Sedarkah Anda, Ini 7 Amalan Pemakanan Yang Paling Mudah Menyebabkan Gemuk

Kegemukan atau obesiti merupakan pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Biasanya ia terjadi tanpa disedari oleh seseorang individu akibat amalan pemakanan yang tidak sihat.

Obesiti terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi berlebihan. Lebih teruk lagi, obesiti boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ badan dan seterusnya akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan juga mengakibatkan penyakit strok.

Selain daripada menghadkan kegiatan fizikal dan sosial, jangka hayat penghidapnya juga semakin pendek. Apabila badan semakin membesar, aktiviti harian pun akan terbatas kerana seseorang yang mengalami obesiti ini mudah penat.

Amalan pemakanan yang tidak sihat adalah punca utama obesiti. Jadi, sebelum terlambat, kita perlu jauhinya.

Foto Kredit: funzine.hu
Foto Kredit: funzine.hu

7 Amalan Pemakanan Yang Perlu Dijauhi Untuk Mengelakkan Obesiti

1. Makan Sambil Menonton

Tabiat pemakanan ketika menonton televisyen atau menonton wayang akan menempatkan diri anda ke dalam kancah kegemukan.

Kebiasaannya, amat menyenangkan jika menonton sambil makan. Tetapi, tabiat pemakanan ini sangat bahaya dan perlu anda jauhkan. Hal ini kerana, ketika anda menonton anda tidak sedar jumlah makanan yang telah masuk ke dalam mulut kerana keasyikan menonton.

Jika cerita yang ditonton masih belum tamat, anda akan makan dan tidak berhenti. Tanpa anda sedari, anda telah makan dengan banyak.

Anda masih lagi boleh makan ketika menonton, tetapi bukan makanan yang boleh menggemukkan.

Jika tabiat makan ketika menonton tetap tidak dapat dielakkan cukuplah sekadar makan buah-buahan atau pencuci mulut yang lain yang kurang mudarat terhadapa tahap kolesterol anda.

amalan pemakanan tak sihat

2. Makan Ketika Memandu

Kebanyakan pemandu lebih gemar untuk memandu sambil makan bagi mengelakkan mengantuk. Mereka lebih suka makan snek, kuaci atau kekacang yang mudah dimakan. Sepanjang perjalanan, makanan akan menjadi peneman setianya ketika memandu.

Tetapi adakah anda sedar, tabiat pemakanan seperti ini akan mengundang masalah?

Masalah bukan sahaja akan menyebabkan kegemukan, tetapi turut membahayakan pemanduan anda kerana boleh menyebabkan anda hilang fokus. Cuba alihkan tabiat pemakanan itu kepada cara lain.

Seperti berzikir, bernyanyi atau pun memberi sepenuh perhatian terhadap pemanduan.

Anda pasti boleh elak dari mengantuk. Jika masih mengantuk dan perlu makan, anda boleh mengunyah gula getah atau gula-gula untuk memberi kesegaran sepanjang pemanduan anda. Atau pun anda boleh membeli buah-buahan potong yang mudah untuk dimakan ketika memandu.

Badan anda bukan sahaja akan segar, tetapi memberi kesihatan yang optimum kepada anda.

amalan pemakanan tidak sihat
Foto Kredit: bekiasalud.com

3. Memilih Makanan Berlemak

Makanan bersantan memang sinonim dengan masyarakat Melayu. Hal ini terjadi kerana, kebanyakan makanan tradisi mengandungi santan.

Pengambilan santan yang berlebihan mengundang peningkatan lemak atau kolesterol dalam badan.

Jika di kedai makan, cubalah alihkan perhatian anda dari memilih makanan yang berlemak dengan memilih makanan berebus, atau bakar, atau boleh memilih sup sayur dan sebagainya.

Kurangkan mengambil kuah bersantan. Selain itu pengambilan ayam dan daging yang berlebihan juga boleh memudaratkan.

Pastikan dalam seminggu bekerja, dua atau tiga kali sahaja anda memilih ayam atau daging sebagai menu pilihan, selebihnya banyakkan sayur dan ikan. Ayam bandar dikatakan lebih memudaratkan kerana kebanyakannya disuntik berbanding ayam kampung.

Selain santan, ayam dan daging, kurangkan juga makanan bergoreng. Jika menu anda adalah telur, pilih cara merebus telur. Jika menggoreng, kuantiti minyak haruslah dikurangkan dari biasa.

Cara ganti puasa di bulan Ramadhan

4. Suka Makanan Segera & Snek Tak Berkhasiat

Kesibukkan kerja pada masa kini mampu mengundang padah sekiranya kita menggunakan alasan tiada masa untuk memasak. Jadi sebagai kesannya, kita akan membeli seberapa banyak makanan segera di kedai untuk dijadikan stok harian untuk dimakan.

Setiap kali sebelum atau selepas kerja, makanan segera akan menjadi peneman kita. Sebab sangat mudah untuk menyediakannya ditambah dengan rasa yang lebih lazat dan berlemak. Premis makanan segera juga seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Bila anda terasa lapar, hanya dengan satu panggilan, makanan tersebut akan datang kepada anda. Senang bukan?

Tetapi adakah anda sedar, amalan pemakanan seperti ini akan memudaratkan tubuh anda?

