6 Tips Menjadi Isteri Solehah Untuk Suami. Sukses Di Pejabat Dan Di Rumah!

Tips Menjadi Isteri Solehah

Ramai ibu di luar sana adalah wanita berkerjaya seperti saya. Mungkin anda adalah seorang doktor, guru, arkitek, jurutera, ahli perniagaan, kerani dan sebagainya. Apa jua pekerjaan anda, pada dasarnya anda dan saya telah sedikit lari dari fitrah sebagai seorang ibu yang dituntut untuk duduk di rumah dan mendidik anak-anak kerana Allah sangat memuliakan seorang wanita itu dan kerjaya yang paling layak dan agung untuk seorang yang bergelar isteri dan ibu adalah sebagai PENGURUS di rumah. Wallahua’lam.

Bekerja di luar rumah tidak salah selagi apa yang seorang ibu dan isteri itu berada di atas landasan syarak yang telah ditetapkan oleh Islam.

Baiklah, apa pun kita sekarang ini, saya dan anda telah memilih untuk bekerja. Mahu atau tidak, kita mesti melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan cara yang paling baik dan terbaik. Menjadi seorang isteri, ibu dan pada masa yang sama bekerja di luar rumah adalah satu perkara yang sangat berat untuk dilakukan.
Menjadi pekerja yang sukses tidak semudah yang disangka. Banyak perkara yang perlu diambil kira terlebih dahulu, baru kita boleh dikatakan sukses di tempat kerja dan juga bahagia di rumah. Apa perkara-perkara tersebut? Mari kita kongsikan bersama!

1. Restu suami

Adakah anda mendapat restu suami anda untuk bekerja? Dia redha anda bekerja? Cuba periksa dan Tanya suami anda sekarang. Jika dia tidak restu dan tidak redha, maka jangan mimpi untuk anda jadi sukses di tempat kerja dan juga bahagia di rumah.

Dari Aisyah ra. yang menceritakan; Aku bertanya Rasulullah; “Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan ?”. Jawab Nabi; “Suaminya”. Aku bertanya lagi; “Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?”. Jawab Nabi; “Ibunya”. (HR al-Hakim)

Pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’ telah menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu ?”. Bersabda Rasulullah saw. “Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya TAAT KEPADA SUAMI SERTA MENGAKUI HAKNYA adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, TETAPI SANGAT SEDIKIT DARIPADA GOLONGAN KAMU YANG DAPAT MELAKUKANNYA.” (HR Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

Nabi saw. bersabda, “Apabila seorang wanita redha atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya dia mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya di jalan Allah dan jika dia merasa berat, letih atau lesu, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.” (HR Ibn Hibban)

 

2. Niat yang baik

Mengapa anda bekerja? Adakah kerana anda bosan di rumah? Adakah anda ingin membantu suami untuk meningkatkan ekonomi keluarga? Adakah untuk suka-suka? Cuba fikir-fikirkan. Jika niat anda salah dan tidak murni, ia juga tidak menjamin anda untuk sukses di tempat kerja dan juga bahagia di rumah. Jom kita cek!

Murnikan niat kita. Mungkin ada yang bekerja kerana ingin membantu meningkatkan ekonomi keluarga. InsyaAllah ini diterima. Ada juga yang ingin memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya dan pelbagai niat murni yang ditanamkan. Mudah-mudahan niat kita itu diterima Allah swt.

Rasulullah SAW. bersabda,”Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap redha Allah. (HR Abu Daud dan An-Nasa’i)

3. Keluarga yang utama

Walau tinggi mana pun pangkat dan gelaran kita di tempat kerja, kita masih wajib mendahulukan keluarga dari kerjaya. Sebelum keluar dari rumah pastikan segala tanggungjawab diselesaikan dengan baik. Jika rumah terurus maka hati kita akan tenang. Sekaligus tanggungjawab kita di pejabat juga dapat dilaksanakan dengan baik.

