Apa Ibu Perlu ‘Expect’ Masa Masuk Bilik Bersalin? Ini 8 Perkara Bantu Anda Bersedia

“Tanda bersalin dah faham, beg dan barangan nak bawa ke wad pun dah siap. Tapi apa agaknya yang akan berlaku sebaik ke hospital nanti ya? ‘Nervous’ pula rasa bila baca pengalaman dalam bilik bersalin melalui internet ni…”

Memang ada yang ngeri untuk membaca apa yang bakal berlaku semasa melahirkan bayi, apatah lagi menonton video proses kelahiran yang berdarah-darah.

Tapi, jangan takut nak baca tentang pengalaman dalam bilik bersalin kerana ia membantu kita menyediakan mental supaya lebih tenang dan yakin.

Memilih Hospital Bersalin
Foto Kredit: galleryhip.com

Pengalaman Dalam Bilik Bersalin Setiap Wanita Unik

Prosedur dan pengalaman dalam bilik bersalin sememangnya berbeza.

Ia bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis hospital, keadaan bayi dalam kandungan, dan tindakan doktor yang mengendalikan proses bersalin anda.

Walaubagaimanapun, jika anda bersalin secara normal, ada rutin tertentu yang tidak banyak berbeza antara satu dengan yang lain.

Berikut adalah senarai perkara yang boleh anda jangkakan semasa di bilik bersalin.

pengalaman dalam bilik bersalin
Foto Kredit: atlantabirthdoula.com

8 Perkara Ibu Perlu ‘Expect’ Masa Masuk Bilik Bersalin

1. Hanya Akan Dibawa Ke Bilik Bersalin Semasa Fasa Aktif

Maksudnya, apabila anda ke hospital, anda tidak akan terus pergi ke bilik bersalin, melainkan jika kepala bayi sudah benar-benar hampir terkeluar.

Bergantung pada seawal mana anda pergi hospital apabila terdapat tanda-tanda bersalin, biasanya anda akan diperiksa luas bukaan serviks terlebih dahulu.

Untuk memeriksa bukaan rahim ini, doktor akan memasukkan jari ke dalam rahim anda – selalu orang kata ‘seluk’. Sakit jugalah kena seluk ni, sebab kita memang tak selesa.

Jika masih dalam fasa awal, anda akan ditempatkan di wad buat sementara waktu.

Hanya apabila kontraksi berlaku setiap 2-3 minit, barulah anda akan ke bilik bersalin.

pengalaman dalam bilik bersalin
Bila doktor pakai sarung tangan ini untuk periksa bukaan serviks, ramai mula mengeluh dan kecut perut. / Foto Kredit: gezondheidsnet.nl

2. Kena Buang Air Terlebih Dahulu

Jika anda disahkan hampir bersalin, jururawat akan memberikan ubat pelawas supaya anda membuang air besar sebelum ke bilik bersalin. Kalau boleh buang air secara semulajadi pun, tiada masalah.

Kalau boleh, jangan pula minum air banyak-banyak sangat sebelum nak masuk bilik bersalin. Nanti, doktor akan periksa perut. Kalau penuh, kita terpaksa kosongkan dan kencing melalui tiub.

Seperkara lagi, pastikan anda menjaga kebersihan diri setiap masa dan mencukur bulu ari-ari apabila menjelang tempoh bersalin. Ini dapat memudahkan proses jahitan sekiranya berlaku pembedahan atau episiotomi (potongan pada perineum).

pengalaman dalam bilik bersalin
Foto Kredit: simplybirthnh.com

3. Keadaan Di Bilik Bersalin Yang Sejuk

Bilik bersalin biasanya amat sejuk untuk mengelakkan kontaminasi.

Berkongsi pengalaman dalam bilik bersalin, penulis sendiri menggigil dan mengalami peningkatan suhu badan (demam sedikit) akibat tidak dapat menahan sejuk.

Jadi, mintalah selimut jika anda berasa kesejukan nanti.

Sesetengah hospital membenarkan suami masuk untuk menemani anda. Jika tidak dibenarkan, anda akan menunggu bersama pembantu perubatan atau jururawat sehinggalah bayi betul-betul bersedia untuk keluar.

Foto Kredit: pressa.tv
Foto Kredit: pressa.tv

3. Bantuan Jururawat

Dalam keadaan kesakitan juga, kita akan memerlukan pelbagai bantuan dan permintaan.

Dalam kebanyakan keadaan, mereka sangat mesra dan sedia membantu anda.

Tapi, tidak semestinya jururawat akan melayan semua kehendak anda, lebih-lebih lagi permintaan yang tidak munasabah.

Oleh itu, janganlah terlalu ‘demanding’ sehingga menguji kesabaran mereka. Bertahan dan bersabar itu lebih baik.

Foto Kredit: healthcareworkersalary.com
Foto Kredit: healthcareworkersalary.com

4. Ubat Tahan Sakit Boleh Buat Anda Mengantuk

Dalam fasa aktif kontraksi akan menjadi semakin sakit. Percaya tak, ramai ibu berpendapat kontraksi ini berkali ganda lebih sakit berbanding saat melahirkan bayi itu sendiri.

Maka, doktor akan menawarkan pengambilan ubat tahan sakit seperti suntikan epidural dan gas entonoks. Biasanya, akan ada kesan sampingan seperti mengantuk atau loya selepas bersalin.

