6 Tanda Bahaya Menyusu Badan Semasa Hamil

“Kalau tunggu nak jarakkan anak lagi 2-3 tahun, umur pun dah tak muda lagi. Lagi elok bersalin cepat sementara subur ni. Tapi kesian pula dengan si kecil yang masih menyusu badan.”

“Orang tua-tua cakap, kalau menyusu badan semasa hamil ada risiko gugur. Betul ke?”

“Nanti kalau adik dia lahir, takkan nak menyusu 2 orang sekali?”

Bolehkah Teruskan Menyusu Badan Semasa Hamil?

Sebelum apa-apa, Alhamdulillah, tahniah terlebih dahulu pada ibu yang dikurniakan rezeki anak sekali lagi. Mesti ramai yang tertanya-tanya sama ada menyusu badan boleh dilakukan oleh wanita hamil. Pandangan ini mengundang reaksi yang bercampur, terutamanya kerana masih ada orang tua-tua yang menganggapnya sebagai pantang larang.

Walaubagaimanapun, kini terdapat pelbagai kajian dan bukti saintifik membuktikan bahawa menyusu badan semasa hamil adalah selamat – melainkan anda pernah mengalami masalah kesuburan atau kehamilan atau termasuk dalam golongan yang berisiko.

Menyusu Badan Adalah Selamat Selagi Anda Tidak Mengalami Tanda-tanda Berikut…

1. Pernah mengalami keguguran atau melahirkan bayi pramatang.

2. Mengalami kontraksi berterusan, atau sebanyak 4 kali dan lebih dalam masa 1 jam. (Biasanya kontraksi akan berlaku tetapi ia akan berakhir apabila anda berhenti menyusukan bayi)

3. Sakit belakang yang kronik

4. Terasa tekanan yang kuat pada bahagian pelvik

5. Kekejangan yang serius (seperti kekejangan semasa period)

6. Keluar cecair daripada vagina – sama ada lendiran, darah, atau air ketuban

Sungguhpun begitu, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Terdapat pelbagai cabaran dari segi fizikal dan mental yang perlu anda hadapi.

Cabaran Menyusu Badan Semasa Hamil

1. Kontraksi Atau Pengecutan Rahim Semasa Proses Menyusu

Badan wanita akan merembeskan hormon oksitoksin semasa menyusukan bayi. Inilah juga hormon yang membantu membantu proses bersalin. Beberapa salahtanggapan tentang keguguran menyalahertikan kontraksi sementara yang berlaku semasa proses menyusu.

Tetapi, kajian saintifik telah membuktikan rahim wanita tidak akan bertindak balas terhadap oksitoksin ini sebelum mencecah akhir kehamilan, iaitu sekitar 37 minggu.

Oleh itu, selagi anda tidak tergolong dalam golongan berisiko dan berasa sihat untuk menyusu badan bayi semasa hamil, anda boleh berbuat demikian. Namun, sekiranya anda pernah menghadapi sebarang masalah dalam kehamilan sebelum ini, pastikan anda mendapatkan nasihat daripada doktor.

2. Keletihan (berganda!)

Pengambilan kalori yang secukupnya amat penting bagi memastikan anda dapat menghasilkan tenaga yang cukup dalam menjayakan penyusuan badan ketika mengandung.

Menyusukan serang anak saja sudah cukup meletihkan bagi sesetengah ibu. Maka, anda harus dapat menjangkakan kepenatan yang bakal dialami, terutamanya apabila usia kandungan menginjak trimester ketiga.

Oleh itu, amalkanlah pemakanan yang seimbang dan cubalah amalkan senaman yang sesuai untuk mengekalkan kecergasan.

3. Susu Badan Merudum

Jumlah susu badan yang dihasilkan biasanya akan menurun apabila usia kehamilan mencapai 4 atau 5 bulan. Susu badan juga akan bertukar rasa dan anak anda yang sedang menyusu mungkin perasan akan kelainannya. Ada juga yang tidak mahu menyusu badan lagi sehingga bercerai susu dengan sendirinya.

Pada waktu ini, badan anda sedang menghasilkan kolostrum, iaitu susu awal yang kaya nutrisi, diperlukan oleh bayi baru lahir.

4. Risiko Puting Melecet

Pada awal kehamilan, perubahan hormon akan menyebabkan puting susu menjadi sensitif. Hal ini biasanya menjadi punca puting susu melecet atau ‘cracked nipple. Hanya anda tahu betapa pedihnya apabila dilanda masalah ini!

Tuamkan puting yang melecet dengan pek ais untuk melegakan kesakitan. Sebagai tambahan, anda juga boleh cuba meletakkan aloe vera atau oral gel yang selamat dimakan supaya luka cepat sembuh.

Teruskan Menyusu Atau Berhenti, Kedua-dua Tiada Salahnya!

Sebagai seorang ibu, tentulah kita mahu membuat pilihan yang terbaik untuk anak-anak. Namun, ianya harus setimpal dengan keupayaan fizikal kita. Oleh itu, ibu-ibu janganlah berasa bersalah sekiranya anda tidak mampu untuk meneruskan penyusuan badan secara ekslusif.

Percayalah, anda tetap akan menjadi ibu yang terbaik untuk si manja anda!

Leave a Comment