Pagi-pagi lagi mak sudah telefon dan ingatkan aku untuk pergi kenduri sepupu kat kampung. Aduh malas betul nak pergi majlis kahwin. Bukannya apa, nanti banyak soalan bonus makcik-makcik tanya.
“ Bila nak beranak lagi?” “Takkan satu je cukup?” “Jangan merancang keluarga sangat, kamu tu bukannya muda lagi” dan seribu satu soalan yang menyesakkan jiwa. Tak campur lagi tengok sepupu yang muda-muda dah beranak pinak sampai ada yang punya enam anak!
Jumlah anak dalam keluarga memang antara topik yang sering diutarakan oleh masyarakat sekeliling. Jika ada satu, maka akan keraplah ditanya bila pula pertambahan yang kedua. Bila ada sepasang, maka bertanyalah bila pula pertambahan ketiga, keempat dan seterusnya.
Ramai pasangan suami isteri berada dalam dilema apabila kerap ditanya soalan ini. Keinginan untuk menambah bilangan anak pasti ada walaupun merancang keluarga. Tapi, mungkin juga ada pasangan yang menunggu waktu yang sesuai atau benar-benar bersedia untuk menambah lagi.
Jadi, bilakah masa yang sesuai untuk menambah bilangan anak?
Tahun depan? Dua tahun lagi? Tiga tahun lagi?
Ada 8 perkara yang boleh difikirkan sebelum mengambil keputusan untuk menambah ahli baru iaitu:
1. Jarak umur anak
Jika anda ingin memberi masa hingga anak-anak sedia ada membesar dan boleh berdikari sendiri, maka anda boleh rancang tempoh untuk kehadiran ahli baru.
2. Kos perbelanjaan
Meliputi sejak dilahirkan, kos penghantaran ke rumah pengasuh (jika ibu bekerja), rawatan kesihatan, belanja sekolah dan banyak lagi. Jika kewangan mengizinkan, tidak salah menambah ahli baru.
3. Kesihatan ibu
Adakah ibu sudah bersedia fizikal dan mental untuk menghadapi morning sickness, alahan yang teruk, temujanji doktor, moody, letih sekali lagi?
4. Penerimaan anak pada adik baru
Bagaimana reaksi anak-anak apabila diberitahu mereka bakal menerima adik baru. Adakah mereka suka atau tidak suka?
Dan jika anak tidak suka, apakah langkah yang boleh diambil untuk menambahkan kasih sayang pada adik baru.
5. Cope dengan kerenah anak-anak
Bagaimana nak cope dengan karenah dan demand anak-anak yang semakin membesar ditambah pula dengan kehadiran bayi yang sememangnya menjadi fokus utama anda.
6. Bersedia untuk luangkan masa
Kalau dahulu, anda masih boleh bangun lewat dan bersantai pada hujung minggu namun adanya ahli baru, ia menuntut banyak masa serta tenaga anda tidak kira siang, malam mahupun pagi.
7. Faktor usia
Perlu juga difikirkan sama ada anda dan suami masih berkemampuan dari segi kudrat untuk menjaga bayi yang baru lahir.
8. Komitmen dengan kerjaya
Kalau dahulu anda sering outstation hingga ke luar negara, namun adakah dengan kehadiran ahli baru, anda berpeluang lagi untuk menerima tanggungjawab itu?
Jika bayi sakit, anda perlu mengambil cuti dan adakah ia menjejaskan prestasi kerja?
Sepakat merancang keluarga, jangan lupa libatkan suami!
Libatkan suami anda sebelum mengambil keputusan untuk menambah ahli baru kerana anda perlu fikirkan juga perasaan dan kemahuannya adakah sama seperti anda atau tidak.
Jika anda dan suami sudah sepakat, maka tiada istilah masa yang sesuai kerana anda pasti tidak sabar memegang bayi anda yang comel dan bakal menceriakan lagi kehidupan anda!