7 Tips Mudah Mengurus Bayi, Senang Dijaga!

Tips Mudah Mengurus Bayi

Ramai yang suka bayi. Aksi mereka yang manja, senyum serta tawa kecil si bayi, sangat menghiburkan. Ibu bapa muda pasti teruja apabila hidup mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata. Namun, suka sahaja tidak cukup tanpa ilmu untuk menjaga bayi. Perlu juga belajar tips mudah mengurus bayi!

Jika kena pada tempatnya, bayi sangat mudah dijaga. Mereka banyak menghabiskan masa mereka di awal kehidupan dengan tidur dan menyusu. Namun jika kita tiada ilmu dan pengetahuan menjaga seorang bayi, mereka mungkin sukar dijaga kerana masalah-masalah tertentu seperti kolik, ruam, cirit birit, demam, batuk dan selsema. Penjagaan harian bukan satu perkara mudah.

Ini tips mudah mengurus bayi, antara nasihat dari saya yang menguruskan anak-anak setiap hari.

1. Bersedia

Bersedia menjadi ibu adalah perkara yang sangat penting. Kita akan rasa lebih bahagia dan lapang apabila lebih bersedia. Segala persiapan yang perlu akan dirancang dan disediakan awal untuk menyambut insane yang tersayang. Ini akan menjadikan kita lebih tersusun dan teratur.

2. Positif

Kita rasa khuatir apabila mendengar ada sahabat serta saudara yang bercerita tentang sukarnya menjaga bayi. Ada yang kena sawan tangis atau perut kembung. Di dalam fikiran kita, sudah pasti memikirkan pelbagai perkara, samada kita boleh atau tidak menghadapi bayi yang menangis atau yang tidak sihat. Berfikiran positif itu penting.

Bayi menangis atau bayi sakit adalah normal. Ia pasti mudah dihadapi oleh kita jika kita bersedia dan positif menghadapinya.

3. Ilmu dan pengetahuan

Walaupun menjaga bayi nampak mudah, namun ilmu dan pengetahuan dalam dunia anak-anak ini amat penting. Banyakkan membaca dan bertanya kepada mereka yang lebih tahu tentang penjagaan bayi. Antara yang kita perlu tahu adalah tentang penyusuan ibu, mengendali anak yang tidak sihat dan sebagainya. Selain membaca, kita juga boleh menghadiri kelas-kelas tertentu seperti kelas penyusuan, kelas gendong dan sebagainya.

4. Sokongan dan bantuan

Tanpa dan sokongan dan bantuan daripada orang sekeliling seperti suami, ibu, ibu mertua dan saudara mara, mana mungkin kita dapat menjaga bayi kita dengan baik sekali. Sejak daripada mengandung lagi, libatkan suami dengan semua kegiatan kita seperti baca membaca dan membeli barang bersama. Katakan kepada suami tentang hasrat anda untuk meyusukan bayi secara eksklusif. Kumpul segala bahan bacaan dan baca bersama-sama.

5. Berikan susu ibu

Mudahnya menjaga bayi dengan memberikan mereka susu ibu. Anak boleh menyusu bila-bila masa dan di mana sahaja. Susu tidak perlu dimasak dahulu dan tiada sukatan tertentu diperlukan. Menurut kajian, anak yang menyusu dengan susu ibu sangat mudah dijaga kerana mereka sangat jarang mengalami kembung angin, cirit-birit, batuk dan selsema.

Bayi yang menyusu dengan susu ibu juga sangat dekat dengan ibu. Mereka sangat jarang meragam dan mudah dipujuk jika menangis. Jika ibu tidak mengalami masalah kesihatan, tanamlah hasrat dan cita-cita untuk menyusukan bayi secara eksklusif.

6. Urut bayi

Salah satu cara penjagaan bayi yang diiktiraf dapat menjadikan bayi sihat dan gembira adalah urutan bayi. Urutan bayi biasanya dilakukan selepas mandi. Ia dapat memberikan keselesaan kepada bayi. Bayi yang diurut tidak banyak meragam dan mendapat tidur yang lebih lena. Ibu juga dapat mengeratkan ikatan dan kasih sayang bersama bayi kerana bayi banyak disentuh.

7. Amalan Soleh

Antara tips mudah mengurus bayi yang lain ialah perbanyakkan amalan soleh seperti membaca Al-Qu’ran, solat di awal waktu, solat-solat sunat, bersedekah, membantu orang yang susah dan sebagainya sepanjang hidup kita – bukan ketika mengandung sahaja.

Amalan-amalan ini akan menjadikan kita kuat dengan menjaga hubungan kita dengan Allah swt. Kita akan sentiasa berharap kepada Allah. Kita merasa yakin bahawa apa sahaja yang berlaku dan diuji ke atas kita adalah ketentuan Allah swt.

Harapan saya

Semoga anda mendapat manfaat dari tip ini. Ini adalah pengalaman saya sendiri yang melahirkan serta menjaga 4 orang anak. Lapangkan fikiran kita dan sentiasa positif di dalam kehidupan. Anak-anak akan membesar dengan baik jika mereka di kelilingi dengan insan-insan yang gembira dan bahagia.

2 thoughts on “7 Tips Mudah Mengurus Bayi, Senang Dijaga!”

Leave a Comment