Bolehkah Bersahur Dengan Kurma Sahaja? Apa Manfaat & Barakah?

Bersahur Dengan Kurma / Tamar

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ

“Sebaik-baik makanan ketika seseorang mukmin bersahur adalah tamar (kurma kering).” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2345. Shahih Ibnu Hibban, no. 3475. Dinilai sahih oleh Ibnu Hibban, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth)

 

Sahur Penuh Barakah

Nabi SAW bersabda:
السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ، فَلَا تَدَعُوهُ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

“Makan ketika sahur itu barakah, maka janganlah kamu meninggalkannya sekalipun hanya dengan seteguk air. Kerana Allah ‘Azza wa Jalla dan para Malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang bersahur.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 11086. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)

Di antara bentuk barakah dari sahur adalah mampu memberikan tenaga, menguatkan semangat, dan meringankan beban bagi mereka yang berpuasa. Ini adalah hasil dari makanan dan minuman yang diambil ketika sahur. Kemudian, waktu sahur itu sendiri pula termasuk ke dalam waktu mustajab berdoa, waktu terbaik beribadah, dan waktu diampunkan bagi mereka yang memohon keampunan.

Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita bahawa:
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

“Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepada-Ku, Aku ampunkannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 7494)

Berkenaan turunnya Allah ke langit dunia, Ahlus Sunnah wal-Jama’ah menerima sebagaimana zahir hadis tentangnya. Iaitu Allah turun secara hakiki bukan majazi, tanpa diserupakan dengan turunnya makhluk, tanpa diberi perumpamaan, dan tanpa mempersoalkannya bagaimana. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala itu tidak menyerupai segala sesuatu dan kita tidak mengetahui tentang-Nya melainkan dengan nash-nash yang sahih.

Seterusnya, dalam al-Qur’an pula kita boleh lihat Allah memuji mereka yang memohon keampunan ketika waktu sahur. Ini boleh disemak di Surah Ali ‘Imran, 3: 17 dan adz-Dzaariyaat, 51: 18.

Selain penuh barakah dan dalam rangka mengikuti sunnah, bersahur turut menjadi pembeza di antara puasa umat Islam dengan Ahlul Kitab (Yahudi dan Nashara). Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

“Pembeza di antara puasa kami dengan puasa Ahlul Kitab adalah makan sahur.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 17762. Muslim, no. 1096)

 

Akhir Kata

Oleh itu, janganlah kita tinggalkan begitu sahaja sunnah bersahur ini walaupun hanya dengan kurma kering mahupun seteguk air. Selain beberapa hikmah dan bentuk barakah (tambahan kebaikan) yang dapat kita lihat secara umum, di sana masih ada lagi bentuk-bentuk barakah yang hanya diketahui di sisi Allah Ta’ala.

Bersahur dengan kurma
Foto Kredit: bbcgoodfood.com

Menyahut sunnah makan sahur ini juga termasuk ke dalam ciri-ciri mengerjakan puasa di atas keimanan dan mengharapkan pahala Allah Subhanahu wa Ta’ala. Yang dengannya akan menjadi sebab diampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan semoga kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.

1 thought on “Bolehkah Bersahur Dengan Kurma Sahaja? Apa Manfaat & Barakah?”

Leave a Comment