Warkah Buat Bonda – Sempena Hari Penyusuan Ibu Sedunia

Duhai bonda tercinta,

Setelah 9 bulan engkau kandungkan aku dengan penuh lelah dan payah, kini aku telah selamat melihat dunia. Betapa tidak sabarnya bonda ingin melihat dan membelaiku. Terima kasih bonda! Aku paling gembira bila dapat merasai tanganmu yang membelaiku, mendengar degup jantungmu yang mendakap rapatku ke dadamu. Dapat aku mendengar dan melihat tangisan gembiramu saat kau melihat aku keluar selamat dari rahimmu. Suka sekali saat mendengar alunan zikir dan nyanyianmu saat engkau menidurkanku.

Bondaku yang lemah lembut,

Izinkan aku sentiasa dekat denganmu. Agar dapat tetapku dengar suara dan degup debarmu. Aku mahu selalu  merasa hangat sentuhan dan ciumanmu. Dan yang paling membahagiakan aku, bila engkau memberikan aku susumu untuk aku meneruskan kehidupanku ini. Susu bonda adalah tanda kasih dan cintamu kepadaku. Aku merasa sangat selamat saat kau peluk erat aku dan titiskan rahmahmu kepadaku. Susumu itu merapatkan lagi kita, menyuburkan kasih mesra dan dan meyemarakkan sayang kita. Betapa rindu dan resahnya aku, saat kau tinggalkan aku walau sebentar cuma. Betapa penting dirimu duhai bonda!

Bondaku yang tabah,

Aku tahu betapa sukar untuk kau lalui fasa ini. Fasa untuk menyusukanku. Sesekali terdengar juga keluhmu namun kau tetap tabah menyusuiku. Aku tahu kadang-kala engkau sakit, ada masa engkau penat dan selalu juga engkau tidak nyenyak tidur. Namun, yakinilah bonda, betapa banyak pahala yang telah engkau bina dengan memberikan aku susumu itu. Hanya susumu yang aku perlukan saat ini, di waktu umurku belum 6 bulan. Tidak selain darinya. Bukan air, bukan nestum, bukan puting tiruan, malah bukan juga susu formula!

Bondaku yang baik pekerti,

Tahukah bonda, susu formula itu tidak baik untukku? Tahukah bonda air juga belum boleh diberikan kepadaku selagi umurku belum menjangkau 6 bulan? Tahukah bonda, mencampurkan nestum ke dalam susu juga sangat merbahaya kepadaku? Tahukah bonda, hanya susumu yang terbaik untukku? Oh bonda, aku tahu engkau pasti tahu semua ini. Allah menciptakan anugerah ini hanya kepada seorang ibu. Tiada yang sama dengan susumu atau yang hampir dengannya. Inilah yang aku mahu dan yang terbaik buatku. Benarkan, bonda?

Bondaku yang penuh kasih sayang,

Tiada yang lebih baik dari susumu itu. Maafkan aku jika aku terlalu memaksa. Ampunkan aku jika berkali kau menangis kerana tertekan dengan keinginanku ini. Aku tahu betapa kuat tangisanku ketika aku mahu mencari susumu. Sabarlah duhai bonda. Susuilah aku dengan kasih sayang dan penuh kesabaran. Jika susumu tidak keluar, bonda punya banyak masa untuk mendapatkannya. Mintalah bantuan ayahanda untuk membantumu melakukan kerja rumah, bidan untuk mengurut badan letihmu, sahabat dan keluarga untuk memberikan semangat saat ia luntur dan kendur, doktor dan kaunselor untuk memberikan nasihat untuk menggembirakanmu. Pasti ada yang membantumu. Pasti ada jalannya.

Bondaku yang disayang Allah,

Selamatnya aku ketika bersamamu. Sihatnya aku ketika meminum susumu itu. Pernahkah ibu terdengar dan terbaca bahawa, aku selamat dari banyak penyakit dan jangkitan, obesiti, ekzema dan asma jika aku minum susumu? Hebatkan susumu itu? Oh ya, jika bonda menyusukanku, bonda juga akan selalu sihat dan terhindar dari penyakit merbahaya.

Akhir kataku untukmu, terima kasih kerana melahirkan, menjaga, mendidik dan menyusukanku. Tidak terbalas jasamu, bonda.

Semoga Allah merahmatimu selalu dan memasukkankanmu ke dalam syurgaNya.

Daripadaku,

Anakmu

Leave a Comment