3. Sediakan car seat

Memperlengkapkan kereta dengan ‘car seat’ amatlah penting. Selain dari menjamin keselamatan anak sepanjang perjalanan, ia memberikan keselesaan kepada mereka dan juga ibu bapa. Bawa anak berjalan bukan sekadar bercuti semata-mata, faktor keselamatan juga penting.

Ibu tidak perlu memegang anak di sepanjang perjalanan dan anak pula selesa duduk di dalam ‘car seat’. Ciri ini amat penting dan menjadikan ‘outing’ satu aktiviti yang menyeronokkan.

4. Bawa ergonomic carrier

Bawa anak berjalan, tambahan lagi membawa anak kecil bukanlah mudah jika tidak dilengkapi alat yang sesuai untuk mereka. Bayangkan anda berjalan-jalan di sebuah shopping kompleks dan terpaksa mendukung anak sepanjang masa. Pastinya tangan akan lenguh dan kita akan mula berkira-kira untuk memendekkan waktu ‘outing’.

Ergonomic carrier seperti woven wrap, soft-structured carrier, mei tai dan ring sling adalah penyelesaian yang bijak. Alat penggendong bayi dan kanak-kanak ini bukan sahaja membantu ibu bapa memudahkan aktiviti namun ianya lebih selamat dan dapat menguatkan ‘bonding’.

Boleh dapatkan sokongan dari kumpulan Babywearing Malaysia.

5. Bawa bekal

Anak akan mudah mengamuk jika mereka penat, lapar atau mengantuk. Bila bawa anak berjalan, pastikan membawa snek ketika ‘outing’ boleh membantu anak-anak yang mudah lapar. Bawalah biskut dan air jika rancang keluar dengan anak. Sementara mencari kedai makan, mungkin anak-anak boleh diberikan dahulu bekal yang dibawa.

Jika tempat tersebut ada kafe, boleh terus beli dari sana. Tidak perlu bersusah-susah.

6. Permainan dan buku pilihan

Tidak lengkap rasanya jika tidak membawa buku atau permainan untuk anak-anak ketika kita mahu ‘outing’. Mereka boleh bermain ketika di dalam kereta, ketika menunggu makanan, atau ketika menunggu ayah membeli tiket masuk zoo! Bila bawa anak berjalan, kenalpasti permainan apa yang boleh buat anak leka. Apabila bosan, dia akan main permainan itu tanpa menggganggu kita.

Harapan saya

Mudah bukan tips ini? Semoga tips ini akan memberi manfaat kepada ibu bapa dan dapat meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Sebenarnya, banyak tempat menarik bawa anak bercuti tanpa modal yang besar di Malaysia.

Masa anak kecil inilah kita boleh luangkan masa bersama mereka dan bawa anak berjalan ke tempat yang mereka suka. Bila sudah besar, masa agak terbatas. Jangan menyesal di kemudian hari nanti!

 

Leave a Comment