5 Kesan Yang Melanda China Lepas 35 Tahun Amalkan Polisi Satu Anak

Tahukah anda betapa seriusnya anda perlu merancang keluarga dengan ‘Polisi Satu Anak’ yang diamalkan di China sebelum ini? Ya, anda benar-benar akan dihukum sekiranya anda didapati melahirkan lebih daripada seorang anak.

Tak kiralah sama ada anda tinggal di ceruk kampung atau mana-mana kawasan pedalaman, tentu akan ada ‘mata’ yang memerhatikan dan memaksa anda untuk tidak melahirkan anak tersebut.

Menurut Mei Fong, penulis dan wartawan yang telah menerbitkan buku ‘One Child’, kelahiran anak kedua yang sepatutnya diraikan sebaliknya akan diugut dengan bermacam-macam cara seperti memecat daripada perjawatan kerajaan, menafikan hak ‘anak kedua’ tersebut, membayar sejumlah denda yang tinggi, serta memaksa pengguguran.

Rami yang trauma dan menolak dasar ini sanggup melakukan ‘jalan lain’ untuk meneruskan kandungan seperti merasuah, memalsukan dokumen, mendaftarkan anak kedua sebagai kembar, dan ada juga yang mandaftarkan anak tersebut di bawah nama saudara mereka.

Foto Kredit: reap.fsi.stanford.edu
Foto Kredit: reap.fsi.stanford.edu

Asalnya Bertujuan Mengawal Kadar Kemiskinan

Pada awalnya, polisi satu anak yang diperkenalkan oleh Presiden China, Deng Xiaoping pada 1979 menganggap membendung pertumbuhan penduduk ini penting untuk perkembangan ekonomi dan taraf hidup.

Ini kerana Republik Rakyat China pada masa itu mengalami pertumbuhan penduduk yang mendadak, sehingga menyebabkan masalah kemiskinan dan kebuluran.

Bagaimanapun, polisi ini dikecualikan di Hong Kong, Macau dan Tibet selain ke atas pasangan yang hidup di kawasan pedalaman atau pasangan dari kalangan etnik minoriti.

 

Foto Kredit: wsj.com
Foto Kredit: wsj.com

Merancang Keluarga Dengan Polisi Satu Anak, Ini 5 Kesannya Selepas 35 Tahun

Kini, negara China telah mengakhiri polisi satu anak selepas 35 tahun dikuatkuasakan. Polisi baru ini membenarkan 2 orang anak bagi setiap keluarga dan berkuatkuasa mulai Januari 2016.

Namun, segelintir pakar berpendapat bahawa tindakan ini mungkin tidak akan memberi banyak perubahan kepada rakyat China yang terpaksa berhadapan dengan impaknya buat sekian lama.

1.Ketandusan Kanak-Kanak

Bilangan kanak-kanak semakin berkurang sehingga beberapa sekolah terpaksa ditutup ekoran ketiadaan pelajar. Menurut laporan daripada sebuah akhbar tempatan, peratusan kanak-kanak dalam kalangan penduduk China juga berada pada paras paling rendah di dunia.

Ekoran dasar ini juga, anak-anak menjadi tertekan kerana merekalah satu-satunya pewaris yang perlu menjaga nama baik keluarga.

Ia bukan sahaja menyebabkan ketidakseimbangan demografi, tetapi turut memberi kesan kepada kelangsungan populasi.

Foto Kredit: cnn.com
Foto Kredit: cnn.com

2. Masalah Penjagaan Warga Tua

Dengan hanya memiliki seorang anak, kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai masa atau wang untuk berbuat demikian. Ini terbukti dengan laporan BBC yang menyatakan bahawa hanya 38% daripada warga tua ini yang masih tinggal dengan anak mereka.

Kebanyakan warga tua ini terpaksa tinggal di pusat jagaan warga tua yang semakin banyak ditubuhkan di sana.

Tetapi, apa pula nasib bagi mereka yang telah kehilangan anak? ‘Shidu’ atau gelaran bagi mereka yang kematian anak ini telah meningkat sehingga 1 juta orang di sana. Sesetengah pusat jagaan juga tidak mahu menerima mereka kerana tidak mempunyai sumber kewangan atau  ‘payment guarantor’.

merancang keluarga
Foto Kredit: npr.org

3. Limpahan 35 Bilion Lelaki Bujang

Apabila rakyat China terpaksa memilih untuk memiliki 1 anak sahaja, hampir kebanyakan daripada mereka akan memilih untuk mendapatkan anak lelaki.

Ini kerana, anak lelaki dianggap sebagai penyambung keturunan dan dianggap dapat meningkatkan status sosioekonomi sesebuah keluarga.

Maka, terjadilah ketidakseimbangan jantina pada kelahiran bayi hingga nisbah bayi lelaki kepada perempuan sangat jauh berbeza.

Kesan daripada ini, kos untuk berkahwin sangat mahal. Proses mencari jodoh juga menjadi amat menyukarkan bagi lelaki, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau perkampungan. Sumber dari DailyMail melaporkan, ramai ibu bapa yang terpaksa menjual segala harta dan menanggung hutang sepanjang hidup sekiranya mahu mengahwinkan anak mereka.

merancang keluarga
Foto Kredit: chauxuannguyen.org

4. Kadar Kesuburan Masih Di Tahap Rendah

Walaupun 2 orang anak telah dibenarkan, masih ramai yang takut-takut untuk mengambil langkah.

Mana tidaknya, setelah sekian lama dibesarkan dengan polisi satu anak, rakyat China telah terbiasa merancang keluarga dan berasa bimbang jika tidak mampu menangggung kosnya.

Malah, tekanan ekonomi yang semakin meruncing juga memainkan faktor untuk tidak memiliki anak kedua walaupun telah dibenarkan.

Kira Waktu Subur Wanita Supaya Cepat Hamil
Foto Kredit: huffingtonpost.com

5. Tenaga Kerja Yang Semakin Kurang

Menurut World Bank, negara China mengalami kadar penuaan yang terpantas dalam sejarah kemanusiaan dunia. Dijangkakan pada tahun 2050, 40% daripada penduduk China akan berumur lebih 60 tahun.

Bahkan, kini keadaan fizikal majoriti tenaga kerja di negara berkenaan sudah lanjut usia.

Bayangkan berapa banyak jumlah cukai yang peru dikenakan kepada pekerja apabila nisbah pekerja kepada pesara adalah 1:5. Kekangan ekonomi dan dasar polisi ini juga secara tidak langsung menjadikan mereka ‘takut miskin’ untuk hidup dalam keluarga besar dan menanggung kos hidup ibu bapa mereka sendiri.

merancang keluarga
Foto Kredit: theverge.com

Mengharapkan Masa Depan Yang Lebih Baik

Polisi merancang keluarga yang dilaksanakan sejak tahun 1980 ini dipercayai telah menghalang kira-kira 400 juta kelahiran di negara yang kini mempunyai populasi seramai 1.37 bilion.

Diharapkan kelonggaran yang diberikan kepada polisi dua anak akan memberi sinar baru kepada rakyat China. Ini selari dengan dasar Presiden Mao Zedong, iaitu presiden pertama Republik Rakyat China yang pernah menyebut; “Dalam semua benda di dunia, manusia adalah paling utama. Lebih besar penduduk, bermakna lebih banyak tenaga kerja.”

Leave a Comment