‘Kurangkan Aktiviti Bermalasan’ Bahaya Berat Badan Berlebihan Semasa Hamil

Kebanyakan wanita yang mempunyai berat badan berlebihan melalui proses kehamilan dan kelahiran tanpa sebarang masalah dan melahirkan bayi yang sihat dan comel.

Walau bagaimanapun, berat badan berlebihan meningkatkan risiko dan komplikasi kepada anda dan juga bayi.

Artikel saya pada kali ini menerangkan bagaimana penjagaan tambahan dan cara mengawal berat badan ketika hamil serta langkah-langkah yang boleh anda amalkan untuk mengurangkan risiko kepada anda dan bayi ketika kehamilan ini dan juga kehamilan pada masa akan datang.

Kakitangan kesihatan yang menjaga anda sudah tentu tidak akan menyalahkan anda sama sekali kerana mempunyai berat badan berlebihan, malahan saya percaya mereka akan memberikan penjagaan rapi serta sokongan yang anda perlukan untuk memastikan proses kehamilan dan kelahiran berjalan lancar dan selamat.

makanan menaikkan berat badan
Foto Kredit: earlypregnancy.net

Apakah itu BMI ?

BMI (Body Mass Index) atau Indeks Jisim Badan dikira melalui berat dan ketinggian anda. BMI yang sihat adalah BMI yang melebihi 18.5 kg/m2 dan kurang dari 25 kg/m2.

Seseorang itu dikira overweight jika BMI individu tersebut jatuh antara 25 dan 29.9 kg/m2 dan obes jika mempunyai BMI 30kg/m2 atau lebih pada awal kehamilan.

Bilakah sepatutnya saya mengira BMI?

BMI sepatutnya dikira pada perjumpaan pertama antenatal. Jika BMI anda adalah 30kg/m2 atau lebih, kakitangan kesihatan akan memberikan maklumat mengenai risiko yang bakal anda hadapi ketika proses kehamilan dan cara-cara untuk meminimakan risiko-risiko tersebut, dan penjagaan tambahan yang anda perlukan.

Jika anda mempunyai persoalan serta kemusykilan megenai BMI anda, inilah masa terbaik dan sesuai untuk berbincang dengan staf kesihatan anda.

tips besarkan payudara
Foto Kredit: debmimeter.nl

Apakah risiko-risiko yang dikaitkan dengan kehamilan yang mempunyai BMI berlebihan?

Dengan mempunyai BMI melebihi 25, ia akan meningkatkan risiko serta komplikasi kepada wanita hamil dan bayi yang dikandungnya.

Dengan pertambahan BMI, risiko serta komplikasi lagi meningkat, lebih membimbangkan jika mempunyai BMI 40kg/m2 dan lebih.

Risiko-risiko yang saya nyatakan adalah seperti berikut :

  • Darah Beku (Thrombosis)

Thrombosis adalah keadaan darah membeku di kaki di panggil Thrombosis Vena (Venous Thrombosis) atau darah membeku di kaki kemudian darah beku ini bergerak melalui sistem peredaran darah dan menyumbat salur darah di peparu (pulmonary embolism).

Wanita yang hamil mempunyai risiko yang tinggi mendapat darah beku jika dibandingkan dengan wanita yang tidak hamil. Jika BMI anda adalah 30 atau lebih, risiko mendapat darah beku di kaki menjadi lebih meningkat.

  • Kencing manis ketika hamil (Gestational diabetes)

Kencing manis yang didapati ketika anda disahkan hamil dikenali sebagai kencing manis ketika hamil (Gestational diabetes) . Jika BMI ada adalah 30kg/m2 atau lebih, risiko anda mendapat kencing manis jenis ini meningkat sebanyak 3 kali jika dibandingkan dengan mereka yang mempunyai BMI kurang daripada 30kg/m2.

  • Tekanan darah tinggi dan pra-eklampsia

BMI 30kg/m2 atau lebih meningkatkan risiko anda untuk mendapat darah tinggi ketika hamil.

Pra-eklampsia adalah keadaan dalam kehamilan apabila tekanan darah meningkat dan mempunyai protein di dalam air kencing (proteinuria). Jika anda mempunyai BMI melebihi 35kg/m2 pada peringkat awal kehamilan, risiko anda untuk mendapat pra-eklampsia ini meningkat sebanyak 2 kali jika dibandingkan dengan wanita yang mempunyai BMI di bawah 25kg/m2.

