4 Tips & Cara Komunikasi Yang Berkesan, Agar Dapat Kerjasama Dari Anak

Bukan mudah menjadi ibu bapa yang bijak. Dalam arus kemodenan dan mengejar kekayaan juga pangkat, nilai murni di dalam keluarga juga sudah mula pudar dan hilang. Apabila kedua ibu bapa sudah mula sibuk, maka anak-anak juga terpinggir. Tiada komunikasi dan tiada sentuhan. Di manakah komunikasi jika seorang anak di dalam bilik, seorang lagi di hadapan televisyen dan ibu bapa tidak menegur kesilapan-kesilapan anak.

Ramai juga di kalangan ibu bapa yang gusar dan kecewa dengan sikap anak yang tidak menghormati mahu pun tidak mendengar kata. Jika ibu atau bapa memberikan nasihat, tidak semuanya dipatuhi malah ada yang melawan.
Sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik serta mentarbiyyah anak sebaiknya. Mereka adalah amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita sebagai ibu bapa. Bagaimana akhlaknya di masa hadapan bergantung kepada kebijaksaan kita mendidiknya sejak dari kecil lagi.

Sekali diingatkan bahawa peringkat kritikal perkembangan dan pendidikan anak-anak adalah ketika dia di awal usia. Tiada istilah terlalu awal untuk mendidik serta menunjukkan contoh tauladan kepada mereka walaupun mereka baru berumur 3 tahun!
Kadangkala kita tidak menyedari bahawa perbuatan mahupun percakapan kita terhadap anak memberikan kesan mendalam terhadap mereka.

Contohnya seperti situasi di bawah:

  1. “Ambilkan penyapu di dapur! “ atau “ Wafi, tolong ambilkan penyapu untuk Ummi”. Kadangkala kita tidak menyedari bahawa memohon pertolongan dan memberi arahan memberikan satu impak yang sangat besar. Anak akan mudah mendengar kata-kata kita jika kita memohon dengan baik bukan dengan memberi arahan semata-mata.
  2. Sedarkah kita bahawa kita lupa akan kuasa ‘terima kasih’?. Apabila anak sudah membantu, kita tidak langsung menghargainya apatah lagi mengucapkan terima kasih atas pertolongannya.
  3. Perbuatan ibu bapa yang bertengkar atau pun berselisih pendapat di hadapan anak juga memberikan kesan kepada anak. Walaupun kita sebagai suami isteri berbeza pendapat, cuba lakukannya di belakang anak, bukan di hadapannya.
  4. Suami isteri wajib saling hormat menghormati samada di hadapan atau di belakang anak. Anak sentiasa melihat bagaimana ayah menghormati ibu dan ibu menghormati ayah. Daripada situlah anak akan belajar menghormati ayah dan ibunya dengan melihat orang lain menghormati.

Bagaimanakah mendapatkan perhatian anak?

Agak sukar mendapatkan perhatian anak apabila dia sedang bermain permainan kesukaannya atau dia sedang asyik menonton televisyen. Apatah lagi jika anak dipanggil secara menjerit dari bilik yang berlainan. Samalah jua keadaaanya dengan kita. Jika kita sedang sibuk dengan tugasan dan ada yang menganggu konsentrasi, kita pasti lambat memberikan respon jika dipanggil atau disuruh.

Di sini ada beberapa tip yang boleh ibu bapa gunakan untuk mendapat perhatian serta memastikan anak mendengar apa yang kita sedang perkatakan.

  1. Pergi kepada anak di mana anak itu berada – jangan menjerit atau memanggil dari bilik yang lain
  2. Sebelum bercakap, dapatkan perhatian anak dahulu. Duduk atau berdiri sama tinggi dengan anak dan pandang matanya. Pegang atau sentuhnya dengan lembut dan mulalah bercakap apa yang dikehendaki
  3. Bercakaplah dengan cara yang terbaik dan boleh diterima oleh anak.
  4. Bercakap dengan intonasi yang lembut

Bagaimana mendapat kerjasama daripada anak?

Kita tidak suka diarahkan terlalu kerap. Begitu juga dengan anak. Mereka tidak suka dikritik dan menerima arahan. Jadi bagaimana kita mahu mendapat kerjasama mereka?