Pernahkah anda bawa pulang kerja pejabat ke rumah? Ketika anda sedang melakukan kerja, tiba-tiba anak anda sangat memerlukan anda pada ketika itu. Adakah anda melayaninya seketika? Atau anda memarahinya kerana mengganggu anda bekerja? Fikir-fikirkan. Adilkah bagi suami dan anak-anak anda jika sejak dari pagi anda melakukan kerja pejabat dan mengabaikan mereka ketika anda berada di rumah?

Ini adalah salah satu kunci sukses anda di pejabat dan bahagia di rumah.

 

4. Bertolak ansur dan bekerjasama

Seorang isteri dan ibu yang bekerja memerlukan kerjasama daripada seorang suami. Tanpa kerjasama suami, mana mungkin isteri dapat melaksanakan tanggungjawabnya di rumah dan di pejabat dengan baik. Ini semua menuntut kepada kefahaman dan saling memahami antara satu sama lain.

Jika anda mempunyai lebih dari seorang anak, tanggungjawab anda tentu lebih besar dan sukar dari yang mempunyai seorang anak, bukan? Bayangkan pula bagaimana anda berpagi-pagi hendak ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah mahupun ke taska. Jika ini diuruskan seorang diri, mungkin ibu tersebut akan mudah rasa tertekan dan ini akan terbawa-bawa hingga ke pejabat.

 

5. Lazimkan solat Dhuha

Di manakah anda berada di antara waktu jam 8 pagi sehingga 11 pagi? Tentulah di pejabat, bukan? Di antara waktu ini, lakukanlah solat sunat dhuha kerana solat ini banyak fadhilatnya. Amalkanlah dan anda pasti terasa kehebatannya. Anda akan rasa diri anda bermotivasi dan semangat untuk bekerja.

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)
Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.

Sesetengah orang mengatakan jika mahu kaya lakukan solat dhuha. Itu bagi saya intepretasi sempit yang hanya memandang kepada harta dunia semata-mata. Rezeki bukan hanya pada harta dan wang ringgit. Dikurniakan anak-anak yang sihat adalah rezeki, dianugerahkan Allah suami yang penyayang dan memahami juga adalah rezeki. Jika pada hari itu anda berasa lapang dan sangat bahagia juga dinamakan rezeki.

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

 

6. Jaga aurat, maruah terpelihara

Setinggi mana pun pangkat kita, aurat kita sebagai seorang wanita masih sama iaitu seluruh badang kecuali muka dan tapak tangan.

Jagalah aurat anda ketika berada jauh dari suami. Janganlah mendedahkan aurat anda kerana itu hanya untuk suami anda sahaja. Maaf jika saya ingin menegur. Kadang-kadang kita ingin terlalu bergaya, berwangi-wangian tetapi di rumah kita sepeti wanita berpantang. Muka pucat lesi dan pakai kain batik sepanjang masa. Kita lebih cantik ketika berada di luar daripada ketika berada di dalam rumah. Bukankah ini sudah salah konsep.

Lagi satu, mari kita sama-sama periksa tudung kita. Adakah ia menepati syariat. Maaf sekali lagi ingin menegur. Dada anda mestilah ditutup. Pakailah tudung yang menepati syariat iaitu tidak menampakkan bentuk dada anda yang bidang itu. Anda sudahlah jauh dari suami. Maka suami orang lain pula yang memandang anda. Nauzubillah!

Inilah juga antara kunci sukses anda di pejabat dan bahagia di rumah. Berpakaian yang menepati syariat, dapat menghindarkan diri kita dari fitnah dan memelihara maruah kita.

Saya rasa cukup setakat ini dulu. InsyaAllah banyak lagi yang ingin saya kongsikan bersama sahabat-sahabat semua. Sehingga berjumpa di lain bicara.

2 thoughts on “6 Tips Menjadi Isteri Solehah Untuk Suami. Sukses Di Pejabat Dan Di Rumah!”

  1. Perkongsian dan panduan yang bagus untuk kita kaum wanita..smg dpt dijadikan panduan ke arah menjadi isteri dan ibu yg solehah..terima kasih..

    Reply

Leave a Comment