Pantang 44 Hari vs Pantang 100 Hari. Mana Lagi Bagus?

“Ingatkan 44 hari dah cukup lama… Ada lagi pantang sampai 100 hari ke?”

Tentu ramai yang mengeluh dan terfikir untuk mengelat daripada berpantang kan? Sebenarnya kita patut rasa bertuah kerana sungguhpun kita sudah berada di era moden, tradisi berpantang tidak pernah lekang ditelan zaman. Walaupun kurang arif dengan tradisi ini, ibu-ibu moden masih mengamalkannya dengan bantuan orang yang lebih berpengalaman seperti ibu, ibu mertua, bidan, atau pakar kesihatan wanita.

Kenapa lama sangat berpantang?

Foto Kredit: http://www2.hmetro.com.my/articles/Berpantangcaramoden/Article/
Foto Kredit: Harian Metro

Berpantang ialah sejenis penjagaan fizikal dan emosi yang rapi untuk kebaikan jangka masa panjang. Sama juga halnya bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan – biasanya kita hanya akan dapat melihat hasil yang efektif apabila telah menjaga disiplin dan pemakanan buat beberapa tempoh tertentu. Malah, menurunkan berat badan terlalu cepat adalah merbahaya dan berisiko tinggi. Jangan terburu-buru ya!

Apa perbezaan pantang 44 hari dengan 100 hari?

Foto Kredit: bubblynotes.com
Foto Kredit: bubblynotes.com

Secara ringkasnya, pantang selepas hari ke-44 adalah lebih fleksibel berbanding seawal kelahiran kerana badan wanita telahpun mulai sembuh dan emosi mereka semakin stabil.

Lantaran itu, terdapat beberapa kelonggaran seperti boleh keluar bersiar-siar, membuat kerja-kerja rumah yang ringan, dan menguruskan bayi. Menu harian juga kian kembali normal. Amalan seperti memakai bengkung (kecuali yang menjalani pembedahan) dan bertangas menggunakan herba seperti serai wangi, kunyit dan lada hitam tidak perlu dilakukan setiap masa meskipun ia amat digalakkan. Sementara itu, amalan bertangas boleh diteruskan untuk mengetatkan peranakan dan menghilangkan bau badan.

6 Amalan Berpantang Selepas Bersalin Secara Tradisional
Foto Kredit: erienz82.blogspot.com

Sungguhpun begitu, kebanyakan pakar berpendapat bahawa makanan sejuk seperti ais, kangkung, dan bayam masih perlu dielakkan. Pengambilan jamu dan herba-herba panas pula janganlah terus dilupakan. Selain itu, kita dinasihatkan untuk meminimumkan penggunaan penghawa dingin dan elakkan mandi air sejuk.

Sesetengah pendapat popular mengaitkan pantang 100 hari dengan menghindari hubungan intim suami isteri demi menjaga kesihatan dalaman wanita. Sungguhpun belum ada bukti saintifik buat masa ini, teori ini mungkin bersandarkan kepada mood wanita yang masih belum bersedia untuk  mengadakan hubungan intim. Kebanyakan mereka juga masih fobia terhadap luka episiotomi.

Kebaikan pantang 100 hari

  • Berbanding pantang 44 hari, pantang 100 hari kian relevan berikutan timbulnya bermacam-macam penyakit pada masa sekarang. Antara masalah kesihatan yang mungkin timbul akibat tidak menjaga pantang termasuklah gangguan kencing, sakit pinggang, gangguan hubungan kelamin, dan rahim jatuh.
  • Ia dapat mengurangkan gangguan angin dalam badan, menjadikan tubuh si ibu tadi benar-benar sihat dan bertenaga serta stabil dari segi emosi.
  • Selain itu, penjagaan bersalin sehingga 100 hari dipercayai mampu menjadikan ibu-ibu itu benar-benar sihat dan kembali hebat sebagaimana baru berkahwin dahulu.

Cabaran Berpantang 100 Hari

  • 44 hari adalah tempoh yang sudah cukup lama bagi wanita untuk menahan diri daripada pelbagai perkara yang biasa dilakukannya. Lanjutan 100 hari mungkin hanya akan berhasil dengan kesanggupan dan motivasi yang tinggi.
  • Kebanyakan wanita sudah mula bekerja dalam tempoh 60 hari. Malah, ada yang sudah kembali ke pejabat seawal 30 hari atas kesibukan kerja. Sebaik mula bekerja, ramai yang tidak mampu meneruskan pantang kerana terasa beban dan leceh.
  • Setelah tempoh 44 hari, biasanya wanita sudah tidak mempunyai sesiapa untuk membantu menguruskan bayi. Maka, wanita ini biasanya mempunyai masa yang terhad untuk diri sendiri. Bayangkanlah, proses menyusu badan sahaja sudah mengambil banyak masa dan tenaga setiap hari. Bagaimana mahu berpilis, bertangas, lulur, bertungku, dan sebagainya?
  • Islam tidak mensyariatkan wanita untuk berpantang selama tempoh yang ditetapkan. Dalam hal hubungan seksual juga, wanita sudah boleh melakukan hubungan seks sebaik sahaja darah nifasnya kering. Hal ini mungkin nampak remeh, namun hakikatnya ia mampu memecahbelahkan sebuah keluarga.
  • Ada wanita yang akan berasa tertekan kerana terlalu memaksa diri mereka melakukan sesuatu yang sukar di saat-saat emosi mereka belum cukup kukuh. Hal ini patut dibendung kerana boleh menjadi punca kemurungan.

Bersederhana dalam Mengikut Adat

Amalan & Cara Berpantang Orang India. Lain Dari Kaum Melayu!
Foto Kredit: eyzacantek.blogspot.com

Setiap individu harus mengenali badannya sendiri dan sama sekali tidak boleh membandingkannya diri mereka dengan orang lain. Ini kerana, setiap wanita mempunyai tahap ketahanan dan penerimaan yang berbeza bergantung kepada situasi masing-masing.

Saat selepas melahirkan bayi pula bukanlah sesuatu yang mudah buat sesetengah wanita kerana ia mungkin membuatkan hidup mereka berubah 360 darjah. Oleh itu, walau apa pun tindakan kita selanjutnya, lakukanlah dengan bersederhana.

Leave a Comment