  1. Mohon bukan mengarah.
    Kita pasti tidak suka jika anak mengarahkan kita seperti, “ Ibu, basuhkan baju saya. “ Ibu, carikan buku latihan saya. “ Begitu juga anak tidak suka jika mengarah seperti, “ Pergi berus gigi sekarang. “ Simpan semua permainan kamu. “ Kita tukar arahan kepada memohon supaya anak mudah mendengar kata-kata seperti, “ Wafi, boleh tak kemaskan permainan kamu supaya kita boleh pergi ke taman? “ atau “ Wasim, boleh kamu berus gigi kamu sekarang dan kemudian masuk tidur”.
  2. Tidak membebel.
    Bagi anak, mereka hanya dapat menangkap arahan yang mudah sahaja. Membebel tidak menyelesaikan masalah. Anak tidak tahu mana satu yang harus didengar dan diikuti. Kata-kata seperti, “ Kan ibu dah cakap, bilik mesti kemas. Sebentar lagi datuk kamu nak dating dari kampung, “ hanya buat anak keliru. Ia akan menjadi mudah jika kita katakana begini. “ Boleh Wafi kemaskan semua barang permainan ini? “
  3. Lakukan bersama.
    Cara yang paling mudah, “ Jom kita kemas sama-sama. “
  4. Jadi contoh.
    Anak pasti mudah disuruh jika dia sering melihat ibu bapanya melakukan perkara yang sama seperti meletakkan barang di tempatnya selepas digunakan, menyahut panggilan jika dipanggil dan membantu tanpa disuruh.

Iktiraf Perasaan Anak!

Kita adalah manusia. Manusia punyai perasaan. Kadangkala kita gembira dan kadangkala kita sedih. Begitu juga anak. Anak punyai perasaan yang memerlukan pemahaman dan pengiktirafan kita.
“ Ummi tak faham perasaan saya! “
“ Ibu tak tahu saya takut.”
“ Ayah tak tahu saya sedang marah!”
“ Saya sedang bergembira, tetapi ibu tidak faham! “

Inilah di antara perasaan anak yang sering kita abaikan. Kita tidak mengakui akan perasaan mereka. Kita tidak memahami malah tidak pula mendekati. Ini sering berlaku jika kita terlalu sibuk dengan tugasan harian kita tanpa menyedari bahawa keperluan dalaman anak memerlukan perhatian kita sebagai ibu bapa.

Cuba kita perhatikan dua situasi yang berbeza ini:

Situasi 1:

Ibu sedang sibuk memasak. Anak yang baru pulang dari sekolah terus meluru ke arah ibu.
Anak: Ibu, tadi di sekolah Ahmad tumbuk Wafi!
Ibu tidak langsung menoleh kepada anak dan meneruskan memasak.
Anak: Ibu dengar tak?
Ibu: Ibu dengarlah. Kan ibu sedang masak. Wafi cakap sahaja, Ummi dengar.
Anak pergi berlalu kerana mendapati ibunya tidak berminat mendengar ceritanya. Dalam situasi ini, anak sedang berada dalam keadaan sedih kerana berlaku sesuatu di sekolah. Ibu tidak mendengar malah tidak mengiktiraf perasaanya. Dia mungkin tidak akan bercerita lagi selepas ini.

Situasi 2:

Anak: Ibu, tadi di sekolah Ahmad tumbuk Wafi!
Ibu berhenti memotong sayur dan merendahkan badannya, mendengar apa yang ingin diperkatakan oleh anaknya.
Ibu: Ya kah? Cuba Wafi cerita.
Anak: Masa Wafi tengah main, Ahmad ambil permainan Wafi. Wafi ambil balik dan Ahmad tumbuk Wafi.
Ibu mendengar dengan tekun. Dia tidak memarahi, bersetuju atau menafikan perasaan anaknya.
Anak: Lain kali, Wafi main dengan Ali. Dia tak tumbuk orang lain.
Anak akan rasa lapang apabila dia dapat meluahkan perasaannya. Kadangkala dia hanya mahu ibu atau bapanya mendengar akan kesedihan, kemarahan atau kegembiraannya. Dalam situasi di atas, ada tindakan yang memerlukan teguran namun kita boleh menegurnya apabila dia sudah tenang dari kemarahan dan kesedihannya. Inilah yang dinamakan komunikasi berkesan.

Prinsip Komunikasi Yang Baik Dengan Anak-anak

  1. Tunjukkan kepada anak bahawa kita suka dan berminat dengan aktiviti atau apa yang ingin diperkatakan oleh anak.
  2. Alihkan perhatian terhadap anak apabila kita sedang membaca surat khabar atau menonton televisyen apabila anak ingin bercakap dengan kita.
  3. Jika anak perlukan privasi, carilah ruang untuk hanya bercakap dengannya tanpa gangguan orang lain.
  4. Tidak memalukan anak di hadapan orang lain. Ini adalah komunikasi yang tidak langsung berkesan untuknya.
  5. Jika kita sedang marah tentang perilaku anak, diam seketika. Jangan terus memarahi kerana kita mungkin akan lari dari objektif. Diam sebentar dan bertenang. Kemudian barulah pergi kepada anak dan nasihat dengan baik. Jangan tanya kenapa atau mengapa, tetapi cuba galakkan dia menceritakan apa yang sedang berlaku.

Semoga kita dapat meningkatkan kemahiran kita berkomunikasi dengan anak agar lebih mudah untuk kita berinteraksi dan memahami perasaan mereka.

Selamat mendidik!

5 thoughts on “4 Tips & Cara Komunikasi Yang Berkesan, Agar Dapat Kerjasama Dari Anak”

Leave a Comment