7 Tips Turunkan Berat Badan (Yang Realistik) Selepas Bersalin

Siapa tak mahu kurus?

Malangnya, dua perkara yang paling mustahil dilakukan oleh wanita lepas bersalin adalah diet dan bersenam. Kesibukan harian dan kurangnya motivasi adalah antara cabaran utama untuk turunkan berat badan.

Turunkan berat badan
Foto Kredit: natural-homeremedies.com

Walaubagaimanapun, sedarkah anda bahawa setiap ibu dianugerahkan dengan keistimewaan? Selain memanipulasikan ‘superpower’ anda ini, anda harus meletakkan sasaran yang realistik untuk turunkan berat badan dan mengekalkan kesihatan.

Jom lihat tips berikut:

1. Menyusu Badan

Menyusu badan bukan saja bermanfaat kepada bayi, malah ia turut memberi kebaikan kepada anda. Aktiviti ini dapat membakar antara 200 hingga 500 kalori setiap hari – ia bersamaan dengan melakukan aerobik selama satu jam!

Selain itu, proses menyusu badan ini juga merangsang perembesan hormon-hormon yang membantu pengecutan rahim. Walaupun anda mungkin akan mengalami masalah dalam proses menyusukan bayi, namun kedua-dua sebab ini diharapkan dapat menjadi pembakar semangat kepada anda untuk terus menyusukan anak sehingga dua tahun.

2. No gym? No problem!

Kerja-kerja di rumah seolah-olah berganda banyaknya sejak kelahiran bayi, bukan? Tetapi, jika dilihat secara positif, ia dapat memberi peluang untuk anda bergerak lebih aktif di dalam rumah.

Oleh itu, anda tidak perlu ke gym untuk membakar kalori. Menyibukkan diri dengan kerja-kerja rumah juga ialah cara yang efisyen bagi melupakan seketika rasa ‘lapar’ yang sentiasa menyerang sebaik saja kita menghadap televisyen. Untuk menaikkan mood anda, pasangkan muzik kegemaran anda dan lakukanlah kerja rumah dengan tersenyum, ya.

3. Anda sibuk dengan bayi? Lagi bagus!

Bagi sesetengah ibu yang tidak dapat membuat kerja rumah selagi bayi belum tidur, ayuh gunakan masa yang terluang ini untuk beraktiviti bersama bayi. Lakukan pelbagai gerakan dan mimik muka semasa bermain dengannya. Rajinkan diri membuat aktiviti DIY, seperti melukis boneka dan menghasilkan ‘sensory game’. Bayi terhibur, anda berpeluh, jimat pun jimat!

Sekiranya bayi tidak mahu lepas daripada didukung, pakailah alat pendukung bayi (baby carrier) sambil melakukan kerja rumah. Tindakan mendukung bayi adalah salah satu senaman yang dapat menguatkan otot lengan dan sekaligus membantu anda turunkan berat badan.

4. Ajak suami diet sekali!

Diet anda mesti terganggu apabila anda seorang sahaja yang cuba turunkan berat badan di rumah, bukan? Mana tidaknya, puas anda memasak yang sedap-sedap tapi hanya dapat menjamah sesudu dua. Itu belum lagi kalau suami ajak makan di luar. Habis punah rancangan diet anda!

Gunakan ‘superpower’ anda untuk memujuk suami ikut berdiet secara bersederhana. Barangkali ini adalah masa terbaik untuk anda dan keluarga mula mengamalkan gaya hidup sihat. Sekurang-kurangnya, anda akan lebih bersemangat sekiranya ada seseorang yang menjadi teman untuk turunkan berat badan bersama-sama.

5. Tidur ketika bayi tidur

Sejak kehadiran bayi, pasti tidur malam anda sudah tidak seperti dahulu. Penyusuan pada waktu malam dan tangisan bayi adalah gangguan utama untuk anda tidur lena sehingga menyebabkan kelesuan.

Menurut kajian, keletihan dapat merangsang hormon-hormon stres yang memacu penambahan berat badan. Bukan setakat itu saja, keletihan dipercayai menjadi punca anda cenderung memilih makanan segera sebagai kudapan dan hidangan utama. Macam familiar dengan situasi ini? Oleh itu, janganlah abaikan rehat anda.

Cuba ikut tidur ketika bayi tidur. Sekurang-kurangnya ia dapat menampung waktu tidur malam anda yang sering terganggu.

6. Ingat, berat badan anda hanya naik dalam masa 9 bulan

Ini adalah satu gambaran realistik yang patut anda tanamkan dalam fikiran. Badan anda melalui pelbagai proses yang kompleks dalam 9 bulan fasa kehamilan. Jadi, mana mungkin segala kompleksiti ini dapat di ‘undo’ dalam masa sebulan dua?

Maka, janganlah terburu-buru. Sekurang-kurangnya anda patut mengambil masa yang sama untuk turunkan berat badan semula secara berperingkat.

7. Minum air masak

Menariknya, kebanyakan ibu akan merasa haus apabila bayi mula menghisap susu badan. Menurut pakar, kehausan yang dirasai oleh wanita apabila bayi menyusu ini dikaitkan dengan proses menjaga keseimbangan cecair dalam tubuh.

Secara tidak langsung, ia akan menggalakkan anda untuk minum lebih banyak air masak berbanding dahulu. Air masak mampu mengawal rasa lapar dan mengoptimakan fungsi anggota dalaman badan untuk proses pembakaran lemak yang lebih efisyen.

Turunkan berat badan
Foto Kredit: healthywomenx.com

Motivasi diri dan disiplin yang tinggi tentulah amat diperlukan dalam mendapatkan keputusan yang terbaik. Walau apa pun, sikap positif perlu ditanam terlebih dahulu. Sebagai ibu, anda sangat bertuah kerana dikurniakan keunikan biologi yang dapat memacu perjalanan dalam usaha turunkan berat badan!

 

Leave a Comment