Pengalaman Jadi Orang Jawa Di Homestay Banghuris, Sepang

Homestay Banghuris, Sepang

Ingat lagi semasa belum wujudnya KLIA2?

Ramai antara kita yang menggunakan LCCT untuk penerbangan domestik dan luar negara. Di persimpangan simpang tiga Sepang F1 Circuit, kita akan perasan satu papan tanda berwarna coklat yang tertulis Homestay Banghuris. Sudah terlalu dekat dengan KLIA!.

Di manakah Homestay Banghuris?

Tentu sekali tertanya-tanya, apakah Homestay Banghuris ini? Selalu nampak papan tanda sahaja, tetapi tidak pernah jejakkan kaki ke sini. Bukan anda sahaja, kami juga tidak pernah jejakkan kaki ke sini.

Carian di Google juga tidak memberikan banyak maklumat. Mungkin cuma ada sedikit informasi tentang lokasi Homestay Banghuris.

Jika anda cari lokasi tepat Kampung Banghuris, memang tidak akan jumpa sampai bila-bila. Ini kerana Banghuris sebenarnya adalah gabungan tiga kampung iaitu Kampung Bukit Bangkong, Kampung Hulu Chuchuh dan Kampung Hulu Teris.

Homestay Banghuris

Jemputan dari Tourism Malaysia – Selangor

Kami dijemput oleh Tourism Malaysia – Selangor untuk menghadiri Festival Nasi Ambeng 2015 anjuran Jabatan Kebudayaan & Kesenian Malaysia (JKKN) pada 18 April 2015 yang lalu.

Banghuris Homestay

Walaupun highlights ialah makan nasi ambeng secara beramai-ramai pada malam itu, ada lebih banyak lagi yang kami alami pada siang hari.

Terasa bagaikan diri ini belum betul-betul memahami budaya rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum yang mengamal cara hidup yang berbeza. Betapa uniknya Malaysia kita ini.

 

Orang Jawa di Selangor

Orang Jawa di Selangor kebanyakannya berada di daerah Klang, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Menurut sejarah, masyarakat Jawa bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Jawa peranakan ialah orang Melayu yang kahwin campur dengan Cina, India dan Arab. Sebab itu, jika pergi negara Arab, kita akan terserempak dengan orang yang muka macam Melayu, tetapi sebenarnya orang Arab. Semua ini bermula dari zaman Melaka.

Budaya orang Jawa

Mungkin ini bukan senarai penuh, tetapi setidak-tidaknya kami dapat memahami serba-sedikit budaya orang Jawa:

  • Bila datang rumah, mesti kena makan. Walaupun kenyang, kena cuit sedikit makanan tanda menghormati tuan rumah.
  • Orang-orang tua akan bahasakan diri mereka Wak. Tidak kira lelaki atau perempuan, tetap akan panggil mereka Wak. Tidak bermakna tidak boleh panggil mereka pakcik atau makcik. Mereka akan sahut juga.
  • Rumah orang Jawa biasanya luas. Ada banyak ruang dalam rumah. Ruang tamu selalunya besar.
  • Ruang tamu yang besar ialah tempat untuk keluarga besar berkumpul. Biasanya, orang Jawa ada anak yang ramai. Anak 8 itu biasa-biasa. Selalunya hingga ada 11-13 anak.
  • Tiang rumah orang Jawa tinggi-tinggi. Ini kerana ruang bawah akan digunakan untuk aktiviti keraian dan keramaian. Boleh bentang tikar dan berkumpul bersama-sama.
  • Aktiviti rewang selalunya melibatkan keluarga dan orang-orang kampung. Mereka akan menyediakan masakan bersama-sama seperti potong bawang.
  • Selepas kenduri, mana boleh balik dengan tangan kosong. Siap dapat bekal. Bawa makanan balik ialah ciri-ciri dan warisan orang Jawa. Walaupun perut kenyang, siap boleh bawa bekal lagi.
  • Orang Jawa baik-baik, peramah dan suka melayan tetamu.