10 Peranan Suami Ketika Isteri Hamil. Mengandung Itu Indah!
Foto Kredit: huffingtonpost.com

Risiko-risiko kepada bayi dengan pertambahan BMI ibu pula bagaimana ?

  • Kecacatan bayi

Jika BMI 30 kg/m2 atau lebih sebelum hamil atau pada peringkat awal kehamilan, boleh menganggu perkembangan awal bayi ketika di dalam rahim. Kecacatan tiub Neural (Neural Tube Defects) – kecacatan pada bahagian otak dan tulang belakang boleh berlaku. Dalam keseluruhan 1 dalam 1000 bayi dilahirkan dengan kecacatan jenis ini di United Kingdom. Jika BMI anda melebihi 40kg/m2 risiko bayi anda untuk mendapat kecacatan jenis ini berganda sebanyak 3 kali jika dibandingkan dengan wanita yang mempunyai BMI di bawah 30kg/m2.

  • Keguguran

Risiko keseluruhan keguguran bawah 12 minggu adalah 1 dalam 5 (20%), jika anda mempunyai BMI lebih 30kg/m2, risiko keguguran bertambah menjadi 1 dalam 4 (25%).

  • Bayi yang besar

Anda juga selalunya akan mempunyai bayi yang besar juga, yang mempunyai berat 4kg. Jika BMI anda melebihi 30kg/m2 risiko ini berganda dari 7 dalam 100 (7%) kepada 14 dalam 100 (14%) jika dibandingkan dengan wanita yang mempunyai BMI antara 20 dan 30 kg/m2.

  • Bayi mati dalam kandungan

Risiko keseluruhan adalah 1 dalam 200 (0.5%), tapi jika BMI melebihi 30kg/m2 risiko ini berganda menjadi 1 dalam 100 (1%)

  • Bayi berisiko terhadap obesiti dan kencing manis

Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, bayi anda juga mempunyai risiko mendapat obesiti dan kencing manis apabila bayi itu besar kelak.

Keguguran kandungan
Foto Kredit: Screengrab dari YouTube

Bagaimana pula risiko berkaitan BMI yang meningkat ketika proses kelahiran ?

Komplikasi meningkat sekiranya BMI anda melebih 40kg/m2. Komplikasi termasuklah :

  • Bayi dilahirkan awal atau pramatang iaitu sebelum kandungan berusia 37 minggu.
  • Proses kelahiran yang panjang
  • Bahu bayi boleh tersangkut ketika proses kelahiran.
  • Kelahiran secara pembedahan caesarean secara kecemasan.
  • Jika memerlukan pembedahan caesarean, ianya bukan suatu yang mudah dilakukan, risiko berkaitan pembedahan meningkat, contohnya luka pembedahan senang dijangkiti kuman dan lambat sembuh.
  • Risiko melibatkan bius, lebih-lebih lagi jika bius penuh diperlukan.
  • Tumpah darah selepas bersalin ataupun ketika pembedahan caesarean dilakukan.
Foto Kredit: keyword-suggestions.com
Foto Kredit: keyword-suggestions.com

Bagaimana cara mengawal berat badan ketika hamil dan mengelakkan risiko tersebut?

Berikut adalah cara mengawal berat badan ketika hamil serta langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko yang disebutkan di atas.

Pemakanan sihat

Rujuk kepada pegawai zat permakanan untuk perkara ini.

  • Pastikan makanan anda mempunyai karbohidrat seperti kentang, roti, nasi dan pasta.
  • Jaga-jaga kuantiti makanan dan snek dan berapa kerap anda makan. Jangan makan untuk ‘2 orang’.
  • Makan makanan yang mengandungi serat yang tinggi seperti oat, kekacang, buah-buahan, sayur sayuran, beras perang dan pasta.
  • Makan sekurang-kurangnya 5 hidangan yang mengandungi pelbagai buah-buahan, sayur-sayuran setiap hari, menggantikan makanan yang kaya dengan lemak dan kalori
  • Jangan tinggalkan sarapan pagi

Secara keseluruhannya, anda tidak memerlukan kalori tambahan untuk peringkat kehamilan awal. Anda hanya perlu tambahan 200 kilokalori setiap hari pada peringkat terakhir kehamilan.

Percubaan untuk mengurangkan berat badan ketika hamil tidak digalakkan sungguhpun anda berada dalam keadaan obes kerana ianya boleh membahayakan ibu dan bayi dalam kandungan.

