Panduan Melakukan Aktiviti Dengan Anak di Rumah

Ramai ibu bapa yang sangat teruja untuk melakukan aktiviti bersama anak-anak di rumah. Namun apabila memikirkan anak yang kadangkala tidak memberikan kerjasama yang baik serta akan menjadikan rumah sangat bersepah, maka kadangkala niat dan rancangan itu terkubur begitu sahaja.
Anak-anak fitrahnya sukakan sesuatu yang baru, yang boleh menguji minda dan mengembangkan imaginasinya. Pastinya aktiviti seperti ini akan dikenang mereka selamanya lebih-lebih lagi jika dapat melakukannya di rumah bersama ibu bapa dan adik beradik yang lain. Sudah tentu banyak sekali faedah yang mereka perolehi jika dapat melakukan aktiviti berfaedah di rumah, seperti:
1. Tidak hanya bergantung kepada gajet dan peralatan elektronik yang menghadkan kreativiti anak.
2. Dapat mengembangkan kreativiti mereka dan menjadikan mereka aktif.
3. Merapatkan hubungan keluarga jika dapat dilakukan bersama-sama.
4. Dapatkan merangsang minda dan fizikalnya seperti melatih skil motor kasar dan motor halus.
5. Dapat memperkayakan kemahiran berbahasa anak.
Sebenarnya, melakukan aktiviti di rumah tidak sesukar seperti yang digambarkan. Jika ianya dirancang dengan baik, kita dapat melakukan aktiviti itu dengan baik sekali, Ada beberapa perkara yang kita wajib pastikan bagi memastikan aktiviti yang dijalankan bersama anak di rumah adalah menarik dan bermanfaat untuk anak.
1. Jangkamasa yang pendek
Kebanyakan anak-anak mempunyai jangkasama untuk fokus yang pendek. Anak di bawah umur 7 tahun adalah terlalu  muda untuk fokus pada sesuatu kerja dalam jangkamasa yang terlalu lama. Jadi, pastikan aktiviti yang hendak anda lakukan bersamanya adalah aktiviti yang sesuai dengan umur dan kemampuannya. Jadikan diri anada dan aktiviti yang dirancang itu sesuatu yang fleksibel untuk anak-anak.
2. Bantu anak
Bantu anak ketika mereka melakukan aktiviti yang anda telah rancang. Kadangkala mereka memerlukan bantuan ketika menggunting, melekat, mewarna dan sebagainya. Memang anak-anak suka untuk bersikap berdikari tetapi anda perlu ada di sisi untuk sentiasa membantunya ketika perlu.
Contohnya, cara penggunaan gunting yang betul memerlukan tunjuk ajar daripada kita. Tanpa pengawasan yang baik, mungkin mereka menggunakannya dengan cara yang salah.
3. Elakkan atau kurangkan masa menunggu
Menunggu dalam jangka waktu yang lama kadangkala memeritkan bagi sesetengah anak. Rancang aktiviti anda bersama anak dengan baik dan teratur.
4. Pastikan anak terlibat
Aktiviti yang baik adalah aktiviti yang melibatkan anak-anak. Bukan aktiviti yang hanya memerlukan anak-anak duduk dan lihat apa yang anda lakukan.
5. Beri pilihan
Jadikan aktiviti ini aktiviti yang sentiasa memberi pilihan kepada mereka. Mereka sentiasa diberikan peluang untuk meneroka dan melakukan aktiviti mereka dengan cara yang mereka suka namun masih lagi mengikut petunjuk yang diberikan. Bagi seorang kanak-kanak, matahari bukan bulat, awan bukan putih, seekor kucing mungkin mempunyai telinga sebelah yang lebih besar.
Selamat beraktiviti dengan anak!

Leave a Comment