“Mana lah perginya puting si Nana ni. Dahlah tak ada ‘extra’ kat rumah. Kalau berhentikan anak hisap puting dari awal, mesti senang. Tak adalah leceh nak mencari. Nana asyik mengamuk bila tak dapat puting kesayangan dia. Aduhai..”
Tengah mengamuk bagai nak rak, kasi sahaja puting, terus reda ‘puting beliung’ dalam rumah. Sama juga kalau nak tidur, kalau anak hisap puting baru boleh lena.
Bagi sesetengah, puting dan anak kecil memang tak boleh dipisahkan. Ia seolah-olah ‘penyelamat’ yang dapat mengawal kelakuan bayi sehingga tidak boleh dipisahkan.

Tapi, sampai bila nak biarkan anak hisap puting?
Bukan mudah untuk berhentikan tabiat anak hisap puting. Malah, ia sudah menjadi barang kesayangannya. Sanggupkah anda lihat anak menangis tidak mahu melepaskan barang kesayangannya?
Bagaimana cara mudah untuk buang tabiat anak hisap puting?

1. Fahami kepentingannya pada anak
Adakah puting itu hanya digunakan sebelum tidur? Atau puting itu teman setianya?
Apabila anda memahami fungsinya pada anak, jadi anda boleh mencari pengganti yang sesuai kepada puting. Misalnya selimut bermotif kartun kegemarannya atau permainan baru yang disukainya.
2. Tukar pada masa sesuai
Gantikan puting secepat mungkin agar anak tidak terlalu bergantung padanya.
Biasanya anak berusia 12 bulan ke atas sukar menerima perubahan dan sudah pandai meminta. Mungkin boleh berikan makanan atau minuman jika dia lapar.

3. ‘Out of sight, out of mind’
Sebolehnya simpan puting di tempat yang sukar untuk anak jumpa.
Selain itu, simpanlah di tempat yang anda sendiri akan sukar untuk mengambilnya. Kenapa? Kerana ibu bapa biasanya memang tak sampai hati melihat tangisan anak dan akan mengalah.

4. Alih perhatian anak
Apabila anda mula perasan anak mencari-cari putingnya, segera alih perhatiannya.
Seelok-eloknya, ajaklah anak anda melakukan aktiviti fizikal dengan bermain permainan, berbual, mengajaknya menonton video kegemarannya, membawa anak bersiar-siar atau apa sahaja yang boleh mengalih perhatiannya.

5. Tetapkan pendirian
Ini memang susah untuk ibu bapa kerana anda perlu tegas, kental dan ‘kering hati’ dengan rengekan anak yang berterusan meminta putingnya.
Jika anda inginkan hentikan tabiat anak hisap puting, maka anda perlu tetapkan pendirian.

Bukan mudah buang tabiat anak hisap puting,
…ada juga masa yang perlu anda mengalah antaranya sewaktu anak sakit atau sedang melalui fasa pembesaran. Tunjukkan kasih sayang anda kepada mereka sepenuh mungkin, supaya mereka sedar bahawa mereka tidak memerlukan puting itu.
Tapi, jika anak masih belum bersedia, anda boleh berikan puting kepadanya buat sementara waktu agar anak rasa selamat dan kembali tenang.