Antara “Anak Mak” atau “Anak Ayah”, Anak Anda Pilih Mana?

“Nini tak nak baca buku dengan Ayah! Nak Mama je!”

Sentap.

Walaupun kata-kata hanya daripada seorang budak kecil. Rasa macam kena tumbuk tepat di muka! Lebih-lebih lagi jika anak anda tiba-tiba menangis dan meronta untuk melepaskan diri daripada kita. Sedangkan niat di hati cuma nak bermesra, “Aduhai.. Kecil-kecil dah pandai pilih kasih ya…”

Masalahnya bukan saja pada Papa Nini, tetapi juga pada Mamanya. Manakan tidak, dari bangun tidur, mandi, makan, bermain, semuanya nak Mama. Boleh pengsan Mama sebab kepenatan nak melayan dia saja!

Dalam kes lain pula, ada anak yang lebih ‘suka’kan ayahnya walaupun ibunyalah yang menghadap mukanya 24 jam! Bayangkanlah kekecewaan ibunya yang bertungkus lumus seharian di rumah, apatah lagi mengandung dan melahirkannya… Mesti ada ibu yang berasa geram, bukan?

Pilih Kasih – Adakah Ianya Normal?

Pilih kasih di kalangan anak-anak merujuk kepada ‘parental preference’ atau ‘playing favourite’ dalam istilah keibubapaan. Dalam diri anak-anak, sebenarnya ia adalah petanda positif perkembangan emosi dan kognitif mereka.

Seperkara lagi, tindakan ‘pilih kasih’ anak kecil membantu mereka meneroka hubungan, dan melatihnya kemahiran membuat pilihan. Dengan menguasai kemahiran ini, anak-anak akan membesar menjadi seorang yang lebih berdikari.

Menurut laman web Parents.com, 90% daripada responden mengakui bahawa anak kecil mereka akan menjadi lebih rapat dengan salah seorang daripada ibu atau bapa. Pada masa yang sama, mereka berasa kurang senang dengan salah seorang yang lain.

Adakah Anak Betul-betul Tidak Sukakan Saya?

Tentulah tidak! Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa mereka berasa selamat dan disayangi. Dalam fikiran mereka, walau apa pun yang terjadi, Mama atau Papa sentiasa ada untuknya.

Menurut kebanyakan pakar psikologi kanak-kanak, mereka sebenarnya berasa ‘istimewa’ kerana mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan salah seorang ibu bapa.

Selain itu, mereka juga memahami bahawa mereka akan mendapat perhatian yang lebih apabila didampingi oleh salah seorang ibu bapa dalam satu-satu waktu. Yalah, jika bertiga, berempat, memang banyak ragam. Kebanyakan masa, ibu bapa saja yang bercakap sesama sendiri tanpa menghiraukan anak-anak!

Biar Anak Saja Yang Pilih Kasih, Bukan Anda!

Laman web modernmom.com melaporkan bahawa anak-anak akan mula menyukai kedua-dua ibu bapanya apabila mereka mula mempunyai kefahaman terhadap minat dan aktiviti bersama.

Janet Lansbury, penulis buku “No Bad Kids” menekankan kepentingan ibu bapa dalam menghadapi situasi pilih kasih dengan tenang. Menurutnya, apabila anda berdua dapat menguasai keadaan ini dengan baik, anak-anak akan dapat mempelajari pengajaran yang sangat bernilai seperti:

  • Ibu bapa saya adalah ketua keluarga yang berkeyakinan dan mereka tidak takutkan saya.
  • Perasaan marah dan kecewa adalah selamat untuk diluahkan dan dibincangkan bersama keluarga.
  • Ibu bapa saya perlu dihormati dan disayangi.
mama vs papa
Foto Kredit: http://babiesgottahaveit.com

Tips Untuk Menangani Anak Pilih Kasih

Dalam hal ini, kedua-dua ibu dan bapa perlu memainkan peranan. Tidak kiralah sama ada anda di pihak ‘favourite’ atau yang sebaliknya, ada tips yang boleh dipraktikkan supaya keadaan menjadi lebih neutral:

A) Jika anda adalah ‘favourite’ anak,

1. Libatkan pasangan dalam tugas-tugas harian

Kenapa libatkan pasangan? Ini supaya mereka nampak aktiviti kerjasama antara kedua ibu bapanya. Menyapu sampah, menjemur pakaian, mencuci kereta, atau menyiram pokok bunga.

Tidak kiralah tugasan kecil atau besar, tentu ianya mendatangkan sudut pandangan positif kepada mereka. Malah, mereka akan berasa teruja untuk menyertainya. Lebih-lebih lagi, jika anda berdua nampak sangat seronok melakukannya bersama!

