Jangan Panggil ‘Bebird’ Pada Anggota Sulit Anak Kecil

“Mama, ni apa?” sambil menunjukkan anggota sulit sendiri.

“Eee… Malulah… Jangan banyak tanya, pakai seluar cepat!”

Sedarkah kita, soalan-soalan di atas adalah antara petanda awal kesedaran seksualiti dalam diri anak kita.

Mungkin masih ramai yang merasakan bahawa isu pendidikan seks hanya relevan untuk dibincangkan apabila anak kita mencapai usia baligh. Tetapi, sebenarnya ia seharusnya bemula lebih awal. Dan seperkara lagi, ia patut bermula dari rumah – bukannya dengan rakan-rakan atau mengharapkan guru di sekolah.

 

Zakar, Vagina, Punggung, Payudara – Kenalkan Saja dengan Nama Sebenar!

Saya tertarik dengan ungkapan daripada Puan Maznah Ibrahim, kaunselor berdaftar yang banyak menganjurkan seminar keibubapaan berkisarkan tajuk pendidikan seksualiti anak-anak.

Menurut beliau, perkara terawal yang diajarkan oleh Allah kepada Nabi Adam ialah tentang nama-nama benda. Jadi, tidak ada salahnya kita memberitahu nama sebenar semua anggota sulit mereka.

Jelas beliau lagi, sekiranya kita asyik mengelak dan menggunakan nama-nama pelik, mereka akan merasa keliru dan tidak yakin untuk bercakap tentang isu ini, terutamanya pada saat-saat kritikal.

Selain itu, anak kecil juga akan berasa kurang bertanggungjawab ke atas anggota mereka sekiranya mereka tidak diberitahu dengan jelas fungsi anggota sulit ini.

Kajian profesional

Buktinya, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa kajian oleh Profesor Dr. Abul Fadl Mohsin Ebrahim mendapati kebanyakan kes rogol di kalangan kanak-kanak bawah umur berpunca daripada kurangnya kesedaran ibu bapa dalam pendidikan seks anak-anak.

Memetik daripada artikel Dr Harlina Siraj pula, beliau menekankan bahawa Al-Quran berulangkali mengingatkan mengenai keutamaan orang-orang beriman memelihara kemaluan mereka. Namun, tidak mungkin seseorang dapat berbuat demikian seandainya mereka sendiri tidak mempunyai ilmu dan maklumat yang tepat tentang anggota sulit beserta fungsi reproduktifnya.

Sungguhpun begitu, perbincangan tentang isu ini perlulah diperkenalkan secara berperingkat, mengikut perkembangan otaknya. Pertanyaan yang diajukan oleh anak juga menandakan salah satu persediaannya untuk memahami seksualiti diri.

Fahami Peringkat Seksualiti Anak-anak

Peringkat Usia 2-4 tahun

  • Mulakan dengan mengajar penggunaan perkataan yang tepat untuk bahagian alat kelamin seawal mereka pandai bertutur. Ramai ibu bapa yang memberi gelaran kepada anggota sulit ini, seperti ‘wee-wee’, karipap, burung, ‘bebird‘,  ‘shu-shu, atau mungkin ada yang tidak mahu memperkenalkannya langsung!

 

  • Payudara, zakar, vagina, punggung, dan mulut (bibir) adalah 5 anggota sensitif yang perlu dipertanggungjawabkan kepada mereka. 5 anggota ini perlu dijaga dan sesiapa pun tidak boleh menyentuhnya. Selain itu, mereka juga perlu diberitahu bahawa mereka dilarang daripada menyentuh anggota sulit orang lain.

 

  • Nama-nama gelaran mampu menyebabkan kekeliruan apabila berkomunikasi dengan orang luar seperti pengasuh, doktor, atau cikgu.

 

  • Contohnya, sekiranya mereka memberitahu “Acik, ada orang pegang ‘karipap’ adik…” Pengasuh yang sedang keliru pula mungkin tidak berfikir panjang. “Eh, biar lah dia makan karipap tu. Jadi kenapa?”  Haa.. Kan bahaya?

 

  • Bayangkanlah, sekiranya anak kecil berasa ‘rejected’, ‘takut’ atau ‘bersalah’ untuk menceritakan perihal anggota sulit mereka di khalayak ramai atau dengan sesiapa yang dipercayainya, bagaimana mereka akan memberitahu seandainya ada seseorang cuba mencabul mereka?
Foto kredit: thetimes.co.uk
Foto kredit: thetimes.co.uk

Peringkat Usia 4-6 tahun

  • Dari mana bayi datang?” Ini adalah antara soalan yang biasa ditanya oleh anak kecil pada usia sekitar 4 tahun.

