5 Tips Mengandung Lagi Selepas Keguguran Bayi. Atasi Fobia!

Pertamanya, takziah diucapkan kepada semua wanita yang mengalami keguguran. Sememangnya bukan senang untuk melalui saat-saat kehilangan, terutamanya bagi pasangan yang sekian lama mengusahakan kehamilan.

Kadangkala, ada wanita yang dianugerahkan dengan kehamilan yang seterusnya dalam masa beberapa bulan sahaja selepas diberitakan dengan keguguran. Namun, kehamilan yang seterusnya ini menjadikan mereka fobia dan serba tidak kena. Adakah anda pernah berasa demikian?

Setiap Kehamilan Datang Dengan Risiko Keguguran

Secara statistiknya, 1 daripada setiap 20 kehamilan akan berakhir dengan keguguran. Manakala, 1 daripada 200 kes adalah keguguran berulang. Malahan, ada wanita yang pernah mengalami keguguran berkali-kali sebelum dapat melahirkan bayi yang cukup sifat.

Setiap wanita pasti akan tertanya-tanya punca yang menyebabkan keguguran. Dalam sesetengah kes, puncanya amat sukar dikenalpasti dan berlaku secara tiba-tiba. Keguguran boleh berpunca daripada pelbagai sebab. Antaranya termasuklah faktor umur, perubahan hormon, gaya hidup, masalah kesuburan, kemalangan, atau tekanan perasaan.

Menurut Psychology Today, sebanyak lebih kurang 25% daripada jumlah keguguran terjadi pada minggu-minggu awal kehamilan, iaitu sebelum masuk minggu ke-20.

Setelah masuk minggu ke-20 atau sekitar trimester ke-2, kandungan anda biasanya sudah cukup kuat. Oleh sebab itu, keguguran pada peringkat ini kurang berlaku. Walaubagaimanapun, masalah pada plasenta (uri), tali pusat, kecacatan kromosom, atau jangkitan masih boleh menyebabkan keguguran pada pertengahan tempoh kehamilan.

Keguguran bayi dalam kandungan
Foto Kredit: jugglingmom.com

Menerima Hakikat Keguguran Bayi

Tdak dinafikan, dengan mengenalpasti punca keguguran, anda akan merasa lebih ‘in control’ apabila menghadapi alam kehamilan yang seterusnya. Walaupun sesetengah punca keguguran masih tidak dapat diketahui, amatlah penting bagi seseorang wanita menerima hakikat bahawa keguguran itu bukan berpunca daripada kesilapannya, tetapi sesuatu yang ditakdirkan di luar kawalan manusia.

Tips Mengatasi Fobia Kehamilan Yang Seterusnya

1. Luahkan perasaan

Sekiranya anda belum pernah meluahkan perasaan kehilangan anda kepada sesiapa, inilah masanya. Cari seseorang yang anda rasa selesa – suami, ibu, ayah, mertua, adik beradik, kawan, atau sesiapa sahaja.

Jika anda tidak suka bercerita mengenainya, tulislah tentangnya di dalam diari atau blog anda. Ada sesetengah yang lebih selesa untuk berkongsi perasaan dengan orang tidak dikenalinya. Tidak mengapa. Asalkan ianya tidak terbuku di dalam hati.

Dengan meluahkan perasaan, anda akan merasakan seperti seketul batu besar telah diangkat daripada bahu anda. Walaupun ianya tidaklah menyelesaikan masalah, tetapi ia mampu melegakan perasaan dan membantu anda untuk menjadi lebih berkeyakinan.

2. Ambil masa untuk bertenang

Menangis, berkurung dalam bilik, termenung, tidur sepanjang hari – buatlah apa pun dalam beberapa hari ini. Kecewa dan sedih adalah perkara yang normal untuk dirasai sebagai manusia biasa.

Ambil masa untuk anda bertenang. Luangkan masa dengan pasangan anda dan dengarkan kata-kata dorongan daripada mereka yang anda sayangi. Seelok-eloknya, dengarkan ayat-ayat suci al-Quran supaya ia dapat mengembalikan kekuatan.