2. Tinggalkan pasangan anda berdua dengan anak sekali-sekala

Apa kata anda pergi membeli-belah atau bersantai dengan teman? Tinggalkan anak di rumah seketika dengan pasangan supaya mereka dapat ‘bonding’ dengan membuat aktiviti bersama.

Selagi anda berada di dalam rumah, selagi itulah anak anda akan tertumpu kepada anda. Dengan cara ini, anak tidak akan mempunyai pilihan selain berbaik-baik dengan pasangan anda sehingga anda pulang!

3. Jangan selalu jadi watak utama

Cuba alih perhatiannya dengan memberi penekanan kepada ‘kehebatan’ pasangan yang selalu disisihkan. “Wah, tengok Papa pandai main bola!”, atau “Tengok, kamu takkan percaya apa yang Papa dapat buat dengan buih sabun ini!”.

Semasa anak sedang gembira, ambil peluang untuk mengajak pasangan anda ambil giliran dalam sesuatu aktiviti. Contohnya, dalam permainan anda boleh mengatakan “Baik, sekarang lambung bola pada Papa pula ya”. Banyak aktiviti yang anda boleh lakukan bersama sambil bergilir seperti menyanyi, membaca buku, atau melukis.

4. Ajak solat berjemaah sekeluarga

Perkara yang satu ini memang banyak manfaatnya. Tidak kiralah anak anda masih kecil atau besar, pendedahan kepada solat berjemaah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Sewaktu bersalaman, ucapkan nasihat dan doa yang baik-baik di telinganya. Gunakan perkataan yang dapat difahami. Waktu lepas solat adalah waktu yang baik kerana emosinya tenang dan positif.

B) Jika anda yang selalu disisihkan,

1. Ambil peluang bersama anak

Anda harus bijak mengambil peluang untuk bersama anak anda. Jangan berasa terlalu ego untuk mengambil hati anak, walaupun dia selalu menolak kehadiran anda.

Untuk mengurangkan tekanan, mulakan dengan ‘menyibuk’ apabila anak dan pasangan anda main bersama. Jadilah watak yang paling kecil terlebih dahulu sebelum memainkan watak utama. Contohnya, dalam permainan bola, anda mungkin boleh menjadi ‘pengutip’ bola sebelum menjadi pemain utama.

Lama-kelamaan, anak akan menjadi biasa dengan kehadiran anda dan bolehlah anda mengorak langkah yang seterusnya!

2. Ajak anak keluar bersama

Tidak perlu pergi jauh, bermain di luar sahaja sebenarnya sudah cukup mengujakan sekiranya anda pandai merancang aktiviti.

Contohnya, Papa boleh mengajaknya ke kedai atau makan tengahari berdua sementara Mama berehat di rumah. Bawa permainan yang disukainya jika anda berasa tidak yakin untuk melakukannya buat pertama kali.

Begitu juga dengan Mama yang selalu disisihkan. Jika anda sering bersama dengan anak di rumah, mungkin dia menjadi bosan dengan rutin tersebut. Oleh itu, bawalah dia keluar ke perpustakaan, taman permainan, pasar, atau berjumpa kawan ketika Papa pergi bekerja.

3. Terokai minat anak

Tanyakan pada pasangan apa yang diminati oleh anak sekiranya anda tidak tahu. Jika anda perasan baru-baru ini anak anda sangat sukakan kartun tertentu, anda boleh mengajaknya melukis karakter tersebut.

Mungkin dia sangat suka sesetengah lagu, maka anda harus belajar lagu yang diminatinya. Biasanya, mereka akan rasa lebih selamat dan selesa dengan sesuatu yang ‘familiar’.

4. Jangan marah apabila rasa tidak dihargai

Sekiranya semuanya tidak berhasil, bersabarlah dan beri masa pada anak dan diri sendiri. Pastikan anda tidak marah atau merajuk kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.

Beritahu pada pasangan anda tentang perasaan anda supaya anda berdua boleh bekerjasama dengan lebih berkesan. Selain itu, berdoalah supaya anda diberi kekuatan untuk sentiasa tersenyum walaupun selalu disisihkan.

Pilih kasih
Foto kredit: http://fatherhoodfactor.com

Yang Penting Anda Sayangkannya!

Walau siapa pun ‘favourite‘ anak anda, percayalah ia bukan pengukur nilai kasih sayangnnya terhadap anda. Selalunya kecenderungan pada ketika itu bersifat sementara dan ia mungkin saja bertukar dalam masa terdekat.

Oleh itu, kita harus berfikiran matang kerana semua yang berlaku ini adalah sebahagian daripada proses tumbesarannya. Bersedialah untuk memberinya senyuman yang paling manis dan pelukan yang paling erat walaupun cemburu dengan anak yang suka pilih kasih.

Jangan ambil hati ya!

Leave a Comment