Penjagaan Pra-Natal, Kenapa Sangat Penting Pada Ibu Hamil & Bayi?

Penjagaan PraNatal

Tahniah kerana anda telah berjaya mengandung! Ada yang telah cuba bertahun-tahun untuk mendapatkan cahaya mata, ada juga yang dikurniakan rezeki sebaik sahaja mendirikan rumah tangga. Tetapi tahukah anda langkah seterusnya untuk memastikan bayi yang di dalam kandungan anda, sentiasa berada di dalam keadaan yang sihat?

Bagi kebanyakan orang, mereka mengetahui bahawa mereka telah mengandung 2-3 bulan ke dalam usia kandungan. Selepas menjalankan ujian sendiri menggunakan kit ujian yang boleh didapati di farmasi, sila dapatkan pengesahan doktor untuk kepastian.

Fasa penjagaan

Dan jika anda disahkan telah hamil, bermulalah satu fasa yang dikenali sebagai penjagaan pranatal. Ia merupakan penjagaan kesihatan pencegahan yang bertujuan untuk memastikan bayi di dalam kandungan dan terutamanya ibu yang mengandung tersebut, mendapatkan nasihat dan rawatan yang secukupnya.

Trimester pertama dan kedua

Jika anda ke pusat perubatan kerajaan atau pun swasta, jadual pemeriksaan akan dijalankan secara sistematik. Pada awal peringkat kehamilan iaitu trimester pertama dan kedua, kebiasaannya anda akan disuruh membuat temujanji dengan doktor setiap sebulan sekali.

Trimester ketiga

Kemudiannya pada trimester ketiga, anda akan berjumpa doktor dengan lebih kerap iaitu dua minggu sekali. Dan semakin anda menghampiri due date anda, temujanji tersebut berlangsung seminggu sekali sehinggalah anda selamat melahirkan cahaya mata. Tetapi lain pula bagi mereka yang mempunyai masalah seperti kencing manis, sakit jantung dan sebagainya; di mana beberapa temujanji dengan doktor pakar boleh berlangsung serentak atau pada hari yang lain dan pada frekuensi yang lebih kerap.

Apa kepentingan menjaga pranatal?

Kita selalu dengar orang ramai membuat aduan betapa lamanya mereka perlu tunggu untuk mendapatkan rawatan semasa temujanji untuk penjagaan pranatal tersebut. Ini disebabkan memang ramai ibu-ibu mengandung di Malaysia ni dan tempat boleh dikatakan terhad juga untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan pranatal.

Jadi apakah tujuan penjagaan pranatal tersebut diadakan? Dan mengapa ianya begitu penting?

1. Mendapatkan maklumat lengkap ibu dan bayi

Ia sudah semestinya bukan bertujuan untuk menyusahkan tetapi dengan adanya temujanji tersebut, pemeriksaan fizikal boleh dijalankan untuk mendapatkan maklumat lengkap ibu dan bayi sepanjang tempoh kandungan tersebut. Pemeriksaan fizikal tersebut biasanya mengandungi:

  • Pemeriksaan tekanan darah ibu
  • Tinggi dan berat ibu
  • Ujian darah dan air kencing ibu
  • Ujian ultrasound

Jika ke klinik dan hospital kerajaan, jururawat akan bertanyakan soalan yang berkaitan dengan:

  • Perihal pusingan haid anda
  • Sejarah peribadi
  • Sejarah keluarga
  • Sejarah perubatan dan pembedahan
  • Sejarah kandungan lampau (jika ada)
  • Latar belakang ekonomi dan sosial

Cadangan kekerapan lawatan penjagaan pranatal adalah seperti berikut:

  • Sebelum 28 minggu – sebulan sekali
  • 28 – 35 minggu – setiap 2 minggu sekali
  • 36 minggu dan keatas – setiap minggu

2. Dapatkan nasihat & rutin pemakanan

Setelah mendapat data-data di atas, seorang doktor boleh membuat diagnosis berdasarkan data-data tersebut dan memberi konsultasi serta khidmat nasihat kepada ibu.

Jika ibu dan bayi kelihatan normal, anda harus kekalkan rutin pemakanan yang sihat dan teruskan dengan temujanji seterusnya dengan pihak hospital atau klinik sehingga anda melahirkan bayi tersebut. Juga disarankan anda memakan.

3. Mengesan komplikasi lebih awal

Tetapi sekiranya beberapa komplikasi dapat dikesan dengan lebih awal, seperti ibu minum air gula dan didapati paras gula yang tinggi dikesan; maka diet anda perlu diubah. Doktor juga boleh menyarankan anda supaya makan ubat yang berkenaan bagi mengurangkan paras gula tersebut.

Sewaktu mendapatkan rawatan pra-natal, ultrasound juga sering dijalankan. Ia bertujuan untuk mendiagnos sama ada bayi sihat dan membesar dengan elok, sebarang kecacatan janin dan tarikh jangkaan bayi tersebut akan lahir. Boleh juga digunakan untuk menentukan jantina bayi supaya anda boleh melakukan persiapan yang sepatutnya. Dapatkan khidmat 3D 4D scan di tempat yang berdekatan dengan rumah. Boleh lihat muka anak dengan jelas!

Anda pastinya teruja setelah mendapat khabar gembira bahawa anda sedang mengandung dan akan melakukan yang terbaik untuk bayi dalam kandungan tersebut. Oleh itu, sila pastikan anda mendapat penjagaan pra-natal yang baik dan tahniah sekali lagi kerana anda bakal menjadi ibu bapa yang cemerlang.

Harapan kami

Jika anda kali pertama mengandung, boleh jalani kelas antenatal yang dianjurkan oleh banyak klinik dan hospital di Malaysia. Ada yang berbayar dan ada yang percuma. Pilih mana yang sesuai.

Suami juga mesti membantu isteri dalam penjagaan pranatal. Selamat menimang cahaya mata!

1 thought on “Penjagaan Pra-Natal, Kenapa Sangat Penting Pada Ibu Hamil & Bayi?”

Leave a Comment