Walaupun Mendidik, Elak Guna 8 Bahasa Ini Pada Anak

Mendidik anak bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Dengan cabaran hidup moden zaman sekarang, banyak sungguh faktor yang boleh menyebabkan kita hilang sabar terhadap anak-anak.

Anak-anak pula hanyalah mencari masa dan peluang untuk bermanja dengan kita. Namun, kita yang terlalu taksub dengan kerja kerapkali berasa stres dan tertekan dengan keadaan, melempiaskan pula kemarahan kita kepada anak.

Selalu Terlepas Cakap

Secara tidak sedar, ada antara kata-kata sindiran atau jenis ‘makan dalam’ yang dituturkan oleh ibu bapa pada anak-anak kadang-kadang menyebabkan mereka berdendam, rasa marah dan memberontak.

Ia mungkin dipandang ringan dan tidak dipeduli oleh sesetengah ibu bapa, malah ada yang menggunakannya atas alasan untuk mendidik mereka.

Jika tidak diambil kira,  ia akan menyebabkan kesan yang mendalam pada diri mereka dalam jangka masa panjang.

6 Tips Ajar Anak Susah Minta Maaf. Ibu Bapa Cuba Amalkan!
Foto Kredit: parentdish.ca

8 Bahasa Perlu Dielak Dalam Mendidik Anak

Mungkin bagi ibu bapa, ada antara ucapan yang di bawah merupakan satu perkara yang normal, namun apa yang dirasakan oleh anak adalah berlainan.

Oleh itu, elakkan dari mengguna bahasa berikut pada anak-anak:

1. Sumpah seranah dan makian

Bahasa ini memang tidak patut digunakan walaupun sebesar mana kesilapan anak kita. Malah, ia boleh menyebabkan jiwa anak menjadi lebih keras dan kuat memberontak.

Bukankah api tidak patut dilawan dengan api?

2. Sindiran

Walaupun tidak meninggi suara, perkataan sindiran juga tidak boleh digunakan terhadap anak. Ianya boleh mengguris emosi dan hati anak, malah ia mampu menjadikan mereka lebih benci dengan kita.

Jika ada sesuatu yang ingin dijelaskan, berterus-terang saja pada mereka dan janganlah kita menggunakan perkataan menyindir dalam mendidik anak.

3. Penipuan

Boleh menghilangkan kepercayaan anak pada ibu bapa.

Selalunya ibu bapa menjanjikan sesuatu yang di luar kemampuan kita semata-mata hanya untuk menyedapkan hati anak.

4. Membebel

Kurang meleteri anak-anak dalam mendidik mereka. Anak yang selalu dimarahi sukar untuk maju ke depan.

Ungkapkan kata-kata yang mempunyai aura positif seperti, “Abang jadi anak yang soleh ya”.

Kalau boleh, elakkan perkataan ‘jangan’ daripada digunakan terlalu kerap.

5. Mengkritik

Anak membesar dengan sifat kurang keyakinan diri sehingga boleh menjejaskan cara hidup mereka. Selalu takut untuk berbuat apa sahaja dan tidak mahu mencuba perkara yang baru.

Lebih ditakuti jika mereka tidak berani berusaha kerana takut untuk gagal.

tips-menahan-marah-pada-anak-kawal-atasi
Foto Kredit: parenting.org

6. Ungkit-mengungkit

Anak sukar menerima semua kebaikan yang anda lakukan, takut akan diungkit kemudian hari.

Mungkin ada beranggapan kata-kata sebegini mampu mendidik anak-anak ini akan menjadi seorang yang cepat berdikari, tetapi mereka tidak melakukannya dengan rela hati.

Ini akan menjadikan mereka seorang yang suka berdendam dan akan jauh hati dengan kita.

7. Bandingan

Membanding-bandingkan anak boleh menyebabkan timbulnya rasa tidak disayangi.

Ramai ibu bapa sebenarnya tidak perasan, dalam mendidik, sebenarnya telah banyak membandingkan anak mereka dengan anak orang lain sejak kecil lagi. Contohnya tahap tumbesaran, keputusan peperiksaan, dan kecemerlangan sukan.

Jika mahu menjadikan contoh, ambillah contoh terbaik seperti Rasulullah SAW, para sahabat, dan tokoh-tokoh ilmuan.

8. Berbaur ugutan

Anak-anak akan sentiasa dalam ketakutan. Mereka akan merasa tidak selamat dan sentiasa menyembunyikan perihal sesuatu perkara daripada kita.

Sangat merbahaya! Kerana mereka akan cenderung melakukan sesuatu di belakang kita, dan berpura-pura baik di hadapan kita.

mendidik anak
Foto Kredit: quotesgram.com

Tak Cukup Sekadar Memujuk

Sebagai ibu bapa, kita hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan. Jika kita menyedari yang kita telah berbuat silap, cepat-cepatlah bertaubat dan berazam untuk berubah.

Tidak cukup sekadar memujuk, kita haruslah berusaha mengambil tindakan untuk memperbetulkan kesilapan yang lalu.

Kita sebagai ibu bapa perlulah mencerminkan imej yang baik dalam mendidik anak-anak kita. Sedangkan agama Islam amat menyanjung dan mengangkat darjat umatnya yang mampu mengawal ‘kemarahan’ mereka.

Ucapan yang keluar daripada mulut ibu bapa adalah doa. Moga kita menjadi ibu bapa yang berhemah pada anak-anak.

Leave a Comment