“Apa yang tak kena dengan Nurul ni. Sejak akhir-akhir ni tak boleh tidur lena padahal dah menyusu.”
“Badan menggigil semacam je, tangan kaki terketar-ketar macam nak kena sawan. Salah baring, mesti menangis macam sakit sangat. Tak pernah pula jadi kat anak yang sulung dan kedua. Ish risaunya sebab pertama kali tengok simptom macam ni kat bayi”
Simptom-simptom seperti di atas berikut adalah tanda bayi kekurangan kalsium. Ia mungkin tidak nampak ketara scara fizikal, tetapi ia mampu mengganggu perkembangan dan kesihatannya.
Adakah normal jika bayi kekurangan kalsium dalam badan?
Kekurangan kalsium adalah perkara biasa yang terjadi di kalangan bayi. Biasanya doktor akan menasihati ibu menukar diet sedia ada kepada yang disarankan oleh doktor.
Tetapi ada juga kes kekurangan kalsium pada bayi yang boleh menyebabkan kematian. Sebab itu penting untuk ibu mengetahui setiap makanan yang diberikan pada bayi adakah cukup sumber kalsium yang diperlukan memandangkan kalsium adalah antara nutrisi yang sangat penting untuk perkembangan tulang bayi.

Bagaimana mungkin bayi kekurangan kalsium walaupun menyusu mengikut masa?
1. Penyakit Kencing Manis Ibu Hamil
Jika ibu menghidap kencing manis ketika hamil, maka anak berpotensi kekurangan kalsium dalam badan.

2. Komplikasi Semasa Bersalin
Sewaktu proses bersalin, ibu mungkin mengalami masalah seperti bayi kekurangan oksigen dalam badan.
3. Pengaruh Ubat-ubatan Semasa Mengandung
Sewaktu hamil, ibu ada mengambil ubat Gentamicin. Ubat ini boleh menyebabkan bayi kurang kalsium.

4. Ibu Kurang Mendapatkan Sumber Kalsium
Ibu kurang vitamin D dalam badan menyebabkan bayi turut menerima kesan yang sama.

5. Lahir Bayi Pra-matang
Bayi lahir kurang matang berpotensi kekurangan kalsium.

Apa yang boleh dilakukan kepada bayi yang kekurangan kalsium?
1. Menukar diet bayi
Jika bayi kekurangan kalsium akibat kurang menyusu, pastikan anda menyusukannya dengan lebih kerap. Teruskan memberi susu badan walaupun anda mengalami kesukaran pada awalnya. Ia akan menjadi lebih mudah dari semasa ke semasa.

2. Jemur bayi pada cahaya matahari
Sebaiknya cahaya matahari pagi kerana ia tidak begitu terik. Cahaya matahari membantu meningkatkan vitamin D dalam badan bayi dan memudahkan penyerapan kalsium.

3. Kurangkan susu lembu dan seumpamanya
Sebaiknya, beri susu badan pada bayi kerana ia cukup kandungan nutrisi yang diperlukan oleh bayi. Jika terpaksa memberi susu formula kepada bayi kekurangan kalsium, cuba berikan susu kambing sebagai alternatif.

4. Dapatkan rawatan
Biasanya doktor akan menyediakan susu khas yang tinggi kalsium untuk bayi. Dapatkan nasihat pakar untuk rawatan yang lebih spesifik.

Bukan sahaja bayi terjejas akibat kekurangan kalsium,
Orang dewasa juga turut terkesan jika kekurangan kalsium dalam badan memandangkan ia adalah antara sumber nutrisi yang penting untuk meningkatkan fungsi kesihatan badan.
Oleh itu, pastikan anda mengamalkan pengambilan makanan berkhasiat sepanjang proses kehamilan, serta selepas melahirkan. Ianya amat penting untuk kesihatan anda termasuklah bayi anda!