6 Kekeliruan Mengenai Makanan Ibu Menyusu. Apa Pantang Larangnya?

“Kelirunya. Mana satu nasihat yang perlu aku ikut. Mak cakap makanan ibu menyusu tak boleh sebarangan. Tak boleh makan pedas, nanti bayi sakit perut tapi mak mertua pula siap masakkan sambal cili padi sebab elok untuk keluarkan peluh dan pecahkan lemak. Karang tak makan, kecil hati pula sebab penat dia masak. Ish macam mana ni?”

Memang sukar apabila kita kurang pengetahuan mengenai diet atau makanan ibu menyusu. Keadaan bertambah keliru apabila diberikan bermacam-macam nasihat pemakanan daripada tradisional sehinggalah moden oleh mereka yang terdekat.

Banyak kekeliruan dan persoalan sebenarnya mengenai makanan ibu menyusu yang sepatutnya.

makanan ibu menyusu
Foto Kredit: motherhow.com

 

Berikut adalah antara soalan yang sering dikemukakan oleh ibu yang menyusu:

1. Benarkah ibu menyusu perlu mengambil kalori tambahan dalam diet seharian?

Ya. Pakar mengatakan ibu menyusu perlu mengambil tambahan kira-kira 500 kalori kerana badan memerlukannya untuk menghasilkan susu.

Tetapi, ia tidak bermaksud anda perlu ‘makan untuk dua orang’. Sebenarnya, 500 kalori ini tidaklah banyak. Ia hanyalah seperti sepinggan hidangan tambahan seperti waffle bersama sos coklat atau nasi goreng dan telur dadar.

Untuk memastikan kalori bertahan lebih lama, anda disyorkan mengambil makanan seperti buah-buahan kering dan bijirin daripada sumber asli. Kalori lebihan seperti ini lebih mudah dibakar semula semasa menyusukan bayi.

2. Apa makanan ibu menyusu yang paling bagus?

Makanan ibu menyusu perlu mengandungi sumber tinggi protein, kalsium dan zat besi. Jangan lupa banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran segar, whole grain dan bijirin.

Selain itu, anda boleh mengambil buah-buahan kering sebagai snek dan juga kekacang yang berkhasiat seperti almond, pistachio, atau badam.

Elakkan makanan rapu dan makanan berminyak serta makanan yang tinggi kandungan gula atau garam.

Banyakkan makan buah-buahan tempatan
Banyakkan makan buah-buahan tempatan

3. Apa pula ‘pantang’ makanan ibu menyusu?

Sebenarnya ibu menyusu boleh makan apa sahaja yang diinginkan tetapi pastikan diambil dalam kuantiti sederhana.

Pastikan juga makanan ibu menyusu tidak akan menyebabkan perut bayi meragam kerana ia sangat sensitif. Jika bayi meragam, anda juga yang akan susah hati kan?

Sesetengah jenis jamu atau ubatan herba perlulah mendapat konsultasi doktor terlebih dahulu sebelum anda mengamalkannya. Pastikan juga produk yang anda ambil sewaktu berpantang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

risiko herba tradisional
Foto Kredit: babymed.com

4. Bolehkan ibu menyusu mengambil suplemen?

Pakar nutrisi menggalakkan ibu menyusu mengambil suplemen zat besi, folik, kalsium, vitamin A, vitamin B12 dan vitamin C sebagai vitamin tambahan untuk badan. Bagaimanapun, rujuk dengan doktor sebelum mengambil suplemen.

risiko herba tradisional
Foto Kredit: sublimemagazine.com

5. Adakah perlu minum air yang banyak agar lebih banyak susu dapat dihasilkan?

Susu terhasil bukan berdasarkan banyak mana cairan dalam badan anda. Sebaliknya, ia bergantung kepada permintaan bayi anda. Lebih kerap anda menyusu, lebih banyak susu akan dihasilkan secara semulajadi.

Eloklah jika anda dapat minum segelas air sebelum menyusu. Jika anda perasan, sewaktu menyusu, badan akan mengeluarkan hormon oxytocin yang boleh menyebabkan anda dahaga.

Walaubagaimanapun, anda digalakkan meminum cukup air ksosong untuk mempercepatkan pemulihan selepas bersalin dan memberi tenaga untuk menyusu badan. Jadi letak air, susu atau jus berdekatan agar mudah anda minum bila terasa dahaga.

minum air timun
Foto Kredit: woman.at

6. Boleh atau tidak makanan ibu menyusu mengandungi herba?

Teh herba yang mengandungi campuran camomile, pudina, dan jintan boleh diminum oleh ibu yang menyusu.

Herba dalam masakan juga boleh dimakan, asalkan ianya tidak berlebihan seperti kunyit, halia, atau lada hitam.

Walaubagaimanapun, ubat herba tidak digalakkan kerana ada campurannya yang tidak diketahui sama ada selamat untuk bayi.

Sesetengahnya boleh menyebabkan bayi berasa ‘panas’ dan tidak selesa dengan rasanya yang kuat sehingga menjejaskan penyusuan.

Antara buah yang sesuai untuk ibu hamil
Selain kurma, buah tin adalah antara buah yang sesuai untuk ibu hamil dan menyusu

Amalkan pemakanan seimbang, elakkan stres

Elak melakukan diet yang terlalu ketat kerana makanan ibu menyusu memerlukan nutrisi yang seimbang untuk menghasilkan susu yang terbaik bagi bayi anda. Jangan terlalu memaksa diri untuk kurus dek kerana bimbangkan perut selepas bersalin yang menggeleber. Ianya akan susut dari hari ke hari!

Rujuklah piramid makanan dan dapatkan sumber nutrisi yang berbeza untuk menampung keperluan harian anda. Banyakkan mengambil ‘super-food’ seperti kurma, aprikot, buah tin, avokado, kacang badam, almond, dan produk tenusu tanpa gula.

Sebenarnya, ibu yang menyusu badan lebih mudah untuk kurus berbanding mereka yang tidak menyusukan anak.

Leave a Comment