13 Tempat Menarik Di Perak Yang Mesti Dilawati. Tak Ramai Tahu!

Banyak sungguh destinasi pelancongan di Negeri Perak kerana ia meliputi pulau, tasik, gua, air terjun, sungai, taman, hutan rekreasi, bangunan lama, tinggalan sejarah dan keindahan alam semula jadi.

Tempat menarik di Perak

Antara yang menjadi pilihan saya adalah:

1. Hutan Lipur Lata Tebing Tinggi

Tempat menarik di Perak
Foto Kredit: taipinghomestayku

Bagi yang ingin berkelah sambil menyegarkan badan boleh singgah ke sini. Terletak di Selama, persekitarannya sangat redup lantaran dikelilingi oleh pokok-pokok besar.

Pilih sahaja  spot yang diinginkan kerana kawasannya sangat luas. Bagi yang sukakan cabaran, boleh meneroka hingga ke kawasan yang lebih tinggi sambil melihat keindahan air terjun, flora dan fauna yang masih lagi terpelihara.

2. Santuari Burung Kuala Gula

Tempat menarik di Perak
Foto Kredit: flickr

Penggemar burung pula bolehlah berkunjung ke Kuala Gula, iaitu sebuah perkampungan nelayan yang terletak kira-kira 50km dari barat laut Bandar Taiping. Setiap tahun, bermula akhir Ogos hingga April, beribu burung air daripada pelbagai spesies akan singgah di Kampung Gula yang menjadi laluan migrasi mereka.

Hutan paya bakau di kampung ini dijadikan kawasan persinggahan, tempat berehat dan bersarang.  Ada antara spesies ini sukar dijumpai seperti burung Botak Kecil, burung Bangau China dan burung Kedidi Kaki Hijau.

3. Istana Kellie

Tempat menarik di Perak
Foto Kredit: malaysiasite.nl

Peminat sejarah terutamanya bangunan lama disarankan mengunjungi istana tinggalan di Batu Gajah. Bangunan setinggi tiga tingkat ini dikatakan terletak jauh dalam hutan dan dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul di Bandar Agra, India namun tidak sempat siap sepenuhnya apabila pemilik bangunan itu meninggal dunia di Portugal.

Sungguhpun pelbagai kisah mistik dan seram pernah diceritakan oleh masyarakat sekeliling, ia tetap jadi tumpuan orang ramai serta sering dijadikan lokasi penggambaran drama dan filem tempatan mahupun antarabangsa.

4. Hutan Simpan Belum

Tempat menarik di Perak
Foto Kredit: wonderfulmalaysia.com

Jika anda sukakan aktiviti lasak dan mencabar, inilah tempatnya! Hutan simpan ini sesuai untuk jungle trekking, hiking, berakit, speed-boating dan jika mendaki kawasan tinggi, pengunjung berpeluang melihat bunga terbesar di dunia iaitu Rafflesia.

Di sini juga pengunjung boleh menemui serangga hutan yang pelik dan menarik selain melawat perkampungan Orang Asli. Harus diingatkan agar mendapatkan permit untuk sebarang aktiviti hutan sekurangnya 2 minggu sebelum tarikh percutian.

5. Kuala Sepetang

Tempat menarik di Perak
Foto Kredit: myfifie @ Flickr

Sesuai bagi mereka yang inginkan percutian keluarga secara santai. Merupakan sebuah perkampungan nelayan, pengunjung boleh river cruise sambil melihat kawanan kelip-kelip di sepanjang sungai dan menikmati mi udang terbaik di Perak.

Jika sukakan sejarah, bolehlah melawat stesen kereta api pertama di Tanah Melayu iaitu Port Weld. Meskipun landasannya sudah tiada lagi dan hanya tinggal pondok jual tiket serta signboard, ia kekal menjadi kenangan bersejarah.

6. Zoo Taiping & Night Safari

Tempat menarik di Perak
Foto Kredit: visitperak.com.my

Berlainan dengan zoo di negeri lain, pengunjung diberi peluang melihat lebih 1,300 ekor haiwan dari 180 spesies bukan sahaja pada siang hari malah berlanjutan hingga waktu malam.

Bagi yang ingin merasai pengalaman baru, boleh datang seawal pukul 8 malam dan melihat suasana kehidupan haiwan ini dalam persekitaran cahaya lampu seolah-olah diterangi oleh cahaya bulan. Bagaimanapun, pengunjung dilarang membawa lampu suluh dan mengambil gambar dengan flash kerana ditakuti akan mengganggu haiwan-haiwan ini.

7. Taman Herba Perak

Tempat menarik di Perak
Foto Kredit: mdbg.gov.my

Bagi mereka yang ingin mendapatkan tanaman herba segar sama ada untuk tujuan kesihatan, aromaterapi mahupun perubatan,  disarankan ke Kampung Payang, Batu Gajah.

Terdapat lebih 500 spesies herba ditanam di sini seperti daun sekentut, rempah padang, kacip Fatimah, hempedu bumi, kucing galak dan bermacam-macam lagi. Banyak kemudahan prasarana turut disediakan antaranya dewan dan tapak perkhemahan. Ada juga yang menjadikan tasik di taman ini sebagai port untuk memancing.