Ada juga pengalaman yang ibunya tertidur terlalu mengantuk sehingga tak dapat meneran akibat pengambilan ubat tahan sakit ini.

Namun, ramai yang mengaku bahawa ubat tahan sakit ini amat membantu dalam mengurangkan kesakitan yang dialami.

Bersalin dengan epidural
Foto Kredit: Youtube.com

5. Kelahiran Normal Juga Kadangkala Perlukan Bantuan

Ketika kepala bayi mula kelihatan, mungkin anda akan berasa pedih sedikit. Proses melahirkan ini boleh memakan masa antara 20 minit hingga 2 jam.

Jika anda berjaya melahirkan bayi secara normal, bayi anda akan keluar apabila diteran. Sekiranya anda mengambil masa terlalu lama atau laluan terlalu sempit, doktor akan membuat potongan episiotomi.

Jika masih tidak berjaya, doktor mungkin akan menggunakan peralatan seperti vakum dan forsep.

Foto Kerdit: birthright.co.nz
Foto Kerdit: birthright.co.nz

6. Hargai ‘Skin Contact’

Bayi yang baru lahir akan ditunjukkan kepada anda, dibersihkan hidung dan matanya, diberitahu jantinanya, dan diberikan ‘skin contact’ buat seketika.

Walaupun anda kepenatan dan mungkin mengantuk akibat ubat tahan sakit, proses ini amat penting untuk ibu dan bayi kerana ia dipercayai dapat menstabilkan suhu bayi dan memberi kelegaan kepada anda berdua.

Anda juga boleh menyusukannya jika bayi mahu menyusu.

Selepas itu, bayi akan dibawa semula ke nurseri untuk dimandikan dan diazankan oleh suami anda.

Foto Kredit: simplybirthnh.com
Foto Kredit: simplybirthnh.com

7. Proses Mengeluarkan Plasenta Kadangkala Tidak Disedari

Oh ya, anda masih perlu mengeluarkan plasenta (uri) yang masih tertinggal di dalam rahim.

Biasanya jarak masa melahirkan bayi dan plasenta ini tidak begitu lama, sekitar 5-30 minit.

Mungkin anda akan merasakan kontraksi kecil menandakan plasenta anda sedang terpisah daripada dinding rahim dan sedia untuk dikeluarkan.

Jururawat atau doktor juga boleh membantu mengurut-urut rahim anda supaya ia dapat dikeluarkan dengan lebih mudah.

Tapi, ramai juga wanita yang tak perasan pun plasentanya telah keluar!

pengalaman dalam bilik bersalin
Foto Kredit: thenewhousefamily.co.uk

8. Proses Menjahit Perineum. Sakitkah?

Jika tadi anda melalui proses episiotomi, luka akan dijahit semula sejurus selepas plasenta keluar.

Walaupun sakit, tetapi pada ketika ini anda sudah boleh bertahan kerana ramai menganggap kontraksi adalah jauh lebih sakit.

Keadaan anda akan diawasi buat beberapa ketika untuk memastikan rahim terus mengecut dan tidak berlaku pendarahan yang terlalu banyak.

Anda akan dibekalkan dengan tuala wanita daripada hospital atau tuala wanita khusus yang telah dibeli untuk menampung darah nifas.

Selepas semuanya selesai, anda akan dibawa ke wad untuk berehat dalam pantauan doktor dan jururawat.

bersalin normal vs caesar
Foto Kredit: stratog.rcog.org.uk

Anda Penat, Tapi Sukar Berehat

Selepas semuanya selesai, anda akan berasa amat letih dan lapar selepas selesai bersalin. Jika tak bertenaga untuk makan, jamahlah sedikit makanan yang bertenaga seperti kurma.

Jika anda dan bayi tiada sebarang masalah atau komplikasi, biasanya bayi akan diletakkan bersebelahan anda sebaik sahaja dimandikan dan diazankan oleh suami anda.

Apabila bayi mula diletakkan di sebelah, anda perlu sentiasa ‘alert’ untuk menyusukan bayi, menukar lampinnya, dan menenagkannya jika menangis.

Untuk ibu yang pertama kali melahirkan, ini bukanlah suatu yang mudah apabila terpaksa melakukannya sendirian, lebih-lebih lagi dalam keadaan yang letih dan sakit.

Sementara itu, segala proses dokumentasi akan dijalankan dan biasanya si suami akan menguruskan segala hal pendaftaran kelahiran, bil hospital, dan sebagainya.

Proses bersalin normal tidak memerlukan anda untuk tinggal lama di wad, hanya sekitar 1-2 hari melainkan jika berlakunya sebarang komplikasi yang serius.

Foto Kredit: bbc.co.uk
Foto Kredit: bbc.co.uk

Semoga Semuanya Dipermudahkan

Tahniah buat anda yang bakal menempuh alam keibubapaan. Dengan mengetahui sedikit sebanyak tentang pengalaman dalam bilik bersalin, dapatlah anda menjangkakan dan membuat persediaan mental dan fizikal.

Ternyata, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Namun jangan risau kerana segalanya akan menjadi memori indah apabila melihat wajah bayi anda yang comel berada dalam dakapan.

Leave a Comment