3. Utamakan kesihatan selepas keguguran

Seperti kelahiran biasa, keguguran juga perlu berpantang. Malah, ramai bidan berpendapat bahawa mereka yang keguguran perlu melalui rejim berpantang yang lebih ekstrim supaya badan anda benar-benar pulih dan lebih bersedia untuk kehamilan seterusnya.

Apa yang penting, jagalah kesihatan anda sebaik-baiknya. Janganlah terlalu bersedih sehingga mengabaikan makan minum yang akhirnya memudaratkan diri.

Sekiranya anda mengetahui punca keguguran anda, pastikan anda mengambil ubat, makanan berkhasiat, atau suplemen yang bersesuaian. Rujuklah pada doktor dan jalani prosedur yang bersesuaian untuk membantu memulihkan kesihatan rahim anda.

3. Kongsi pengalaman dengan ibu yang senasib

Kini, terdapat pelbagai medium untuk anda membaca pengalaman ibu-ibu lain yang pernah mengalami nasib seperti anda. Jika berasa malu untuk berdepan dengan sesiapa yang anda kenali, ‘Google’ sahaja kata kunci seperti ‘pengalaman keguguran’ atau ‘miscarriage experience’. Anda akan mendapat ratusan ribu pengalaman yang dikongsikan di alam maya.

Menerusi Belfast Telegraph, seorang doktor di Ireland Utara pernah berkongsikan pengalamannya yang kehilangan bayi ketika kandungan berusia 8 minggu sekitar April 2015. Walaupun seorang doktor, beliau mengakui bahawa beliau tidak pernah menyedari keguguran adalah sesuatu yang amat sukar untuk diterima oleh setiap wanita.

Keguguran bayi
Dr Blathnaid Carlin, 28,berkongsi perasaan menerusi Facebook
Foto Kredit: belfasttelegraph.co.uk

Setelah berkongsi kesedihan di Facebook, beliau mendapat respon yang luarbiasa daripada pembaca termasuklah mereka yang tidak dikenalinya. Malah, wanita lain juga mula meluahkan perasaan mereka yang senasib dengannya dan proses ini amat membantunya untuk menjadi lebih positif.

4. Mencuba lagi setelah bersedia

Walaupun anda amat mengharapkan kehadiran seorang zuriat, janganlah tergesa-gesa. Ini kerana hubungan seks bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan, terutamanya dalam keadaan anda yang masih trauma dan tertekan.

Beritahu pasangan anda dengan lembut tentang perkara yang mengganggu fikiran anda. Jika belum bersedia janganlah pula langsung menjauhkan diri daripada pasangan. Ini kerana, pasangan anda juga sebenarnya turut merasakan kehilangan walaupun dia tidak mengandungkan bayi.

Peluklah dia, ciumlah dia, eratkan hubungan anda berdua dan cubalah apabila anda telah benar-benar bersedia.

5. Berdoa dan bertawakal

Dalam apa-apa hal yang terjadi pada diri kita, perkara paling utama yang perlu ditetapkan dalam hati ialah perasaan kehambaan pada Tuhan. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, berusaha, dan berdoa. Selebihnya, terpulanglah kepada kuasa Tuhan. Bahkan, kadangkala kita sendiri tidak menyedari bahawa suatu ujian itu amat bermakna untuk kita walaupun ianya begitu perit.

 

Sekiranya Simptom Kemurungan Berterusan…

Sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali masih mengalami tekanan perasaan walaupun selepas sebulan lamanya, cubalah dapatkan nasihat doktor. Terdapat sejenis sindrom tekanan perasaan kritikal, iaitu ‘Post Traumatic Stress Disorder’ yang dikaitkan dengan trauma wanita keguguran.

Walaupun proses pemulihan adalah sukar, namun ianya tidak mustahil. Segelintir wanita terlalu menyalahkan diri sendiri dan takut untuk mengecewakan orang sekeliling dengan kehamilan yang seterusnya.

Malah, ada yang tetap terus dalam kemurungan kerana tidak dapat melupakan perasaan ‘attachment’ terhadap kandungan pertama. Namun percayalah, kesediaan anda untuk kehamilan seterusnya bukanlah bermaksud anda melupakan kandungan tersebut.

Leave a Comment