Kalau Nak Elak Ambil Ubat, Cuba 9 Petua Rawati Anak Selesema Di Rumah

“Rimas sungguh tengok anak selesema ni. Nampaknya esok kena bawa dia ke klinik, dapatkan ubat selesema.”

Sudah jadi kebiasaan, ibu bapa akan terus merujuk pada doktor apabila anak diserang selesema.

Ubat Selesema Tidak Digalakkan Untuk Anak Kecil

Tapi tahukah anda, Akademi Paediatrik Amerika tidak menyarankan ubat selesema dan batuk diberikan pada anak-anak bawah umur dua tahun?

Malah ada ubatan yang dibeli di kaunter farmasi memberi kemudaratan pada kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.

Habis tu, adakah cara lain selain ubat?

cara beri anak makan ubat
Foto Kredit: babysguide.ru

9 Tips Merawati Anak Selesema Tanpa Ubat

Jika anak selesema, anda boleh ikuti petua di bawah yang mana cara rawatannya lebih selesa untuk anak, selamat dan efektif.

Malah anak juga akan lebih sihat berbanding makan ubat.

1. Rehat Secukupnya

Apa yang diperlukan: Beri ruang yang selesa untuk anak berehat.

Apabila selesema menyerang, badan cepat letih. Oleh itu, berikan mereka masa untuk berehat sepenuhnya.

Apabila badan dapat rehat yang diperlukan, ia cepat sembuh daripada apa jua penyakit yang dihidapi.

2. Elak Beri Tekanan

cara bercakap dengan anak
Foto Kredit: eumom.ie

Apa yang diperlukan: Beri kebebasan untuk anak lakukan apa yang disukainya

Tekanan meningkatkan lagi kesakitan yang ditanggungnya.

Sekali sekala beri anak peluang untuk buat apa yang ingin dilakukannya seperti menonton video kegemarannya sepanjang hari atau bermain robot kesukaannya di halaman rumah.

Apabila fokus dengan apa yang diminatinya, percayalah anak akan lupa kesakitan yang dialaminya.

3. Persekitaran Lembap

Apa yang diperlukan: Pelembap udara (‘Humidifier/cool mist vaporizer’)

Bernafas dalam udara lembap mengurangkan lendir yang menyekat pernafasan melalui hidung.

‘Humidifier/vaporizer’ membantu memudahkan pernafasan anak selesema terutamanya sewaktu tidur.

Jika tiada ‘humidifier’, anda boleh mandikan anak dengan air suam. Pastikan stim panas berkumpul dalam bilik air agar anak lebih selesa.

4. Minum Air Dengan Banyak (6 bulan dan ke atas)

Apa yang diperlukan: Air kesukaan mereka

Memang digalakkan beri anak minum air masak, tapi tahu sajalah budak-budak, lebih suka air manis, ‘smoothies’, ais krim dan jus buah.

Untuk galakkan mereka minum air yang banyak, sesekali tukar air masak kepada minuman kegemaran mereka.

5. Banyakkan Makan Sup Ayam (6 bulan dan ke atas)

anak selesema
Foto Kredit: babyartikel.de

Apa yang diperlukan: Hidangkan suam/panas ikut kesukaan anak

Sup ayam membantu mengurangkan demam, selesema dan sebu perut. Ia juga membantu memanaskan badan menjadikan badan rasa lebih selesa.

6. Beri Madu (12 bulan dan ke atas)

Apa yang diperlukan: Air suam dan perahan lemon

Beri anak air yang dicampurkan dengan madu. Ia akan memberi kelegaan pada tekak dan ketidakselesaan yang dirasai sewaktu anak selesema.

Tambah sedikit jus lemon sebagai penambah vitamin C.

7. Urut

mengurut bayi
Foto Kredit: www.wljn.com

Apa yang diperlukan: Minyak bayi atau ‘Vapor rubs’ seperti ‘Vicks’ (untuk bayi berusia 3 bulan dan ke atas)

Sapu ‘Vicks’ pada leher, dada dan belakang anak serta urut perlahan-lahan agar ia meresap ke tubuh. ‘Vapor rubs’ ini biasanya membantu anak tidur kerana selesema biasanya akan menyukarkan mereka bernafas apabila berbaring, maka akan turut mengganggu tidur.

8.Tinggikan Kedudukan Kepala (12 bulan dan ke atas)

Apa yang diperlukan: Bantal yang banyak

Sewaktu anak hendak tidur, letak dua atau tiga bantal di kepalanya agar kedudukan kepala lebih tinggi dan memudahkan anak bernafas.

Jika tidak selesa, boleh juga diletakkan beberapa helai tuala.

Ada juga yang menidurkan anak di dalam ‘car seat’ kerana kedudukannya yang menegak memudahkan anak bernafas dengan selesa ketika tidur.

9. Bersihkan Hidung (2 tahun dan ke atas)

Apa yang diperlukan: Tuala basah dan tisu

Sebelum tidur, suruh anak hembus selesema pada tisu dan lap hidungnya.

Anak akan rasa selesa apabila semua lendir sudah dibuang keluar.

Pastikan tisu diletakkan di sebelah anak agar boleh digunakan untuk membuang hingus.

anak selesema
Foto Kredit: mamanja.ru

Jangan Biarkan Selesema Mengganggu Emosi Anak

Biasanya, selesema akan turut disertai dengan demam atau batuk yang menambahkan lagi ketidakselesaan pada badan.

Anak selesema juga sukar tidur malam dan ini boleh menjadikan mereka ‘moody’ keesokan hari.

Utamakan keselesaan anak agar mereka dapat tempuhinya dengan mudah.

Seperkara lagi, bergilir-gilirlah dengan pasangan kerana anda juga akan keletihan menjaga dan merawati anak selesema!

Leave a Comment