8. Pulau Orang Utan

Tempat menarik di Perak
Foto Kredit: yayasanemkay.org.my

Siapa kata orang utan hanya terdapat di Sepilok?

Luaskan pengetahuan anak-anak anda dengan mendedahkan mereka pada kehidupan haiwan liar. Terletak kira-kira 10 minit dari Bukit Merah Lake Town Resort dengan menaiki bot, Pulau Orang Utan menempatkan pusat penjagaan Orang Utan.

Terdapat lebih daripada 20 Orang Utan pelbagai peringkat umur ditempatkan di sini. Anak-anak boleh melihat gelagat comel bayi Orang Utan yang diberi minum dalam botol dan ditukarkan lampin.

9. Sungai Klah Hot Spring

Tempat menarik di Perak
Foto Kredit: fluffyribbon

Ingin meningkatkan taraf kesihatan sambil dikelilingi panorama menghijau? Kunjungilah kolam air panas semula jadi yang semakin popular di Sungkai.

Berendam dalam air panas boleh melancarkan pelancaran darah dan membantu merawat penyakit seperti artritis, kulit dan reumatisme.  Turut disediakan laluan refleksologi yang mengalirkan air panas. Untuk kanak-kanak pula disediakan kolam air sejuk untuk mereka berenang dan berendam.

10. Menara Condong

Tempat menarik di Perak
Foto Kredit: photobucket.com

Merupakan mercu tanda utama di Teluk Intan. Dahulu, ia dijadikan sebagai tempat penyimpanan air bertangki. Kemudian ia berfungsi sebagai Menara Jam.

Kini, ia menjadi monumen tarikan pelancong di Teluk Intan. Pengunjung  dibenarkan naik ke atas menara sambil melihat persekitaran pekan ini. Kawasan sekeliling menara dipertingkatkan dengan jalan raya dan berbata menjadikannya seperti sebuah dataran.

11. Bukit Larut

Tempat menarik di Perak
Foto Kredit: ipohecho.com.my

Ingin merasai suasana sejuk di Perak?

Naiklah ke Bukit Larut. Dikenali sebagai kawasan paling lembap di Perak dengan suhu harian sekitar 10 hingga 24 darjah Celsius, pengunjung perlu menaiki jeep yang disediakan berikutan kedudukannya kira-kira 1,250 meter di atas paras laut.

Tempat penginapan juga disediakan bagi mereka yang ingin merasai percutian dalam suasana kedinginan semula jadi. Disediakan hiking trail untuk mereka yang ingin menerokai kawasan Bukit Larut. Flora dan faunanya juga masih kekal terpelihara.

12. Taman Tasik Taiping

Tempat menarik di Perak
Foto Kredit: kamisayangalamsekitar

Suasana persekitaran yang menghijau seperti dalam hutan rimba memberi ketenangan sesiapa sahaja yang berehat di sini.

Sangat luas dan lapang, dengan rimbunan daun dari pokok kanopi berusia ratusan tahun memberi teduhan daripada sinar matahari,  pasti anda tidak akan menyedari masa berlalu dengan pantas tatkala duduk berehat sambil memerhatikan orang awam lalu-lalang, bersiar-siar dan berjoging di sekitar kawasan taman.

13. Kampung Bidara & Kampung Gajah

Tempat menarik di Perak
Foto Kredit: dkosonglapan

Bagi yang ingin membeli cenderamata berupa labu sayung, boleh singgah di Kampung Bidara atau Kampung Gajah. Terdapat pelbagai pilihan warna dan saiz, bergantung pada cita rasa masing-masing.

Akhir kata

Negeri Perak sangat luas. Kalau bawa kereta melalui lebuhraya PLUS arah utara, tentu bangun-tidur, bangun-tidur, masih lagi dalam negeri Perak.

Terlalu banyak tempat yang menarik di negeri ini, yang lain dari yang lain. Kalau minat alam sekitar, boleh lawati banyak lagi tempat menarik di Malaysia. Tidak perlu ke luar negara!

Apa lagi, jom rancang percutian anda.

11 thoughts on “13 Tempat Menarik Di Perak Yang Mesti Dilawati. Tak Ramai Tahu!”

  1. mmg terbaik tempat2 ni. cume satu tempat teman nk komen tentang labu sayong. nak lagi best datang ke kampung sayong di kuala kangsar. tak jauh dari taiping dan ipoh dalam 30..40 minit perjalanan. bukan setakat labu sayong yg mcm dalam gambar (labu air), tp mcm2 lagi hasil kraftangan tembikar yg ade.

    Reply
  2. Sebenarnya perak memiliki banyak lagi tempat menarik..
    sebagai contoh:
    1.Lost world of tambun
    2.kuala kangsar
    3.pulau pangkor
    4.teluk batik
    5.teluk senangin
    6.gua tempurung
    7.Hutan simpan belum
    8.Gua gendang dan gua itik di pangkalan hulu

    Reply

Leave a Comment