Sejarah nasi ambeng

Dulu, orang Jawa datang ke Malaysia dan berkerja dalam sektor pertanian. Untuk jual hasil tuaian, kena tunggu lama. Mereka hidup sederhana. Makan apa yang ada. Makanan lama, iaitu lauk semalam tidak dibuang. Masakan biasanya sejenis untuk satu hari.

Bila tiba waktu malam, tidak tahu mahu makan apa. Sumber adalah terhad. Jadi, lauk-lauk balance seperti tempe, tauhu dan suhun akan dipanaskan semula. Tambahan lagi, jika mee goreng semalam masih elok lagi, ia akan dicampurkan untuk makan malam. Maka, hanya perlu masak nasi. Konsep mereka, jangan bazirkan. Jadikan satu makanan. Inilah ciri masakan Jawa.

Homestay Banghuris

Makan dalam dulang

Bayangkan jika ada anak 11 orang. Belum tentu mampu mahu beri makan satu pinggan seorang. Makan, anak-anak anak berhimpit-himpit untuk makan dalam satu dulang. Terasa meriah bila makan sama-sama dalam satu dulang. Kombinasi terbaik.

Berbeza dengan orang Jawa Johor yang ada sambal dalam nasi ambeng,  Selangor ada serunding kelapa.  Di Selangor juga, tempe goreng akan dicampur suhun dan selalunya lauk ialah ayam masak kicap. Johor lain, selalunya ayam masak ungkep dan gunakan rempah ratus yang tidak pakai minyak.

Secara ringkasnya, nasi ambeng adalah satu manifestasi konsep penyediaan makanan yang pelbagai. Lihat betapa indahnya cara orang zaman dahulu mengurus keluarga dan anak-anak.

Kenapa anda kena datang ke Homestay Banghuris

Bagi yang terlalu sibuk dengan kerja, sudah-sudahlah mencari tempat percutian di luar negara. Negara kita sendiri ada terlalu banyak tempat menarik untuk dikunjungi.

Dari kejauhan, orang memang tidak akan perasan kewujudan Homestay Banghuris ini kerana ia dikelilingi kawasan perumahan Cina. Perlu masuk sedikit ke dalam untuk mengalami keterujaan dengan suasana kampung yang sungguh nyata.

Orang Korea dan Jepun datang ke sini untuk mendalami dan memahami budaya orang kita. Mereka tinggal bersama-sama tuan rumah untuk merasai pengalaman tinggal bersama orang Jawa.

Akhir kata

Jika mereka menghargai budaya kita, kenapa tidak kita? Sama-sama kita memajukan industri pelancongan kita sendiri. Jika ada masa, kunjungi banyak lagi homestay yang menarik di serata Malaysia bersama keluarga.

[infobox]

Nota: Terima kasih diucapkan pada Mai dari Tourism Malaysia – Selangor atas maklumat tentang masyarakat Jawa dan nasi ambeng yang dikongsikan bersama.

[/infobox]

[infobox title=’Aktiviti ini direalisasikan oleh JKKN & Tourism Malaysia – Selangor’]

jkkn-logo-jabatan-kebudayaan-dan-kesenian-negaraTourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) atau dikenali sebagai Tourism Malaysia ditubuhkan di bawah Akta Parlimen, Akta 481 pada tahun 1992. Penubuhan LPPM ini selaras dengan pemansuhan Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia atau lebih dikenali sebagai TDC pada tahun yang sama.

Selaras dengan penstrukturan semula Tourism Malaysia dan bagi merancakkan lagi sektor pelancongan domestik, maka beberapa pejabat negeri ditubuhkan di bawah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia. Pejabat Tourism Malaysia Selangor berpindah ke pejabat sendiri di Shah Alam pada 1 September 2009.

Pejabat ini beroperasi di Tingkat 6, Wisma PKPS, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14 , Shah Alam. Selain itu, di bawah seliaan pejabat Negeri Tourism Malaysia Selangor adalah Kaunter Penerangan Pelancongan KLIA dan KLIA 2.

Matlamat Tourism Malaysia Selangor adalah untuk menaikkan lagi industri pelancongan negeri Selangor ke mata dunia.

[/infobox]

1 thought on “Pengalaman Jadi Orang Jawa Di Homestay Banghuris, Sepang”

Leave a Comment