Cara Sendawakan Bayi Selepas Menyusu Badan

Menyendawakan bayi adalah salah satu daripada rutin wajib yang perlu anda lakukan dalam penjagaan bayi, terutamanya bagi bayi yang berumur dibawah satu tahun. Pastinya terlintas di fikiran anda mengenai, “Adakah ia satu keperluan untuk membuatkan bayi anda sendawa setiap kali selesai menyusu?”. Adakah cara sendawakan bayi yang perlu dipelajari?

 

Terlebih dahulu, apa kata kita ketahui mengapa sendawa penting untuk dilakukan kepada bayi selepas menyusu, boleh?

 

Membuat bayi sendawa  boleh dianggap sebagai satu perkara yang perlu dilakukan setiap kali selepas proses penyusuan walaupun ia akan mengambil masa yang lama dan bayi adalah susah untuk disendawakan.

 

Umumnya, ketika kita makan mahupun minum, bukan sahaja makanan ataupun minuman yang akan memasuki badan kita. Sebaliknya terdapat juga udara yang akan turut masuk ke dalam badan. Udara yang berlebihan di dalam perut akan naik ke bahagian tekak dan dikeluarkan sebagai sendawa. Keadaan ini juga berlaku kepada bayi anda.

 

Sewaktu si kecil menyusu, sama ada secara terus daripada payudara ataupun menggunakan botol susu, udara akan turut memasuki perut si kecil. Udara yang berlebihan di dalam perut akan menyebabkan si kecil meragam dan menjadi tidak selesa.

 

Pentingnya sendawakan bayi

Berikut adalah beberapa sebab utama mengapa perlunya sendawakan bayi anda, antaranya:

 

  • Perut kembung

Proses sendawa pada bayi penting bagi menghindarkan mereka daripada mengalami masalah perut kembung. Tujuan utamanya adalah untuk mengeluarkan udara berlebihan yang turut masuk ke dalam perut bayi ketika menyusu atau menangis.

 

  • Lebih aktif

Apabila kita mengalami perut kembung, adakah kita akan rasa selesa? Sudah tentu tidak, bukan? Begitu juga keadaannya dengan si manja. Situasi sebegitu pastinya menimbulkan ketidakselesaan dan membuatkan mereka meragam. Menyendawakan si manja, dipercayai dapat membuatkan si manja menjadi lebih selesa, ceria dan aktif. Bayi gembira, ibu bahagia.

 

  • Tidur nyenyak

Dalam keadaan perut tidak selesa, semestinya ia membuatkan si manja tidak dapat tidur dengan nyenyak. Situasi ini pastinya akan berbeza jika udara mahupun angin yang berlebihan di dalam perut bayi dapat dikeluarkan, sekali gus menjadikan mereka lebih selesa dan pastinya akan dapat tidur dengan nyenyak.

 

Bila perlu sendawakan bayi?

Bagi individu yang pertama kali bergelar ibu, sudah tentu anda menjadi keliru dan tertanya-tanya bilakah waktu yang sesuai untuk sendawakan bayi anda. Proses menyendawakan bayi ini boleh dilakukan sama ada semasa atau selepas menyusu.

 

Anda boleh menyedawakan bayi apabila:

 

  • Si kecil beralih ke payudara lain untuk meneruskan penyusuan
  • Apabila si kecil sudah menghabiskan susu setengah botol
  • Sendawakan apabila si kecil sudah menyusu antara tempoh 15 hingga 20 minit
  • Sekiranya si kecil mengerang semasa proses penyusuan. Hentikan proses penyusuan untuk seketika dan sendawakan bayi anda terlebih dahulu
  • Si manja mungkin akan mengalami ketidakselesaan perut pada waktu malam, walaupun si manja tidak menyusu. Apa yang perlu anda lakukan adalah untuk cuba menyendawakannya

 

Cara sendawakan bayi

Sesetengah bayi mungkin mudah untuk disendawakan dan terdapat juga bayi yang sukar untuk sendawa. Terdapat beberapa teknik atau cara sendawakan bayi yang boleh anda cuba untuk mengeluarkan udara yang terperangkap di dalam perut bayi anda.

  1. Posisi bersandar pada bahu

Perkara pertama sekali adalah meletakkan sebarang kain alas bersih pada bahu anda. Ini perlu dilakukan kerana bayi anda mungkin akan termuntah susu atau terjeluak. Cuba untuk mendukung bayi anda menggunakan sebelah tangan dan letakkan kepala bayi seperti bersandar pada bahu anda.

 

Dengan menggunakan tapak tangan sebelah yang lain, tepuk belakang badannya secara perlahan-lahan sehingga bayi anda sendawa. Anda boleh menggunakan teknik tepuk percussion. Cara sendawakan bayi ini boleh dilakukan sama ada secara berdiri mahupun duduk di kerusi. Ia adalah mengikut keselesaan anda.

 

  1. Posisi meniarap

Baringkan bayi anda pada posisi meniarap di atas perutnya dengan kedudukan melintang di atas paha anda. Untuk melakukan cara sendawakan bayi melalui kaedah posisi meniarap ini anda perlu memegang bahagian dada bayi anda dengan sebelah tangan anda.

 

Pastikan kedudukan kepala bayi sedikit tinggi daripada badannya. Dengan menggunakan tangan yang sebelah lagi, tepuk atau urut secara perlahan-lahan bahagian belakang bayi dengan cara mengusap ke atas dan ke bawah.

 

  1. Posisi duduk

Cara sendawakan bayi yang seterusnya ini adalah dengan memberikan bayi anda duduk di atas riba anda, iaitu sebelah paha anda, sama ada kiri ataupun kanan, mengikut keselesaan anda.

 

Bongkokkan sedikit badan bayi anda dan tepuk lembut atau usap bahagian belakang badannya. Pastikan anda menahan bahagian dadanya dengan tangan anda. Dipercayai cara sendawakan bayi ini adalah paling mudah membuatkan bayi sendawa.

 

  1. Posisi dukung

Ini merupakan antara cara sendawakan bayi yang terakhir yang boleh anda cuba untuk membuat bayi anda sendawa. Caranya adalah dengan mendukung seperti biasa dan rapatkan  bayi anda ke dada.

 

Sambil mendukungnya, goyang-goyangkan badan anda ke kiri dan ke kanan untuk membuatkan bayi anda sendawa sendiri. Dalam masa yang sama anda boleh mengusap bahagian belakang bayi anda sambil berjalan-jalan di sekitar rumah anda.

 

  1. Senaman

Sekiranya tip cara sendawakan bayi di atas masih tidak berjaya untuk membuat bayi anda sendawa, anda mungkin boleh melakukan sedikit ‘senaman’ buat bayi anda. Caranya adalah dengan memegang bahagian betis bayi anda, dan tolakan lututnya ke dada mereka.

 

Kaedah ini dikatakan antara cara sendawakan bayi yang terbaik untuk membantu mengeluarkan angin dari perut mereka. Selain itu, urutan yang lembut pada perut bayi anda pastinya dapat membantu.

 

Kesimpulannya 

Anda mungkin berasakan menyendawakan si manja adalah satu perkara yang remeh. Namun hakikatnya, ia adalah tindakan yang perlu bagi mengelakkan bayi daripada mengalami ketidakselesaan.

 

Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu bersabar jika cara sendawakan bayi yang dilakukan tidak berjaya untuk menyedawakan bayi. Ini kerana setiap bayi adalah berbeza. Jadi sesetengah cara yang disenaraikan mungkin dapat membuatkan bayi lain sendawa tetapi tidak kepada si manja anda. Teruskan mencuba, okay!

 

Leave a Comment