Cara mengawal berat badan ketika hamil secara sihat adalah dengan mengamalkan pemakanan yang sihat serta mengubah gaya hidup. Anda mungkin tidak menambah berat badan ketika hamil, malahan anda mungkin hilang sedikit berat badan- cara ini tidak berbahaya.

makanan menurunkan berat badan

Bersenam ketika hamil

Selain pemakanan, cara mengawal berat badan ketika hamil yang paling bagus adalah dengan mengekalkan gaya hidup aktif. Aktiviti seperti berjalan, berbasikal, berkebun, berenang boleh dilakukan. Gunakan tangga walaupun ada lif – salah satu senaman juga.

Kurangkan aktiviti-aktiviti bermalas-malasan seperti duduk dalam tempoh jangka masa yang lama menonton televisyen ataupun melayan facebook di komputer atau komputer riba.

Gaya hidup aktif tidak berbahaya kepada anda dan juga bayi. Walau bagaimanapun, jika anda tidak biasa bersenam, perlu mulakan senaman perlahan-lahan, sebaiknya tidak lebih dari 15 minit senaman berterus-terusan, 3 kali seminggu. Kemudian barulah anda tingkatkan masanya kepada 30 minit setiap sesi pada setiap hari.

Mungkin anda boleh memantau untuk tidak bersenam secara berlebihan (overdoing) dengan memastikan anda boleh berbual dengan teman ketika bersenam.

cara mengawal berat badan ketika hamil
Foto Kredit: reference.com

Pertambahan dos asid folik

Asid Folik membantu mengurangkan risiko bayi anda mendapat kecacatan tiub neural (neural tube defect). Jika BMI ada adalah 30 kg/m2 dan lebih, anda seharusnya mengambil asid folik dengan dos 5mg sehari. Ini adalah dos tinggi dari dos kebiasaan yang diberikan kepada ibu hamil, dan memerlukan preskripsi doktor.

Sebaik-baiknya asid folik ini diambil sebulan sebelum kehamilan dan disambung permakanannya sehingga kandungan berusia 13 minggu. Walau bagaimanapun, jika anda belum dimulakan vitamin ini, masih boleh mendapat manfaat apabila anda disahkan hamil.

Vitamin D

Semua wanita hamil dinasihatkan untuk mengambil tambahan 10 mikrogram vitamin D setiap hari. Suplemen ini sangat penting sekiranya anda obes, kerana anda berisiko mendapat kekurangan vitamin D.

makan vitamin semasa mengandung
Foto Kredit: momjunction.com

Darah beku di kaki (Venous thrombosis)

Risiko anda untuk mendapat darah beku akan dibincangkan pada kali pertama perjumpaan dengan doktor. Jika perlu, anda akan dimulakan ubat suntikan untuk mengurangkan risiko tersebut.

Kencing manis ketika hamil (Gestational diabetes)

Anda akan diminta minum air gula pada usia kandungan 24 dan 28 minggu. Jika BMI melebihi 40 kg/m2, anda akan diminta minum air gula lebih awal. Jika keputusan ujian ini menunjukkan anda mempunyai kencing manis ketika hamil, anda akan dirujuk kepada pakar perbidanan.

Darah tinggi ketika hamil & pra-eklampsia

Setiap kali temujanji, tekanan darah anda akan diukur. Risiko untuk anda mendapat pra-eklampsia boleh meningkat jika umur anda melebihi 40, atau anda mempunyai kandungan terdahulu dengan pra-eklampsia atau anda sudah mempunyai tekanan darah tinggi sebelum hamil.

Jika anda mempunyai faktor-faktor ini atau yang lain, anda mungkin dimulakan ubat Aspirin dengan dos yang rendah untuk mengurangkan risiko mendapat pra-eklampsia.

tanda kehamilan kembar
Foto Kredit: momjunction.com

Pemeriksaan ultrasound tambahan

BMI yang melebihi 30 boleh menganggu perkembangan bayi dalam rahim, maka anda perlu pemeriksaan ultrasound tambahan. Anda juga mungkin memerlukan scan tambahan kerana terdapat kesukaran untuk memeriksa bayi anda berkembang dengan sepatutnya.

 

 

*Artikel ini ditulis oleh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, MBBS (Universiti Malaya), Registrar Obstetrik & Ginekologi (Perbidanan & Sakit Puan) yang berkhidmat di salah sebuah hospital di Selangor. Ianya pertama kali diterbitkan di Malaysian Medical Gazette melalui pautan http://www.mmgazette.com/berat-badan-ketika-hamil-berpantang-dr-muhammad-izzat/ dan diterbitkan semula atas kebenaran beliau.

 

Leave a Comment