5 Amalan Penyusuan Susu Ibu Secara Eksklusif

Tidak dapat disangkal lagi bahawa susu ibu adalah makanan yang terbaik untuk bayi kita. Tidak ada yang serupa atau yang hampir sama dengannya. Jika seorang ibu itu sihat dan mampu untuk menyusukan anaknya, maka alasan apakah lagi yang diberikan jika mereka memberikan selain susu ibu?

Alangkah ruginya jika seorang bayi yang masih belum menjangkau umur 6 bulan sudah diberikan susu formula, air dan nestum. Paling menyedihkan jika ibu tersebut adalah seorang suri rumah atau pun bekerja dari rumah.

Saya terpanggil untuk berkongsi ilmu dan pengalaman yang saya ada. Saya mempunyai 3 orang anak di mana ketiga-tiga anak saya menyusu dengan susu ibu. Alhamdulillah, walaupun saya bekerja, namun Allah memberikan saya peluang ini kepada saya. Saya akan rasa bersalah jika saya tidak menggunakan amanah ini dengan sebaiknya. Saya pasti anda juga begitu.

Baru-baru ini saya telah menghadiri satu sesi ceramah dan perkongsian tentang penyusuan ibu bersempena dengan Hari Penyusuan Ibu Sedunia. Di Malaysia, kesedaran memberikan susu ibu kepada bayi masih tidak boleh dibanggakan. Masih ramai yang beralasan tidak memberikan susu ibu kepada bayi mereka. Sememangnya terlalu sukar untuk menemui ibu yang memberikan susu ibu secara eksklusif. Kebanyakannya sudah mencampurkan susu walaupun bayi baru berusia 2 bulan!

Apakah yang dimaksudkan dengan penyusuan eksklusif?

“Penyusuan susu ibu secara eksklusif bermaksud bayi hanya diberikan susu ibu dalam masa enam bulan pertama selepas kelahirannya. Tiada makanan atau minuman lain diberikan pada bayi dalam tempoh tersebut.

Makanan pelengkap hanya dimulakan setelah bayi berumur enam bulan dan ke atas. Penyusuan hendaklah diteruskan sehingga bayi berumur dua tahun.”

Penyusuan susu ibu secara eksklusif

Untuk membolehkan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama selepas kelahiran bayi dicapai, ibu hendaklah mengamalkan perkara berikut, antaranya adalah seperti:

1. Penyusuan susu ibu perlu dimulakan dalam masa satu jam pertama selepas kelahiran bayi.

2. Penyusuan secara eksklusif, iaitu bayi hanya diberikan susu ibu tanpa sebarang makanan atau minuman walaupun air masak.

3. Ibu perlu menyusui mengikut kehendak bayi, iaitu kekerapan menyusu adalah bergantung kepada permintaan bayi.

4. Tidak memberikan sebarang susu formula atau puting kosong kepada bayi dalam tempoh enam bulan pertama.

5. Semua jenis cecair tidak digalakkan diberikan kepada bayi kecuali ubat-ubatan atau rawatan yang diperlukan oleh bayi.

Kenapa tidak beri susu ibu?

Mengapakah ibu tidak memberikan susu ibu kepada bayi mereka? Berikut adalah alasan yang sering diberikan:

1. Susu saya tidak cukup. Bayi saya tidak kenyang

2. Bayi saya masih menangis walaupun sudah menyusu

3. Saya demam – takut terjangkit pada anak

4. Saya tidak tahu cara menyusu yang betul

5. Puting saya sakit. Saya rasa tidak selesa

6. Saya malu menyusu di khalayak ramai

7. Leceh – perlu tudung dan baju yang sesuai jika mahu menyusukan bayi di khalayak

8. Tiada ilmu – tidak tahu kebaikan susu ibu

9. Terpengaruh dengan saranan kaum keluarga dan sahabat supaya memberikan susu formula

10. Bayi saya tidak mahu susu ibu walaupun saya suakan mulutnya ke payudara saya

11. Saya selalu ‘outstation‘ – mana mungkin untuk saya menyusukan anak saya

 

Akhir kata

Penyusuan susu ibu secara eksklusif
Foto Kredit: popsugar.com

Banyak lagi alasan yang selalu diberikan. Saya meyakini bahawa kesemua alasan di atas mempunyai cara penyelesaian yang mampu membuatkan kita mmeberikan susu ibu kepada bayi. InsyaAllah pada artikel akan datang, saya akan memberikan pelbagai info tentang penyusuan dan memberikan penyelesaian kepada alasan-alasan yang diberikan.

Selamat menyusukan bayi anda!

 

Leave a Comment