Ibu Ini Lahirkan Anak Kembar 4 Selepas Berdoa di Mekah. Subhanallah!

ibu kembar empat

Anak Kembar 4

Sememangnya tidak dapat dikhabarkan betapa gembiranya nikmat pemberian Allah di dalam bentuk zuriat. Dan pasti ianya lebih menggembirakan sekiranya pasangan suami isteri telah bercuba bertahun-tahun lamanya dan hampir berputus asa.

Takdirlah yang menentukan segala-galanya tetapi itu tidak bermakna kita harus berhenti berusaha. Begitulah kisahnya dengan pasangan suami isteri dari Indonesia, Heru Kunadi yang berumur 34 tahun dan Happy Ayunita Mahardina yang berumur 32 tahun. Mereka sudah lima tahun berkahwin tetapi masih belum dikurniakan anak walaupun telah banyak kali mencuba.

Gagal mengandung

Setelah gagal secara semulajadi, mereka memutuskan untuk menggunakan kaedah bayi tabung uji. Pertama kali mereka mencuba kaedah bayi tabung uji tersebut pada Januari 2013 tetapi gagal. Namun mereka meneruskan usaha kali kedua pada bulan berikutnya tetapi gagal juga. Kali ketiga pada bulan Mac 2013 juga menemui jalan buntu dan Happy serta suaminya hampir berputus asa.

Kemudian pada akhir 2013, mereka telah pergi ke tanah suci Mekah dan tidak berhenti-henti melafazkan doa bagi mengurniakan mereka cahaya mata yang sangat-sangat diidamkan. Di sana Happy bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak kembar 4, iaitu empat orang anak sekaligus.

Bayi tabung uji

Sekembalinya dari sana selang beberapa bulan, mereka bercadang untuk mencuba kaedah bayi tabung uji buat kali terakhir. Tanpa memberitahu sanak-saudara, mereka telah ke Hospital Siloam Surabaya. Mereka mendapat inspirasi daripada artis Indonesia terkenal seperti Inul dan Jonatan Frizzi yang telah berjaya mendapat anak kembar di sana.

Setelah menghabiskan hampir sebulan di Surabaya, akhirnya berita yang mereka nanti-nantikan muncul jua. Apa yang lebih memelikkan adalah, doktor telah mendapati bukan tiga bayi yang dikesan di dalam perutnya, tetapi empat janin bayi. Tentu sekali anak kembar 4!

Di saat itulah mereka teringat lafaz doa yang dirakamkan di tanah suci Mekah. Betapa gembiranya pasangan tersebut, Allah sahaja yang tahu. Tetapi bukanlah semuanya semudah yang disangkakan.

Setelah mendapat tahu hal anak kembar 4 tersebut, doktor ada menyarankan supaya salah satu daripada bayi tersebut mungkin terpaksa digugurkan. Ini kerana salah seorang bayi tersebut terhimpit oleh tiga lagi bayi di bahagian paling bawah rahim. Risiko yang ditanggung oleh Happy dan bayi-bayi tersebut sangatlah tinggi.

Rezeki dapat anak kembar 4

Namun Happy tidak mahu mengalah kerana rezeki tersebut adalah kurniaan Allah dan sesungguhnya beliau telah bersungguh-sungguh doa di Mekah untuk mengurniakan anak kembar 4, iaitu empat orang anak dan ternyata sekali pemintaan beliau termakbul. Oleh itu beliau gagahkan juga dan enggan membuang salah satu daripada bayi tersebut dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah.

Selepas berkeras juga, akhirnya doktor membenarkannya tetapi harus dipantau rapi. Begitu banyak pantang larang terpaksa dilalui dan untuk itu Happy sanggup tempuhinya juga. Begitu tabahnya wanita ini dengan ujian Allah.

Semenjak hamil dua bulan, beliau berhenti bekerja dan betul-betul menjaga kesihatannya. Malah beliau turut berhenti dari menggunakan telefon bimbit dan hanya berhubung dengan sanak saudara dan rakan taulan melalui Facebook. Seringkali beliau menceritakan pengalamannya melalui laman sosial tersebut.

Akhirnya beliau selamat melahirkan keempat-empat anak di dalam kandungannya itu sewaktu berusia 32 minggu dan 5 hari. Tiga daripadanya adalah lelaki manakala seorang perempuan. Mereka lahir ke dunia ini seberat 2kg, 1.8kg, 1.6kg dan 1.3kg. Mereka diberi nama Rabani, Habibi, Ghani dan Safea.

Ya Allah, betapa gigihnya seorang ibu melalui onak ranjau demi anak-anaknya dan sesungguhnya Engkau menguji seseorang manusia itu setakat terdayanya. Terpulanglah kepada manusia untuk bersabar dengan ujian-Nya dan semoga kisah ibu lahir anak kembar 4 selepas berdoa di Mekah dijadikan iktibar kepada orang lain.

Jika teringin mendapatkan anak kembar, baca cara mendapatkan anak kembar tulisan kami sebelum ini.

Nota: Artikel dipetik dari merdeka.com

2 thoughts on “Ibu Ini Lahirkan Anak Kembar 4 Selepas Berdoa di Mekah. Subhanallah!”

Leave a Comment