Tahukah anda bahawa kebanyakan makanan segera ini mempunyai kandungan garam dan penambah perisa yang tinggi?

Dengan pengambilan makanan dan minuman segera ini, anda tidak boleh mengawal kandungan garam, gula, dan krimer ke dalam badan anda. Pengambilan jenis makanan dan minuman ini boleh memudaratkan tubuh badan anda dalam jangka masa yang panjang. Ubah amalan atau corak pemakanan ini dengan memilih makanan segera yang lebih berkhasiat seperti bijiran dan buah-buahan.

mengidam
Foto Kredit: partyexcuses.com

5. Makan Sambil Berbual

Rasulullah juga turut melarang umatnya makan sambil berbual. Larangan ini juga bersebab.

Apabila anda makan sambil berbual, anda tidak sedar berapa banyak makanan dan jumlah kalori yang telah anda ambil. Apabila anda makan sambil berbual, anda tidak dapat mengunyah makanan dengan betul kerana sibuk hendak bercakap. Kesannya, makanan akan ditelan sebelum hancur.

Amalan pemakanan ini akan menyebabkan usus anda memproses makanan dengan begitu lambat kerana saiz makanan yang masih besar.

Jika makanan tidak dapat diproses dengan sempurna, makanan tersebut akan bertukar menjadi lemak dan menempel di bahagian bawah kulit.

Proses ini akan membuatkan badan anda akan semakin membesar. Patuhi dan ikutilah sunah Rasulullah untuk mengunyah sebanyak 40 kali.

Bukan sahaja baik untuk sistem penghadaman, malah bagus untuk proses pencernaan.

amalan pemakanan

6. Makan Lewat Malam

Pengambilan makanan berat pada waktu malam boleh memberi kesan yang memudaratkan dalam jangka masa yang panjang. Amalan pemakanan ini telah menjadi satu budaya dan perkara biasa bagi mereka yang bergelar warga kota.

Mana tidaknya, mereka gemar mengunjungi premis-premis restoran atau gerai yang dibuka 24 jam setiap hari yang juga ada menawarkan perkhidmatan jalur lebar dan sememangnya akan menjadi daya tarikan pelanggan untuk makan sambil melayari internet.

Walaupun kita sedia maklum bahawa makanan yang mengandungi protein dan karbohidrat adalah nutrien yang amat diperlukan oleh badan tetapi sekiranya berlebihan ia menjadi punca penyakit yang berkait dengan kolesterol.

Jika anda seorang yang aktif dalam erti kata sentiasa menggunakan tenaga untuk bekerja walau pun malam, tidak menjadi masalah jika anda makan malam.

Walau bagaimanapun, ini menjadi masalah yang besar kepada individu yang tidak melakukan apa-apa aktiviti di waktu malam kerana kebarangkalian untuk mendapat penyakit adalah lebih tinggi.

Mengapa hal ini terjadi?

Pada waktu malam, kadar metabolisme pada badan adalah rendah. Sekiranya makan malam antara pukul 8 malam dan ke atas, kemungkinan badan kita gagal membakar kalori yang diproses daripada makanan yang dicernakan. Kesannya, makanan itu akan menjadi lemak yang akan menggemukkan badan.

amalan pemakanan tidak sihat
Foto Kredit: podruzhkii.ru

7. Makan Banyak Ketika Tertekan

Bebanan tugas di tempat kerja, menguruskan keluarga atau masalah peribadi menyebabkan anda mudah tertekan dan kemurungan.

Selalunya, ada sesetengah pendapat mengatakan makan banyak dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Betul, kebanyakannya memang dapat mengurangkan tekanan mereka, tetapi masih perlu mengamalkan amalan pemakanan yang sihat.

Hal ini kerana, apabila kita marah hormon dalam badan menjadi tidak stabil, jadi sebanyak mana pun kita makan ketika itu tidak akan kita sedari kerana diri kita telah dikuasai perasaan marah.

Walau bagaimanapun, anda boleh menghilangkan sikap marah dengan berselawat, berzikir atau pun boleh makan tetapi dalam kuantiti yang sedikit.

Coklat dikatakan dapat membantu menghilanglan kemarahan. Jadi boleh makan coklat ketika marah tetapi dalam kuantiti yang sedikit.

Pengambilan coklat yang berlebihan juga tidak bagus kerana boleh mengundang masalah kegemukan dan penyakit lain seperti kencing manis.

http://stresscaredoc.com
Foto Kredit: stresscaredoc.com

Jauhi Obesiti Sebelum Terkena

Amalan pemakanan yang tidak sihat dapat kita hindarkan sekiranya kita cukup pengetahuan tentang bahaya tabiat pemakanan tersebut.

Jauhinya sebelum terlambat. Sentiasa minum air masak yang cukup untuk melancarkan segala proses penghadaman dan perncernaan.

Kekurangan air dalam badan juga boleh menyebabkan penyakit buah pinggang. Jadi, bertindak segera dan pilihlah langkah yang bijak dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Wallahualam.

 

 

*Artikel asal oleh MamaAliya

1 thought on “Sedarkah Anda, Ini 7 Amalan Pemakanan Yang Paling Mudah Menyebabkan Gemuk”

Leave a Comment