6 Tips Galakkan Bayi Cepat Berjalan Sesuai Usianya. Tatih, Tatih!

“Ish… Rasa tak sabar pula Mama nak ajar bayi cepat berjalan.. Nak buat apa ya? Patutkah ajarkan guna ‘walker’ atau apa-apa alatan istimewa?”

Kebanyakan bayi akan mengatur langkah pertama mereka kira-kira apabila masuk umur setahun. Tapi, ada juga yang sudah pandai bertatih seawal 9 bulan, manakala ada juga yang sedikit lambat dan hanya mula melangkah pada umur 18 bulan.

Walau apa pun, anda tidak perlu risau kerana proses berjalan adalah sesuatu yang semulajadi bagi bayi, walaupun pendekatan mereka mungkin berbeza. Ada yang mengikut prosesnya, dan tidak kurang juga yang melangkau beberapa perkembangan – contohnya tiba-tiba daripada memanjat terus berjalan, tanpa bertatih!

bayi cepat berjalan
Foto Kredit: virtuehealth.in

Bagaimana Mengajar Bayi Cepat Berjalan?

Sebenarnya, sebuah sumber menyatakan bahawa seseorang bayi memerlukan lebih 1,000 jam untuk berlatih sebelum dapat berjalan. Jadi, kuncinya adalah praktis, praktis dan praktis. Untuk membantu bayi anda praktis mengikut usianya, anda bolehlah melakukan perkara ini sesuai perkembangannya.

1. Sejak Lahir

Perkara utama yang menjadi sandaran kepada pergerakan bayi adalah kekuatan otot belakang. Kekuatan otot belakang ini berkembang seawal bayi mula mengangkat kepala semasa meniarap.

Jadi, apabila bayi anda dibiarkan meniarap, dia akan mendapat ‘tummy time’ secukupnya sewaktu bayi berjaga. Ini akan membantunya menguatkan otot tersebut.

Anda juga boleh meletakkan mainan yang berwarna-warni serta menarik perhatian agar bayi berasa lebih seronok!

bayi cepat berjalan
Foto Kredit: boppy.com

2. Apabila Bayi Sudah Boleh Duduk

Latih bayi anda untuk mengimbangkan badan dan cekap bergerak semasa duduk dengan bermain bola dengannya.

Anda juga boleh memegang permainan kesukaannya dan menggerakkannya dari satu belah ke satu belah yang lain supaya bayi bijak mengimbangkan badan semasa cuba menangkapnya.

Apabila bayi sudah pandai merangkak atau mengengsot, bayi akan menjana lebih kekuatan pada bahagian leher, belakang, kaki, dan kedua tangannya.

Jika bayi dibiasakan daripada duduk kepada bergerak, dan bergerak kepada duduk, bayi turut mendapat kemahiran untuk mengawal pergerakan pinggangnya. Kawalan pinggang ini penting supaya bayi dapat menegakkan kakinya untuk berdiri dan jatuh semula dengan selamat.

petua galakkan bayi cepat berjalan
Foto Kredit: es.paperblog.com

3. Apabila Bayi Sudah Pandai Berdiri

Biarkan bayi anda berdiri di hadapan anda sambil anda memegang tangannya. Selepas beberapa kali percubaan, cuba lepaskan sebelah tangan anda dan biarkan bayi merasai imbangan badan.

Kemudian, cuba pula lepaskan sebelah lagi tangan dan berikan sorakan yang paling menggembirakan sebagai galakan kepada bayi untuk mencuba lagi.

Untuk menjadikan bayi lebih yakin, anda boleh cuba memberi ruang kepadanya dengan bergerak beberapa kaki ke belakang. Lama-kelamaan, bayi akan cuba bereksperimen sendiri! Jika selalu praktis, tentulah bayi cepat berjalan.

4. Apabila Bayi Sudah Berjalan Sambil Berpaut Pada Objek

bayi cepat berjalan
Foto Kredit: merries.co.id

Sebaik sahaja bayi anda sudah mahir berdiri, dia akan cuba berpaut dan berjalan sambil memegang objek di rumah seperti meja atau kerusi.

Anda bolehlah bermain permainan eksplorasi dengan menyusun pelbagai jenis objek dan perabot yang berbeza ketinggian supaya bayi bijak menyesuaikan diri dan mengawal badan.

Sebagai variasi, anda juga boleh menyusun objek tadi dengan membuat bentuk bulatan, atau sambil bersembunyi di belakangnya. Bayi akan menjadi lebih fleksibel dan spontan bergerak apabila dia cuba mencari anda mengikut nalurinya.

Walau apa pun, pastikan objek ini tidak mempunyai bucu yang keras dan tajam kerana bayi anda mungkin saja akan menghempaskan punggungnya pada bila-bila masa!

5. ‘Berkaki Ayam’ Lebih Baik

Apabila di dalam rumah, lebih baik membiarkan bayi berjalan tanpa sebarang stokin atau kasut. Kulit bayi yang sensitif dapat mengesan dan merasa objek di sekeliling dengan lebih berkesan, dan ianya selamat kerana tidak terlalu licin.

6. Tips Kasut Pertama Bayi

tips bayi cepat berjalan
Antara ciri kasut bayi yang sesuai adalah bertapak lembut, tetapi selamat dan tidak licin. / Foto Kredit: zhuzhuma.com

Anda boleh mula mendapatkan kasut untuknya berlatih berjalan di luar. Pastikan anda mendapatkan saiz yang sesuai dengan memastikan bayi berdiri semasa mencuba kasut tersebut.

Seperkara yang mungkin anda tidak tahu, tapak kaki boleh membesar sebanyak 5% berbanding awal pagi. Jadi, seelok-eloknya dapatkan saiz kaki bayi yang paling stabil pada waktu petang!

Kalau kasut selesa, tentu bayi akan rasa gembira dan selesa untuk terus belajar berjalan.

Adakah ‘Walker’ Boleh Membuatkan Bayi Cepat Berjalan?

Jawapan mudahnya, TIDAK! Walaupun ‘walker’ atau apa-apa jenis kerusi yang membantu bayi duduk ini dapat membantu kita memudahkan kerja, para penyelidik bersepakat bahawa ia sama sekali tidak membantu kepada perkembangan bayi.

Malahan, pakar kanak-kanak berpendapat bahawa penggunaan alatan tersebut mampu melengahkan daripada bayi cepat berjalan. Sebaliknya, bayi akan menjadi lebih kuat apabila mereka dilatih untuk bangun dan menahan badan sendiri di atas lantai atau katil.

Selain itu, alatan seperti ‘walker’ perlu digunakan dengan pemantauan khas daripada ibu bapa. Ini kerana bayi boleh pergi begitu laju, berbeza daripada kebolehan yang mampu dikawal olehnya.

bayi cepat berjalan
Foto Kredit: collegehumor.com

Jangan Terlalu Memaksa Bayi, Ya!

Tidak semua bayi cepat berjalan. Jadi, tidak perlulah anda membandingkan bayi anda dengan bayi lain.

Mengikut perkembangan bayi yang normal, anda tidak perlu risau sekiranya anak anda menunjukkan usaha untuk berjalan seperti cuba berdiri, memegang perabot sambil berjalan, atau memanjat tangga. Yang penting, mereka gembira, aktif, dan bersemangat untuk memcuba lagi!

Namun, sekiranya umur bayi sudah melepasi setahun dan masih belum menampakkan perkembangan berikut, anda bolehlah bertanyakan pandangan pakar kanak-kanak.

Leave a Comment