4, 5, Atau 6 Tahun. Umur Berapa Paling Sesuai Hantar Anak Ke Tadika?

“Rasa macam kecil sangat lagi nak hantar anak ke tadika… Boleh ke dia bawa diri nanti? Tapi kalau hantar lambat takut ketinggalan pula?”

Haa.. Ini mesti antara suara hati ibu-ibu yang agak risau nak hantar anak ke tadika. Yalah, rasa macam baru je lahirkan anak tu. Tiba-tiba dah nak ke sekolah!

Kini semakin banyak tadika yang menerima kemasukan anak-anak yang berusia 4 tahun. Malah, taska-taska yang ‘advanced’ pun ada yang dah mula silibus pengajaran seawal 3 tahun.

Kenapa Hantar Anak Ke Tadika Sebelum Mula Bersekolah?

Walaupun pendidikan prasekolah tidak termasuk dalam pendidikan wajib, ramai ibu bapa amat mengambil berat tentangnya.

Menerusi GreatSchool.org, seorang pakar berkongsi pendapatnya:
“Dari segi perkembangan otak, sebenarnya anak kecil belum bersedia untuk membaca sehinggalah umur mereka 6 tahun. Tetapi, sejak dari lahir ibu bapa perlu membiasakan anak-anak ini dengan ‘aktiviti pembelajaran yang menarik’ seperti membacakan buku cerita, melukis, dan permainan yang berunsur pendidikan.”

Tambahnya lagi, pengalaman inilah yang kurang diterapkan pada anak-anak dan ianya menyebabkan jurang pembelajaran apabila mereka mula bersekolah.

Bagaimana Mengetahui Jika Anak Saya Bersedia Atau Tidak?

Menangis dan meraung pada hari pertama ke tadika bukanlah sesuatu yang perlu dihairankan. Malah, ia tidak patut diletakkan sebagai penghalang utama atau kayu pengukur kesediaan anak-anak.

Antara tanda-tanda anak kita sudah bersedia ialah:

• Boleh berinteraksi dengan kanak-kanak lain dan orang dewasa. Jika masih takutkan orang lain, mungkin susah untuk menyesuaikan diri apabila ke tadika. Tetapi, ada juga yang suka dengan persekitaran baru di tadika.

• Boleh duduk diam dan memberi perhatian kepada buku cerita yang dibacakan selama 10 minit.

• Mendengar dan mengikuti 2 arahan mudah sekaligus. Contohnya, “Pilih buku cerita dan kembali ke meja masing-masing.”

• Pandai meminta pertolongan apabila memerlukan.

• Mampu memberitahu sesuatu kepada orang luar dengan ayat mudah dan dapat difahami.

• Sudah mula pandai pergi ke tandas sendiri. Hal ini mungkin membimbangkan beberapa ibu bapa. Jangan risau, ada tadika yang masih berkompromi sekiranya anak anda masih bermasalah menggunakan tandas sendiri. Malah, ada tadika yang membantu anak-anak dalam menguruskan hal ini.

Kenapa Perlu Hantar Awal? Dan Mengapa Ada Yang Dilewatkan?

1. Potensi Otak

Tahukah anda, otak anak-anak mempunyai kuasa yang sangat luarbiasa seawal umur 5 tahun. Mengikut kajian yang dilaporkan dalam raisesmartkid.com, kemahiran emosi, perkembangan motor, penglihatan, dan kepekaan terhadap bunyi-bunyian adalah paling sensitif pada usia 0-5 tahun. Ya, waktu inilah yang dikatakan ‘otak macam span’!

Selepas itu, keupayaannya mula menurun sedikit demi sedikit. Atas sebab inilah biasanya ibu bapa memilih untuk hantar anak mereka ke tadika lebih awal.

2. Mengisi Masa Anak

Selain itu, ada ibu bapa yang bekerja dan tidak mampu menyediakan persekitaran pembelajaran dan bermain dengan anak-anak mereka. Jika dibiarkan di rumah pengasuh, kebanyakan mereka tidak didedahkan dengan pengalaman pembelajaran yang mampu memperkasakan potensi mereka. Kasihan pula jika mengenangkan mereka menghadap televisyen sehari suntuk!

3. Kemahiran Sosial Anak

Bagi anak sulung atau anak tunggal, mereka tiada teman lain di rumah selain ibu dan bapa untuk meningkatkan potensi kemahiran sosial. Jadi, kita mahu dia berkawan dan berseronok dengan teman di tadika. Dengan cara ini juga, mungkin anak-anak akan lebih bijak membawa diri.

Ada ibu bapa berpendapat anak-anak mereka masih belum bersedia dan mahu anak-anak menikmati ‘zaman kanak-kanak’ sehabis-habisnya sebelum memulai pembelajaran formal.

hantar anak ke tadika
Siapa tak sejuk hati tengok anak-anak macam ni?
Foto Kredit: Wikiislam.net

Seperkara yang perlu kita ingat, pergi ke tadika juga membantu mereka menanamkan jati diri. Tadika yang berunsur islamik contohnya, mampu memberi pendedahan kepada agama secara lebih sistematik.

4. Pilihan Tadika Yang Sesuai

Walaubagaimanapun, dengan pemilihan tadika yang sesuai, tiada apa yang patut dirisaukan dengan kesediaan mereka. Kebanyakan tadika kini mengetengahkan konsep ‘belajar sambil bermain’ supaya anak-anak tidak rasa terbeban. Lazimnya juga, tiada peperiksaan yang diperuntukkan untuk kanak-kanak 4 tahun di tadika.

Tadika Sebagai Satu Permulaan, Bukan Penghujung Jalan!

Walau apa pun pilihan kita sebagai ibu bapa, ketahuilah bahawa hantar anak ke tadika adalah hanya sebuah permulaan dalam perjalanan akademik anak kita.

Tidak kiralah bila anak-anak bermula, kitalah yang bertanggungjawab untuk mencorak dan memberinya sokongan dalam memastikan kejayaannya di kemudian hari.

Leave a Comment