“Apasal dengan Anas ni, dari tadi asyik pegang telinga dia sampai merah dah jadinya. Tengok tak ada apa pun kat telinga si kecil ni. Mesti ada yang tak kena ni. Nak bercakap, kita manalah faham bahasa tubuh bayi. Apa nak buat ni?”
Bukan mudah untuk mengetahui perasaan bayi kerana masih kecil dan tidak pandai bercakap. Biasanya bayi akan meluahkan melalui tangisan.
Jadi bagaimana nak tahu apa yang dirasai oleh bayi?
Lihat pergerakan yang dilakukan sewaktu menangis dan ketawa. Dari situ anda boleh mengetahui kehendaknya.

Selain Menangis, Ini 7 Bahasa Tubuh Bayi Yang Anda Perlu Fahami
Walaupun belum boleh boleh berkata-kata, mereka sebenarnya mampu mengisyaratkan sesuatu melalui bahasa tubuh bayi.
Jadi, mari kita cuba memahaminya.
1. Menendang kakinya
Ia mungkin bermakna: Bayi sedang merasa gembira dan seronok dengan keadaannya. Menendang-nendang kaki adalah salah satu cara menunjukkan yang bayi sedang gembira.

2. Melengkungkan badan
Ia mungkin bermakna: Bayi sedang dalam kesakitan atau rasa tidak selesa. Jika bayi melengkungkan badannya sewaktu menyusu, segera tukar kedudukan bayi agar dia selesa.

3. Menghantuk kepala
Ia mungkin bermakna: Bayi meragam, rasa tak selesa atau dalam kesakitan. Jika bayi sering lakukan perbuatan ini dan dalam tempoh yang lama, segera bawa berjumpa doktor.

4. Memegang telinga
Ia mungkin bermakna: Bayi sedang dalam mood gembira. Namun jika menangis sambil memegang telinga, bermakna dia dalam proses tumbuh gigi dan kurang selesa. Periksa telinga jika bayi sering memegang telinganya dengan kerap kerana ditakuti adanya jangkitan kuman di situ.

5. Menggenggam tangan
Ia mungkin bermakna: Ia adalah perbuatan normal yang sering dilakukan oleh bayi. Tapi ia juga petanda yang dia sedang lapar atau dalam keadaan stress. Pastikan bayi diberi makan dan perhatian.

6. Mengangkat lutut
Ia mungkin bermakna: Bayi ada masalah pencernaan, perut tidak selesa, sembelit ataupun kentut. Ambil bayi dan urut badannya dengan perlahan agar lebih banyak angin dapat keluar melalui sendawa mahupun kentut. Jika anda menyusu, kurangkan pengambilan makanan yang boleh menyebabkan angin dalam badan.
7. Tangan terangkat-angkat
Ini mungkin bermakna: Reaksi bayi yang alert pada bunyi dan persekitaran. Bayi baru lahir memang mudah terganggu pada sebarang bunyi dan mengangkat tangan adalah respon yang normal.

Pentingnya Memahami Bahasa Tubuh Bayi
Bukan mudah memahami apa yang dirasai dan diinginkan oleh bayi, namun jika tahu pergerakan yang dilakukan, dengan mudah anda memahami apa yang ingin disampaikan oleh bayi.
Jika diperhatikan, ternyata mereka memang mempunyai cara tersendiri untuk berhubung dengan kita.
Rugilah kalau tak dapat memahami bahasa mereka, bukan?