 

  • Kebanyakan anak kecil seusia ini sudah mahir berkomunikasi dan lebih bijak bersosial setelah dihantar di tadika. Mereka juga mungkin mempunyai adik yang sedang dikandungkan.

 

  • Untuk menjawab persoalan di atas, anda boleh mengatakan sesuatu yang dapat difahami seperti “Di dalam perut Mama terdapat rahim. Setiap bayi dihasilkan di dalam rahim sehingga cukup besar untuk dilahirkan. Apabila bayi sudah cukup besar, rahim akan menolak bayi supaya ia dapat keluar melalui vagina Mama.

 

  • Selain itu, kita juga digalakkan untuk mengasingkan tempat tidur anak seawal usia 4 tahun. Sewaktu mempraktikkan usaha ini, kita sudah boleh memberitahu mereka sebab apa mereka perlu diasingkan. Sejujurnya, tidak cukup untuk kita memberitahu “Adik sudah besar, perlu tidur sendiri sekarang.” – Sedangkan Mama sudah dewasa, tapi masih tidur dengan Papa?

 

 

Peringkat Usia 7-9 tahun

  • Pada umur ini, anak-anak sudah digalakkan untuk bersolat secara disiplin. Selain belajar mengambil wuduk dan bersolat dengan sempurna, mereka juga belajar tentang perkara-perkara yang membatalkan wuduk dan bersolat. Antara istilah baru yang akan mereka pelajari adalah seperti keluar darah haid, air mani, dan bersentuhan lelaki perempuan.

 

  • Perkara ini jelas menunjukkan mereka boleh diberitahu akan perkara sebegini kerana ia bersesuaian dengan kefahaman mereka. Asas kepada hubungan seksual boleh dijelaskan dengan ayat mudah seperti kisah Nabi Adam dan Hawa yang diciptakan oleh Allah untuk hidup bersama.

 

  • Ketika anak mula aktif membaca dan terdedah kepada media, amat susah untuk kita melindungi mereka daripada adegan-adegan romantis atau berita seks luar nikah dan jenayah rogol. Inilah pentingnya kita memantau bahan bacaan, video atau rancangan televisyen yang ditontoni.

 

  • Dalam usia ini, walaupun anak-anak tidak mempunyai nafsu dalam melakukan hubungan seks, tetapi mereka mudah meniru apa jua yang mereka lihat. Oleh itu, kita harus mula menekankan bahawa hubungan seksual hanya patut dilakukan oleh orang dewasa yang sudah bernikah.

 

  • Sebagai ibu bapa, kita juga harus menjaga batasan dan perbuatan di dalam rumah sebelum melindungi mereka daripada rakan-rakan yang tidak bermoral. Di samping itu, tanamkan kepercayaan di dalam hati mereka supaya mereka tidak menyembunyikan sesuatu dan selesa untuk bercakap tentang apa sahaja dengan kita.

 

Peringkat Usia 9-12 tahun

  • Pelbagai perubahan akan terjadi secara emosi dan fizikal dalam usia yang mula akil baligh atau ‘puberty’. Berikan peringatan kepada mereka tentang batas-batas yang harus dijaga. Jika sebelum ini anda belum pernah membicarakan soal seksualiti kepada anak, anda belum terlambat.

 

  • Kini, mereka juga boleh memahami kebanyakan istilah sains. Oleh itu, janganlah kita malu untuk memberi ilmu kepada mereka tentang seksualiti.

 

  • Anak juga boleh merasa tertekan sekiranya mereka tidak mendapat jawapan kepada persoalan yang bermain di fikiran mereka. Malahan, keinginan untuk tahu ini boleh membawa padah sekiranya mereka didorong untuk mencari jawapan sendiri dan terjerumus ke sumber-sumber yang tidak selamat.

 

  • Dalam laporan Astro Awani, Prof Madya Dr Mariani Md Noor menjelaskan bahawa nafsu seks dalam kalangan kanak-kanak tetap wujud sebaik sahaja mereka mencapai usia kematangan. Maka, pantauan ibu bapa dalam usia ini amatlah penting.

 

Foto Kredit: techpluto.com
Foto Kredit: techpluto.com

Ibu Bapa Perlu Lebih ‘Advanced‘ dan Kreatif

Dalam arus kemodenan ini, anak-anak didedahkan dengan pelbagai jenis media yang menempiaskan isu seksualiti dari segenap aspek – tidak kiralah melalui kartun, iklan, lagu, atau lakonan filem.

Oleh itu, perbincangan tentang isu tersebut tidak wajar sama sekali dipandang remeh. Malahan, ibu bapa harus menjadi lebih ‘pintar’ daripada telefon pintar!

Apa pendapat anda semua? Perlu nama ‘gelaran’ atau nama yang betul?

Leave a Comment